January 23, 2009

Jathropa Untuk Biofuel

Pokok jarak atau Jathropa curcas bukan lagi sekadar tumbuhan biasa yang ditanam sekadar untuk mencantikkan kawasan atau tujuan pertanian lain.

Malah sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui bagaimana rupa pokok jarak itu, tetapi selepas satu penemuan menyatakan ia mempunyai nilai tinggi, maka pokok ini kian popular.

Tidak seperti di Malaysia, di beberapa negara lain seperti India, Indonesia dan Myanmar sebagai contoh, pokok jarak telah digunakan sebagai bahan api bio atau biofuel.

Di Indonesia misalnya terdapat projek komuniti yang mana penduduk kampung memanfaatkan pokok tersebut untuk kegunaan rutin mereka sebagai bahan bakar.

Berbeza dengan Malaysia, pokok tersebut seperti baharu hendak diperkenalkan meskipun ada usaha untuk menanamnya setakat ini selepas menyedari nilainya yang tinggi itu.

Sama ada harga minyak akan meningkat semula atau kekal pada harga sekarang, semua pihak perlu menyedari bahawa satu usaha perlu dilakukan bermula sekarang untuk menghasilkan bahan api alternatif atau khususnya yang berkaitan dengan bahan bio.

Ini kerana pergantungan kepada bahan api fosil secara berterusan bukan sahaja mengundang risiko pencemaran, tetapi juga lebih berat lagi, ia akan kehabisan.

Justeru, bahan api bio lebih sesuai untuk dijadikan alternatif sebagai bahan api sedia ada, apatah lagi ia lebih selamat, bersih dan boleh diperbaharui.

Malaysia bertuah kerana banyak sisa bahan yang boleh dijadikan asas penghasilan bahan api termasuk biojisim selain minyak sawit biodiesel.

Justeru, pengenalan pokok jarak dengan bijinya yang dikatakan mempunyai kandungan minyak sehingga 50 peratus, membayangkan betapa bertuahnya negara ini yang subur dengan pelbagai tanaman.

Hanya yang perlu dilakukan sekarang ialah, sejauhmana kita proaktif dengan semua peluang tersebut dengan menggerakkan satu dana penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh saintis bagi menjadikan minyak jarak sebagai biofuel sebagai satu realiti.

Setakat ini, satu daripada penyelidikan mengenainya sudah menampakkan hasil yang membanggakan, dimulakan sejak 2006 oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Robiah Yunus.

Ia bermula apabila dicabar seorang rakannya supaya mencuba menghasilkan minyak daripada pokok jarak atau disebut jarak pagar pada 2006.

Baginya, ‘cabaran’ tersebut tidak menimbulkan masalah besar memandangkan bidang penyelidikan yang menjadi kepakarannya selama ini berkaitan kejuruteraan kimia.

Malah, Dr. Robiah sebelum terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak pelincir daripada minyak sawit.

Geran IRPA

Projek tersebut dilaksanakan menerusi satu penyelidikan yang dibiayai oleh geran Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) bermula pada 2000.

Menerusi penyelidikan tersebut, Dr. Robiah berjaya menghasilkan sejenis minyak pelincir yang beliau namakan Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang dihasilkan daripada kelapa sawit dengan menggunakan kemudahan makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya disiapkan pada penghujung 2003.

Minyak pelincir sintetik tersebut dihasilkan daripada minyak sawit menerusi beberapa tindak balas bagi menghasilkan bahan asasnya yang dinamakan poliolester.

Kini beliau berjaya memanfaatkan biji jarak sebagai bahan asas penghasilan biofuel menerusi satu proses tertentu dan didapati lebih sesuai berbanding minyak sawit.

Ini kerana katanya, dalam keadaan suhu bilik, minyak pokok jarak wujud dalam bentuk cecair manakala minyak sawit mentah dalam keadaan beku yang memerlukan ia dicairkan terlebih dahulu.

Selain boleh dijadikan biofuel, minyak pokok jarak juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelincir, sama seperti yang dilakukan terhadap minyak sawit.

Malah, harganya lebih mahal berbanding minyak pelincir daripada yang ada sekarang ini pada kuantiti yang sama.

Menurut Dr. Robiah, dengan modal pembiayaaan penyelidikan daripada TechnoFund (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) yang mencecah RM 4.5 juta, beliau menjalankan penyelidikan tersebut dengan menggunakan kaedah tertentu yang sesuai.

Apa yang beliau lakukan ialah dengan mencampurkan bahan tertentu kepada minyak tersebut bagi mengurangkan kandungan asid lemak bebas yang tinggi

“Sekiranya ini tidak dilakukan, maka ia tidak akan menghasilkan minyak pelincir sebaliknya cecair berbuih seperti sabun,” katanya.

Justeru, sejenis bahan kimia perlu dicampurkan untuk ‘membasuh’ atau meneutralkan asid lemak bebas tersebut.

Sama seperti minyak sayuran lain, seperti kanola, reepseed, kandungan asid oleik yang tinggi dalam minyak pokok jarak ini menjadikannya berbanding minyak sawit yang mengandungi asid palmitik yang tinggi.

Bagaimanapun dalam keadaan biasa, minyak pokok jarak boleh digunakan terus ke jentera sekiranya palam pencucuhnya diubahsuai terlebih dahulu.

“Jika ketika ini kandungan biodiesel yang ada menggunakan lima peratus minyak sawit, penggunaan minyak jarak boleh mencapai sehingga 20 peratus manakala 80 peratus lagi merupakan diesel,” katanya.

Dengan kejayaan tersebut, beliau bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk meningkatkan kawasan penanaman pokok jarak supaya sebarang usaha mengkomersialkannya disokong oleh pengeluaran bahan mentah secara berterusan.

Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk menghasilkan mesin mengopek buah jarak untuk mendapatkan bijinya memandangkan kerja tersebut akan rumit dan memerlukan tenaga buruh yang ramai.

Pada masa sama, mesin menghasilkan minyak perlu dihasilkan bagi membolehkan proses tersebut lebih mudah.

Mesin tersebut mungkin mudah dan mudah alih supaya senang dikendalikan oleh golongan penanam.

Menurut Dr. Robiah lagi, dengan bantuan dari TechnoFund, kilang minyak pelincir boleh dibina bagi meningkatkan hasil tambah minyak sawit atau pokok jarak.

Hakikatnya kata beliau, memanfaatkan penggunaan jathropa atau pokok jarak bukan bertujuan untuk bersaing dengan minyak sawit, sebaliknya satu alternatif kepada minyak sedia ada.

Kursus Menghasilkan Benih Cendawan

Meskipun ada dakwaan bahawa pasaran untuk cendawan semakin kurang, namun keperluan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran tanaman tersebut perlu diteruskan.

Kursus mengenai teknik penanaman cendawan masih giat dijalankan kerana sambutan daripada orang ramai sentiasa ada.

Ini membuktikan masih ramai berminat untuk menceburi bidang penanaman cendawan. Tetapi di sebalik keghairahan itu, masalah bekalan benih masih membelenggu industri tersebut.

Ia merupakan satu kekangan bagi mengembangkan industri berkenaan ke tahap yang lebih baik.

Selama ini ramai pengusaha tanaman cendawan menghadapi masalah mengenai harga benih yang melambung tanpa kawalan, kualiti benih cendawan yang dibekalkan serta kerumitan memperoleh bekalan yang berkualiti dan terjamin.

Justeru Persatuan Penyelidik Cendawan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Genting Permai Resources Sdn. Bhd. mengadakan Kursus Tisu Didik Cendawan selama lima hari bermula 7 hingga 11 Februari ini di Institut Sains Biologi UM.

Kursus berkenaan yang dikendalikan oleh tenaga pakar dari UM ini meliputi teori dan praktikal bagi penyediaan benih cendawan bermula dari awal hingga akhir.

Pada awal kursus peserta akan diberikan penerangan mengenai kitar hidup cendawan, didedahkan mengenai teknik aseptik dan pensterilan secara amali.

Mereka juga akan diajar mengenai penyediaan media yang sesuai bagi tisu didik cendawan dimana segalanya akan dilakukan oleh peserta sendiri.

Selepas itu peserta juga akan didedahkan dengan penyediaan kultur cendawan sama ada daripada batang atau insang cendawan.

Semua kaedah ini akan dilakukan sendiri oleh peserta bagi melihat keupayaan menghasilkan benih cendawan menerusi kultur didik cendawan.

Bagi hari ketiga dan keempat sementara menunggu benih cendawan terhasil, peserta akan diberikan pilihan sama ada untuk melawat ladang cendawan yang menghasilkan benih cendawan di sekitar Lembah Kelang atau aktiviti lain yang sesuai.

Selepas benih cendawan dihasilkan, peserta akan diajar cara menyimpan kultur cendawan yang betul.

Akhir sekali, semua hasil benih cendawan yang dihasilkan peserta akan dinilai sebelum perbincangan bagi meningkatkan kualiti benih yang dikeluarkan.

Penanaman cendawan yang berminat menghadiri kursus berkenaan boleh mendapatkan maklumat berkenaan dengan menghubungi Zainon di talian 013-3418202.

Bimbing Usahawan Daging

Setelah berjaya dalam bidang penternakan kambing Boer, melibatkan diri dalam membangunkan usahawan ternakan serta kedai berasaskan daging, kini Nordin Mat melangkah setapak lagi dengan memulakan kursus perniagaan kedai daging secara komersial.

Selaku Pengarah KMJ Supplies Sdn. Bhd., Nordin berkata, kedai daging dengan jenama Perfect Fresh & Frozen telah mula mengadakan kursus setiap bulan bagi yang berminat memulakan perniagaan kedai daging mereka sendiri.

“Program yang lepas adalah dengan kerjasama dengan Mara berkonsepkan mentor mentee dengan Perfect Fresh & Frozen bertindak sebagai mentor.

“Di bawah Program Usahawan Bumiputera MARA, seramai 50 peserta telah disaring sebelum memilih 10 orang dan daripada itu hanya lima orang telah dipilih untuk memulakan kedai mereka masing masing,” katanya ditemui semasa sesi latihan kursus memulakan kedai daging secara komersial di premisnya di Kajang, Selangor.

Katanya, ini merupakan salah satu cara untuk mentee membangunkan sebuah kedai daging dengan bantuan mentor.

“Sebagai mentor, kami memberikan komitmen dari A hingga ke Z, bermula dengan bagaimana untuk memulakan sehingga menjalankan perniagaan,” katanya.

Nordin menambah, kedai daging ini dijangka akan dapat membantu individu yang terlibat dalam penternakan memandangkan outletnya menjual pelbagai jenis produk seperti daging kambing, lembu, rusa, arnab, burung unta, burung puyuh, ayam kampung dan sebagainya.

Kursus berkenaan mengambil masa tujuh hari menggunakan tenaga pengajar profesional bagi memantapkan lagi kefahaman peserta.

“Mereka juga digalakkan menjalankan trial and error sendiri sehingga mereka benar-benar boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri,” katanya.

Peserta juga akan diajar melayan pelanggan dengan memberikan seberapa banyak banyak maklumat mengenai potongan daging, kesesuaian dan juga resipi.

Pelanggan juga diberikan tip memilih serta penjagaan daging serta masakan yang sesuai.

Cara ini bukan saja dapat menambahkan pengetahuan pelanggan tetapi juga memberikan pilihan kepada pelanggan untuk datang lagi ke kedai berkenaan.

Apa kata peserta

Bertugas sebagai kontraktor selama 22 tahun, Hasnul Badaruddin, 42, melihat industri makanan mempunyai potensi yang besar semasa ambang kemelesetan ekonomi.

“Saya telah menjalankan tinjauan di Taman Permata, Hulu Kelang dan Bandar Sri Damansara dan mendapati permintaan terhadap produk makanan adalah tinggi.

“Selain ini industri berkenaan juga mengeluarkan produk berasaskan daging yang suci, sihat dan halal,” katanya yang bercadang untuk membuka kedai daging di Taman Permata menjelang Mac ini.

Beliau yang datang menjalani kursus berkenaan dengan anak perempuannya, Siti Norsalsabila, 18, berkata, kursus yang diikuti akan menjadi galakan untuk anaknya memulakan perniagaan.

Sementara suri rumah, Norainon Aiman, 39, mendapat dorongan suami bagi menghadiri kursus berkenaan.

“Pada mulanya saya tidak berminat untuk membuka kedai daging tetapi selepas diberikan pendedahan barulah hati saya terbuka,” katanya.

Beliau menambah, latihan yang disertai memberikan banyak ilmu yang bermanfaat mengenai keratan daging.

“Buat masa ini saya amat yakin dan merancang untuk membuka kedai di Shah Alam selewat-lewatnya Mac ini,” katanya yang tinggal di Beranang, Selangor.

January 16, 2009

Ternak Ikan Pendapatan Sampingan

PenghijrahannyA ke Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan lebih suku abad yang lalu bertujuan menyertai 244 peneroka lain bagi menjayakan tanah rancangan Felda yang baru dibangunkan di jajahan tersebut.

Ketika itu, apa yang terlintas di fikiran Saad Abdullah, 56, menggunakan kudrat empat kerat untuk mengerjakan tanaman sawit yang masih kecil walaupun terpaksa mengharung selut dan becak hingga ke lutut.

Walaupun tanpa kemudahan asas termasuk elektrik dan bekalan air bersih, Saad yang berasal dari Kampung Kubang Telaga, Gunong, Bachok tidak berasa janggal kerana keadaan hidup di kampung juga serba kekurangan ketika itu.

"Pada tahun 1981 apabila membuat keputusan berhijrah ke Felda, saya tidak menoleh ke belakang lagi walaupun kawasannya jauh terperosok ke pedalaman dan berlatar belakang hutan tebal dengan banyak binatang buas di dalamnya.

"Ditemani adik saya Daud Abdullah, 50, yang turut menjadi peneroka, kami membanting tulang untuk mengusaha kan kebun sawit dan getah seluas 10 ekar seorang," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selepas 28 tahun berbudi dengan tanah, Saad kini memperoleh pendapatan yang baik untuk menampung kehidupan bersama isteri dan sembilan anak namun dia tidak hanya berhenti sebagai peneroka sahaja.

Lebih 10 tahun lalu, seramai 36 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) telah dilahirkan dari Felda tersebut yang menerokai bidang kemahiran jahitan, bengkel kereta, masakan, membuat pelbagai jenis makanan ringan seperti rempeyek, tanaman limau madu, membuat sarung dan ukiran golok dan keris.

Berbeza dengan rakan-rakan lain, sejak 12 tahun lepas, Saad mengembangkan minatnya sebagai pengusaha kolam ikan selepas melihat kejayaan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan masing-masing.

Mengambil alih kolam daripada pengusaha terdahulu sejak 12 tahun lepas, daripada lapan kolam kini Saad menambahnya kepada sembilan buah bagi tujuan menternak dan menjual tilapia hitam dan merah, patin, baung, keli, siakap, lee koh dan jelawat.

Kelebihan kolam ikan yang terletak bersebelahan kaki gunung Rabong ini ialah air kolamnya yang bersih dan jernih sehingga dapat melihat ikan-ikan berenang-renang di dalamnya.

Saad membuat sendiri saluran paip besi untuk sistem pengaliran air yang bersambung dari satu kolam ke kolam yang lain.

"Air dari gunung yang mengalir ke bahagian kolam-kolam yang dibina memudahkan proses penukaran air untuk mengelaknya keruh kerana ia turut mempengaruhi rasa ikan," katanya.

Ekoran hanya air bersih yang mengisi petak-petak kolamnya, ikan dari kolam Saad digemari pelanggan terutama di kalangan mereka yang kurang menggemari bau ikan sungai atau sesetengah orang menggelarnya 'ikan darat.'

Dakwa penduduk yang pernah merasa ikan dari kolamnya, isi ikan tilapianya lebih manis, tidak berbau tanah atau hanyir.

Selain menjaga sistem pengairan, Saad hanya memberi makan pelet kepada ikan-ikannya sebanyak 80 kilogram sehari, dengan harga RM44 sekampit atau 20 kilogram.

Dia bercadang memproses makanan ikan sendiri iaitu hasil campuran dedak dan kacang soya pada masa hadapan menggunakan mesin yang berharga RM15,000.

Tumpuannya kini lebih kepada kolam ikan bersama dua anak-anaknya kerana sawit dan getah di Felda tersebut sedang mengalami proses tanam semula bermula dua bulan yang lalu.

Sawit yang telah berusia lebih 25 tahun katanya semakin kurang mengeluarkan hasil malah pokok-pokoknya yang tinggi sehingga 60 kaki menyukarkan kerja-kerja menjolok buah dilakukan.

Dalam tempoh rehat yang panjang sebelum sawit boleh mengeluarkan hasil tiga tahun lagi, saya berhasrat menambah lima kolam lagi pada waktu yang terdekat ini.

"Selain mencari sumber pendapatan lain yang sentiasa terbuka luas di Felda ini, saya sendiri gemar makan ikan sungai yang enak dan menyelerakan.

"Bertambah seronok apabila ikan-ikan yang pada awalnya kecil sebesar jari kelengkeng akhirnya membesar dan menjadi rebutan pelanggan," katanya.

Saad yang pernah memperoleh hasil jualan ikan sehingga RM300 sehari menambah, ikan yang diternak memerlukan tempoh masa berbeza sebelum sesuai dipasarkan.

Misalnya keli membesar sekitar empat bulan, manakala tilapia pula memakan masa enam bulan.

Saad turut menternak kira-kira 200 kelah walaupun memakan masa setahun sebelum dapat dipasarkan namun harganya mencecah RM150 sekilogram.

Katanya, permintaan ikan sentiasa tinggi dan dia menjualnya secara borong kepada pelanggan tetap atau sesiapa sahaja yang berkunjung.

Kegigihan Saad mengusahakan kolam ikan walaupun secara sampingan di felda tersebut pernah melayakkan dia menerima anugerah Usahawan Jaya Terbaik Felda Kebangsaan 2004 dan Usahawan Jaya Terbaik Felda peringkat Negeri tahun yang sama.

Doktor Gigi Majukan Akuakultur

Industri penternakan ikan yang semakin berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan kadang-kala boleh menyebabkan bekalan berlebihan berbanding permintaan.

Permintaan ikan yang dijual segar mungkin melebihi pengeluaran dan bakal menyebabkan harga yang tidak stabil.

Justeru, masih banyak masalah pokok yang menjadi penghalang untuk memacu industri akuakultur, sedangkan potensi amat cerah sebagai sumber ekonomi dan makanan.

Justeru bagi mengatasi masalah tersebut, seorang penternak muda, Dr. Mohd. Hapizie Ismail telah bertungkus-lumus mewujudkan Persatuan Penternak-Penternak Ikan Bumiputera Malaysia (PPIBM).

"PPIBM yang ditubuhkan pada 19 November lalu bertujuan menyatupadukan penternak ikan Bumiputera yang menjalankan penternakan ikan.

"Buat permulaan kami akan menubuhkan pusat pengumpulan ikan bagi Selangor dan Lembah Klang bagi mencapai hasrat kami," katanya semasa ditemui di Agroteknologi Bukit Canggang, Dengkil, Selangor.

Dr. Hapizie menegaskan, matlamat PPIBM ditubuhkan bagi memperkasakan industri akuakultur negara seterusnya memperkenalkan produk ke pasaran global.

Doktor gigi kelulusan Universiti Malaya pada 2004 yang kini mengusahakan ternakan ikan sepenuh masa kerana minat yang mendalam dalam bidang akuakultur, juga berharap, persatuan akan dapat membantu penternak Bumiputera memasarkan produk selain menstabilkan harga ikan mengikut pasaran semasa dengan pesaing.

Bagi membela nasib penternak dan membela penternak baru, persatuan akan membimbing penternak dengan kaedah penternakan moden dan terkini, menyediakan latihan, bimbingan dan nasihat serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama dalam penyediaan makanan ikan.

"Persatuan juga akan membantu penternak menyediakan tempat dan lokasi penternakan yang sesuai dan jika perlu membantu mengenai kewangan dan pinjaman.

"Penternak yang menghadapi bencana akan dibantu menerusi tabung bencana alam, insurans berkelompok, khairat kematian dan bantuan lain yang difikirkan perlu," katanya.

Mohd. Hapizie berkata, keahlian PPIBM terbuka kepada semua bumiputera seluruh negara menerusi borang keahlian dan setiap permohonan mestilah melalui Ahli Jawatankuasa Tertinggi persatuan.

Bayaran keahlian sebanyak RM50 dikenakan meliputi kos pengurusan dan peralatan seperti kad keahlian, borang dan surat menyurat.

"Penternak yang telah menjadi ahli perlu menjelaskan yuran keahlian sebanyak RM120 setahun atau RM10 sebulan.

"Ahli boleh menjelaskan yuran melalui tiga cara iaitu RM120 sekali gus, RM60 sebanyak dua kali atau RM10 sebulan," katanya.

Sebagai ahli PPIBM, Mohd. Hapizie berkata, mereka mempunyai banyak kelebihan seperti perlindungan insurans berkelompok dan jika ahli dilanda bencana alam, mereka akan dibantu menerusi tabung bencana manakala ahli yang meninggal dunia akan menerima khairat kematian.

Bagi jaminan pasaran pula, pihak pengurusan persatuan akan membantu pemasaran produk sama ada di dalam atau luar negara.

Pihak pengurusan juga akan membantu penternak mengembangkan operasi dengan bantuan kewangan menerusi kerjasama dengan Agro Bank, Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui dana khas.

"Bidang pertanian merupakan salah satu cabang perniagaan yang menguntung. Saya percaya, jika diusahakan dengan tekun dan cara yang betul ia jauh lebih menguntungkan.

"Atas sebab itu juga saya tidak terkilan meninggalkan kerjaya sebagai doktor gigi untuk mengusahakan ternakan ikan," katanya.

Dalam pada itu Mohd. Hapizie menambah, PPIBM merancang untuk membina kilang bagi menghasilkan produk hiliran seperti ikan salai, sardin, bebola ikan, serunding, ikan masin dan pekasam.

Selain itu PPIBM juga merancang membuka kilang makanan ikan bagi membekalkannya kepada semua ahli seluruh negara.

"Kami merancang untuk membina kilang dalam masa empat bulan lagi di lokasi sama ada Rawang atau Bangi.

"Bagi perancangan masa panjang, kami ingin membuka Institut Pendidikan Pertanian atau Kolej Pertanian bagi melahirkan penternak ikan yang lebih berpengetahuan," katanya.

PPIBM juga merancang membuka cawangan pasaran ke peringkat antarabangsa menerusi delegasi perdagangan dan membuka institusi kewangan sendiri.

Penternak ikan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PPIBM boleh menghubungi Saiful Nazli Selamat di 017-2839289 atau e-mel: grandez1@yahoo.com.my atau lawati www.ppibm.wordpress.com

Ternak Tongsan Dalam Lombong

APABILA disebut sahaja Lembah Kinta di Perak, perkara pertama terlintas di kepala ialah aktiviti perlombongan bijih timah yang pernah menjadi sumber ekonomi utama di negeri itu suatu ketika dahulu.

Meskipun era kegemilangan industri bijih timah sudah berakhir di Lembah Kinta pada tahun 1980-an tetapi kesannya boleh dilihat sampai ke hari ini seperti peninggalan kapal korek dan beratus-ratus bekas lombong.

Selain dimajukan sebagai pusat rekreasi dan ditebus guna untuk projek pembangunan, bekas lombong juga sesuai digunakan untuk menternak ikan air tawar.

Industri penternakan ikan air tawar didapati amat menguntungkan kerana ia tidak memerlukan modal dan perbelanjaan tinggi untuk mengusahakannya berbanding ternakan ikan dalam sangkar atau kolam.

Kelebihan ini diakui oleh Pengarah Kemahang Progresif Sdn. Bhd. (Kemahang Progresif), Che Mohd. Azril Che Azmi, 26, yang memiliki syarikat mengusahakan ternakan ikan air tawar dalam lombong di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah di Tanjung Tualang, Perak.

Menurut Che Mohd. Azril, menternak ikan dalam lombong lebih menjimatkan kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk menyediakan sangkar, membeli makanan dan mengawal rapi ternakan.

''Kita hanya mengeluarkan modal membeli benih ikan dan mengupah pekerja menangkap ikan-ikan yang cukup matang untuk dijual.

''Ikan-ikan lombong tidak perlu diberi makan kerana ia mendapat bekalan makanan daripada 'plankton' yang hidup subur dalam air.

''Ia juga juga tidak perlu penjagaan rapi kerana habitatnya sesuai dengan air lombong dan tidak mudah dijangkiti penyakit," katanya ketika ditemui di Tanjung Tualang, baru-baru ini.

Bagi menggalakkan pertumbuhan 'plankton', pengusaha ikan lombong digalakkan menternak itik dalam kawasan yang sama kerana tahi itik berperanan sebagai baja menyuburkan tumbuhan tersebut.

Che Mohd. Azril memberitahu, itik yang diternak juga menyumbang kepada sumber pendapatan kerana daging haiwan ini turut dieksport ke Singapura.

Bercerita lanjut tentang ikan lombong, Che Mohd. Azril memberitahu, bidang ternakan ikan air tawar menggunakan teknik tersebut telah diceburi oleh bapanya, Che Azmi Che Mahmood pada tahun 2005.

Sebelum menceburkan diri dalam dunia pertanian dan penternakan, Che Azmi bekerja sebagai pegawai polis tetapi nekad mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin melibatkan diri sepenuh masa dalam bidang tersebut.

Pada peringkat awal, Che Azmi hanya menumpukan perhatian dalam bidang tanaman mangga kerana buah-buahan itu mendapat permintaan baik di pasaran.

''Selepas lima tahun mengusahakan tanaman mangga, ayah terfikir mahu menternak ikan air tawar kerana sayang melihat bekas lombong yang ada dalam kawasan ladang terbiar begitu sahaja.

''Ayah kemudian mengambil kursus ternakan ikan air tawar dengan Jabatan Pertanian dan memberanikan diri menternak ikan di lapan buah lombong di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah membabitkan keluasan 92 hektar," katanya.

Apabila ladang mangga dan perusahaan menternak ikan semakin maju, Che Azmi bertambah sibuk menguruskan perniagaan lalu mengajak Che Mohd. Azril membantunya.

Menurut Che Mohd. Azril, beliau baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila diminta oleh bapanya untuk membantu menguruskan ladang mangga dan ternakan ikan mereka.

''Mulanya saya tidak minat tetapi ayah tetap memaksa dengan menghantar saya mengikuti beberapa kursus anjuran Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian, malah saya juga dihantar ke Indonesia dan Thailand untuk menimba ilmu dalam bidang ternakan ikan serta udang.

''Hasil pendedahan melalui kursus tersebut, saya akhirnya 'jatuh cinta' dengan bidang pertanian dan ternakan sehinggalah ke hari ini, malah tidak pernah menyesal mengorbankan usia remaja dengan bekerja dalam bidang tersebut," kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Selain mengusahakan ladang mangga dan ternakan ikan lombong di Tanjung Tualang, Kemahang Progresif juga dalam perancangan membuka kolam ternakan ikan kelisa emas dan ikan kelah di Gua Musang, Kelantan dalam tempoh terdekat ini.

Mengenai lombong ternakan ikan di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah, Che Mohd. Azril berkata, terdapat enam spesies ikan diternak di situ tetapi tumpuan diberikan kepada ikan tongsan dan tilapia hitam.

''Ikan paling banyak diternak ialah ikan tongsan dan ikan tilapia hitam sebab ikan ini mendapat permintaan tinggi di pasaran terutama Singapura dan Indonesia.

''Selain itu, kami juga menternak ikan-ikan lain seperti belida, lampam, kap rumput dan kaloi," katanya. Che Mohd. Azril memberitahu, ikan tongsan yang paling digemari oleh masyarakat Cina dijual pada harga RM2.10 sekilogram manakala ikan tilapia hitam berharga RM1.50 sekilogram.

Ikan tongsan boleh dijual apabila mencapai berat tiga kilogram (kg) dan ia boleh mencecah berat antara 15 hingga 20 kg selepas 12 bulan diternak menyebabkan proses pemasarannya hanya boleh dilakukan sekali setahun.

Dalam setahun, Kemahang Progresif mampu mengeluarkan 300,000 tan metrik ikan tongsan dan 180 tan metrik ikan tilapia.

Ikan tongsan keluaran syarikat itu dikhususkan untuk pasaran tempatan dan Singapura manakala ikan tilapia dieksport ke Indonesia.

January 9, 2009

Barracafe tawar menu berasaskan ikan

BARANG kali bunyinya agak ganjil tetapi pemilihan nama Barracafe ada kena mengenai dengan produk yang di jual.

Barracafe yang terletak di Jalan Pandan Pria, Dataran Pandan Prima 2, Kuala Lumpur ini menjadi antara produk terbaru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam usahanya memajukan industri produk berasaskan ikan.

Sesuai dengan namanya, ia beroperasi sebagai sebuah restoran yang menyediakan menu berasaskan ikan dan nama Barra dipilih berasaskan nama ikan Barramundi atau dikenali sebagai siakap.

Dengan kos pembangunan keseluruhan mencecah RM450,000, kafeteria tersebut menyediakan pelbagai jenis makanan dan menampilkan hiasan dalaman yang menarik dan mampu menarik pengunjung pada masa akan datang.

Meskipun baru dibuka pada Ogos tahun lepas tetapi ia mampu menarik pengunjung terutama penggemar makanan ala Barat dan juga Timur.

Ia dimajukan bagi merealisasikan hasrat LKIM, untuk mempelbagaikan perniagaannya terutama yang menyokong sektor perikanan.

Ini kerana LKIM turut memiliki anak syarikat iaitu Majuikan Sdn. Bhd. (MSB) sebagai cabang perniagaannya selain produk dan teknologi lain khususnya Fish Protech.

Fish Protech merupakan satu teknologi akuakultur yang terbaik untuk industri menternak ikan yang diperkenalkan oleh LKIM dengan kerjasama syarikat dari luar menerusi MSB di Bagan Lalang sejak beberapa tahun lepas dengan menternak ikan barramundi.

Justeru, ada keperluan untuk mewujudkan perniagaan makanan berasaskan ikan berkenaan sebagai sebahagian strategi pemasaran.

Menurut Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad, usaha pihaknya memajukan perniagaan kafeteria seumpama itu menjadi bukti kesungguhan agensi terbabit memajukan industri perikanan termasuk akuakultur yang membolehkan masyarakat menikmati produk segar.

Usaha tersebut katanya, sebagai permulaan bagi MSB untuk mengembangkan teras perniagaannnya berasaskan teknologi Fish Protech.

Selain itu, jika pendekatan tersebut mendapat sambutan, MSB akan membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menerusi konsep francais.

''Kita juga mahu mempromosi konsep usaha dari ladang ke meja makan yang mana projek ternakan kita akhirnya dapat dimanfaatkan sehingga ke hidangan,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis mesra media bersama Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail di restoran tersebut baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar (Operasi), MSB, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim.

Katanya, sebanyak empat lagi pusat Fish Protech akan diwujudkan pada masa akan datang iaitu di Naka, (Kedah), Tok Bali (Kelantan), Pekan (Pahang) dan Pagoh di Johor dengan kos RM10 juta setiap satu.

Justeru pembangunan teknologi akuakultur Fish Protech itu diharap dapat memberi perangsang kepada masyarakat yang berminat menceburi akuakultur moden bagi meningkatkan sumber perikanan negara.

MSB katanya, telah lama terlibat dengan industri makanan laut dengan pengeluaran pelbagai jenis makanan termasuk bebola ikan, bebola sotong, keropok lekor dan sosej dengan jenama Sajimas dan Majuikan.

Produk tersebut kata beliau juga akan dipromosi menerusi Barracafe sebagai sebahagian menu yang disediakan kepada pengunjung.

Menu lain termasuk kari kepala ikan, masakan ikan tiga rasa dan serta makanan Itali.

Barracafe dibuka pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Wadira Kopi Tumbuk Dari Baling

Dari kopi 'O' kepada kopi paket pelbagai rasa termasuk kopi 'kuat', kopi 'tenaga' sehinggalah kepada kopi penguat tenaga batin memenuhi pasaran kopi tempatan.

Melihatkan limpahan pelbagai jenis kopi dan permintaannya, telah memikat sekumpulan wanita kampung mengambil peluang mengusahakan produk kopi tumbuk asli tanpa menggunakan mesin moden bagi menghasilkan serbuk halus kopi.

Wanita Dinamis Felcra (Wadira) Kampung Teluk Sungai Durian, Bongor, Baling, Kedah, telah mengumpul kopi mentah daripada ahli bagi mewujudkan pusat pemprosesan kopi tumbuk secara komersial.

Kaedahnya mudah, mereka sepakat bekerjasama dalam semua proses, daripada mengumpul, mencambah, menggoreng dan menumbuk sehinggalah serbuk kopi dihasilkan.

Pengerusi Wadira, Nafisah Abdul Kadir,48, berkata, seramai 20 ahli kumpulannya mengumpul sendiri modal, bahan dan melaksanakan sendiri kesemua proses pengeluaran kopi.

"Kami mengumpul sendiri modal dan bahan termasuk buah kopi mentah dengan melaksanakan sendiri sehinggalah kepada proses pengeluaran kopi,'' katanya.

Menurutnya, perusahaan membuat kopi tumbuk ini diusahakan sejak tiga tahun lalu. Asalnya di sebuah rumah ahli dan akhirnya kini mempunyai bengkel sendiri.

Nafisah berkata, buat masa ini pihaknya mendapatkan buah kopi mentah daripada ahli dan penduduk kampung sekitar.

Katanya, buah kopi mentah dibeli daripada penduduk dengan harga RM2.50 sekilogram manakala kopi yang siap dicambah (buang kulit) dengan harga RM8 sekilogram.

"Alhamdulillah setakat ini bekalan kopi mentah masih mencukupi untuk memenuhi permintaan kopi tumbuk," ujarnya tersenyum.

Mengenai proses membuat kopi tumbuk Nafisah berkata, mereka akan menjalankan kerja-kerja memproses bahan setiap hari melalui kerjasama semua ahlinya.

Menariknya, pembuatan kopi tumbuk keluaran kumpulan wanita ini tidak menggunakan bahan awet sekali gus hasil kopinya memenuhi cita rasa penggemar kopi sebenar.

"Buat permulaan kami mahu penggemar kopi merasai kopi tumbuk sebenar," katanya yang yakin pasaran kopi tumbuk akan berkembang.

Prosesnya bermula dari membeli buah kopi, mencambah, menggoreng sehinggalah ke menumbuk kopi dilakukan secara manual.

Tambahnya, proses menumbuk kopi kami lakukan sendiri tanpa sedikit pun menggunakan mesin pengisar.

Katanya, kerjasama erat antara ahli membolehkan proses pengeluaran kopi tumbuk berjalan lancar dan mengikut jadual bagi memenuhi permintaan bekalan.

Kopi tumbuk asli berjenama Wadira ini biarpun masih baru di pasaran namun permintaannya bukan sahaja untuk pasaran sekitar daerah malah telah menjangkau sehingga ke Kuala Lumpur.

Jelas Nafisah, pihaknya mempunyai rangkaian pemasaran sendiri biarpun perusahaan membuat kopi tumbuk ini tidak berskala besar.

Bagi Nafisah mutu kopi tumbuk boleh dilihat melalui penghasilan serbuknya yang lebih halus manakala aromanya tetap tidak berubah, sekali gus memukau selera penggemar si hitam manis ini.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran produk Wadira, Saarah Harun menjelaskan, selain pasaran tempatan termasuk kedai runcit dan restoran pihaknya telah mengambil langkah memperluaskan lagi pemasaran kopi tumbuk ke seluruh negara

Menurut Saarah, sehingga kini kopi tumbuk Wadira telah dijual sehingga ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor selain di kawasan utara.

"Buat masa ini antara 50 hingga 100 kilogram kopi tumbuk mampu dikeluarkan untuk memenuhi bekalan permintaan," jelasnya.

Katanya, kopi tumbuk keluaran Wadira masih lagi bertatih dengan cara pembungkusan dan pelabelan. Pihaknya masih berada pada tahap promosi bagi meyakinkan pelanggan dan peminat kopi tumbuk.

Jelasnya, pihaknya turut mengambil kesempatan menyertai ekspo dan pameran dalam mempergiatkan lagi kempen meminum kopi tumbuk.

Sehubungan itu jelas Saarah, pihaknya yakin produk Wadira ini bakal mencetuskan satu era baru kepada golongan muda meminati kopi.

Penyelidikan Hasilkan Kopi Klon

Bagi sebilangan kita, tentu tidak sempurna sarapan pagi tanpa meneguk secawan kopi bagi menceriakan permulaan hari.

Terdapat pelbagai jenis kopi yang boleh dipilih, daripada kopi hitam, kopi segera dan sebagainya.
Sebenarnya terdapat tiga jenis kopi yang ditanam di seluruh dunia iaitu Arabica, Liberica dan Robusta.

Kopi Arabica yang biasa ditanam di kawasan pergunungan bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di serata dunia.

Manakala Robusta dan Liberica pula biasanya ditanam di kawasan tanah rendah.

Bagaimanapun, kopi paling mahal di dunia adalah kopi luwak atau kopi musang yang didapati di Indonesia.

Di negara ini, penyelidikan mengenai klon kopi telah mula dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1981 dan mula mengeluarkan klon kopi pertama pada 1992.

Dalam tempoh berkenaan sehingga 2008, MARDI telah berjaya mengeluarkan 12 klon kopi Robusta dan Liberica.

Pegawai Penyelidik, Pusat Padi dan Tanaman Industri MARDI, Mohd. Anuar Abbas berkata, prestasi kopi klon biasanya lebih baik berbanding dengan kopi biasa.

“Kopi klon akan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan kopi biasa.

“Bagi kopi Liberica misalnya, purata hasil kopi biasa adalah 11 -19 tan sehektar berbanding 20 hingga 28 tan sehektar bagi kopi klon,” katanya semasa di temui di pejabatnya baru-baru ini.

Malah, buah kopi klon adalah lebih besar dan mudah dipetik berbanding buah kopi biasa.

Manakala pertukaran daripada jenis kopi jambu ke kopi beras biasanya hanya sekitar lapan peratus tetapi dengan kopi klon peratusan dapat ditingkatkan sehingga 10.5 peratus.

Kopi klon biasanya lebih cepat mengeluarkan hasil dan mengambil masa 19 bulan berbanding 30 bulan.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan klon kopi, Mohd. Anuar berkata, penyelidikan kopi yang bermula pada 1981 menjurus kepada tiga program pemilihan iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan program pemilihan baka klon.

Program jangka pendek bagi menghasilkan baka dengan segera memakan masa 10 tahun.

Dalam tempoh berkenaan, dua klon baka polihibrid iaitu Robusta MKR1 dan Liberica MKL1 telah diisytiharkan pada 1992.

Bagi program jangka sederhana, 10 pokok terbaik dari kebun janaplasma kopi MARDI dinilai lanjut daripada segi prestasinya di ladang stesen-stesen penyelidikan MARDI di Gajah Mati, Kedah dan di Kluang, Johor.

“Selepas sembilan tahun program ini telah menghasilkan tiga klon Liberica MKL2, MKL3, MKL4 dan empat klon Robusta MKR2, MKR3, MKR4 dan MKR5.

“Tujuh klon berkenaan diisytiharkan pada 1995,” katanya.

Program pemilihan baka klon pula bermula dengan membuat pilihan pokok kopi seluruh negara dengan maklumat daripada petani dan pemantauan selama dua tahun di tempat asal dan plot uji kaji.

Bagi Liberica, kata Anuar sebanyak 44 pokok telah dikenal pasti pada tahun 1991 sebagai klon kopi MARDI dan daripada sana tiga pokok dipilih sebagai klon terbaik, iaitu MKL5, MKL6 dan MKL7 selepas 16 tahun dinilai.

Ciri morfologi bagi buah, daun serta pokok matang bagi tiga klon baru ini dapat dilihat dengan sifat ketara seperti bentuk dan warna buah masak, bentuk daun dan struktur pertumbuhan seperti jarak ruas dahan sekunder pada dahan utama.

Potensi hasil baka tiga klon baru ini lebih tinggi berbanding dengan klon Liberica sedia ada.

Hasil kopi jambu bagi MKL5, MKL6 dan MKL7 masing-masing 24.3, 25.1 dan 26.2 tan sehektar.

“Purata hasil kopi jambu pula sebanyak 25.2 tan sehektar atau 19.4 peratus lebih daripada baka bandingan MKL3 yang digunakan dalam penilaian baka klon kopi Liberica.

“Biasanya pekebun kecil akan menjual kopi dalam bentuk kopi jambu dan pengilang akan memproses ke bentuk kopi beras,” katanya.

Kemudian kopi beras akan diproses bagi mendapatkan serbuk kopi seperti yang digunakan di rumah.

Secara keseluruhan klon kopi baru MKL5, MKL6 dan MKL 7 berupaya mengeluarkan hasil yang lebih baik berbanding klon kopi yang disyorkan sebelum ini.

Pengeluaran hasil yang lebih tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti pengusaha atau pekebun kecil.

Selain itu, saiz buah yang lebih besar juga dijangka dapat memudahkan kerja memetik hasil.

Petani dan pekebun kecil yang menanam klon ini dijangka dapat meningkatkan hasil tanaman lantas menampung keperluan biji kopi negara terutama industri kopi yang menggunakan kopi Liberica untuk diproses menjadi serbuk kopi dan produk lain.

Bagaimanapun, kata Anuar, keluasan tanaman kopi semakin berkurang setiap tahun akibat persaingan penggunaan tanah dengan tanaman lain dan penempatan manusia.

“Selain itu harga pasaran kopi dunia yang tidak menarik terutama Robusta dan Liberica mengurangkan minat petani dan pekebun kecil.

“Usia petani dan pekebun kecil yang semakin meningkat juga memainkan peranan dalam penanaman kopi,” katanya.

Buat masa ini, Jabatan Pertanian membantu membekalkan 75,000 anak benih kopi dan 19,000 klon kopi kepada petani dan pekebun kecil di seluruh negara terutama di Johor dan Selangor dan biji benih kopi polihibrid di Sabah.

January 2, 2009

Teknologi Majukan Industri Cendawan

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

AKTIVITI penanaman cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pengusaha bidang pertanian.

Namun, disebabkan industri tersebut masih baru di negara ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak untuk memastikannya terus berkembang.

Sebenarnya, industri berkenaan mampu untuk berkembang disebabkan ia menerima permintaan yang sangat menggalakkan dari kalangan pengguna.

Ini kerana tumbuhan dari spesies kulat tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai makanan, malah ia turut digunakan untuk menghasilkan makanan hiliran lain seperti jus, sambal cendawan dan juga serunding cendawan.

Bagi mencari platform bagaimana aktiviti penanaman cendawan dapat diperkembangkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi terkini, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menganjurkan Persidangan Dan Pameran Cendawan Malaysia 2008 (MMCF 2008)

Program yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Cendawan (MRC) UM itu telah mendapat kerjasama dari Persatuan Cendawan Malaysia (MAM) dan juga Jabatan Pertanian.

Selain jualan dan pameran cendawan, program tersebut juga telah menunjukkan demonstrasi memasak resipi cendawan, penjagaan kit cendawan segera dan teknik penanaman cendawan kepada para pengunjung.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Rauzah Hashim, melalui persidangan seperti itu, golongan seperti pakar-pakar, penyelidik dan juga pengusaha dapat bertukar-tukar pendapat untuk memajukan sektor tersebut melalui sumber-sumber yang ada.

"Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penyelidikan dan pembangunan cendawan melalui aplikasi.

"Ia juga bakal memberi manfaat kepada ekonomi negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada jaminan kualiti makanan serta kesihatan masyarakat," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk membangunkan industri berkenaan, ia bukan sahaja bergantung kepada teknik pelaksanaannya, malah perkongsian kerjasama dengan negara-negara lain juga penting agar ia dapat dilakukan dengan berjaya melalui pelaburan kos yang efektif.

Negara kita perlu mengambil pengalaman dari negara-negara pengeluar cendawan seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga New Zealand.

Antara jenis cendawan yang di tanam di Malaysia adalah dari spesies tiram kelabu, tiram putih, jeli hitam dan juga bunga kubis.

Setakat ini, MRC telah menghasilkan beberapa kepakaran sistematik melibatkan industri cendawan dari segi bioteknologi, biodiversiti, kesihatan, pertanian dan alam sekitar.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan berkenaan, Prof. Dr. Vikineswary berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan memakan cendawan kerana selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mempunyai kebaikan dari segi kesihatan.

"Makan cendawan secara segar adalah paling digalakkan bagi mendapatkan keseluruhan nutriennya,'' katanya.

Menurut beliau, bagi merangsang pertumbuhan industri berkenaan, kerjasama antara universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga penting bagi mewujudkan pelbagai aktiviti dalam kajian mengenai penanaman cendawan.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti seminar, bengkel, pesta dan juga perkhidmatan bantuan kepada pengusaha yang berminat.

Mengambil contoh UM, mereka ada menjalankan usaha sama dengan beberapa universiti dari luar negara seperti New Zealand dan San Francisco dalam bidang-bidang berkaitan.

Selain itu, universiti tersebut juga melatih lebih kurang 50 pelajar siswazah yang berminat untuk mendalami kajian cendawan dalam pelbagai aspek.

"Kajian-kajian yang dijalankan adalah seperti kandungan enzim di dalam cendawan, teknik penanaman selain mencari spesies-spesies baru di dalam hutan untuk penyelidikan yang lebih terperinci,'' jelasnya

Sebenarnya, tidak semua spesies cendawan boleh ditanam di Malaysia kerana proses pertumbuhan dan khasiat cendawan adalah bergantung kepada iklim sesebuah negara.

Justeru, untuk mencari kesesuaian berkenaan, peranan persatuan dan badan penyelidik adalah sangat penting bagi meningkatkan stimulasi pembiakan dan seterusnya mengekalkan khasiatnya.

Di samping itu, agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus memberi sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

Sehingga penghujung tahun lalu, sebanyak 334 ladang cendawan telah diusahakan di negara ini yang melibatkan tanaman secara komersial dan juga secara persendirian.

Daripada jumlah itu, terdapat enam syarikat yang melaksanakan projek berkenaan dalam skala yang besar iaitu melebihi 500 kilogram (kg) sehari manakala 57 syarikat melakukannya secara sederhana yang melibatkan hasil 50 hingga 500 kg sehari.

Sementara itu, sebanyak 260 pengusaha pula melaksanakannya secara kecil-kecilan dengan hasil yang dikeluarkan kurang daripada 50 kg sehari.

Johor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai ladang penanaman cendawan dengan jumlah keseluruhan 67 ladang.

Secara keseluruhannya, negara kita menghasilkan sebanyak 24,000 kg cendawan sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung permintaan yang tidak kurang dari 50,000 kg setiap sehari.