September 4, 2009

Fokus kepada pembenihan keli

KETIKA ini, industri akuakultur bagaikan di serang demam keli kerana semakin ramai ingin menceburkan diri. Ramai pengusaha mula berjinak-jinak melibatkan diri sama ada berstatus kecil atau sederhana khususnya mereka yang berada di luar bandar.

Meskipun ada ura-ura dan keluh kesah di sana sini bahawa aktiviti penternakan keli sudah tepu dan ramai yang berpendapat tidak menguntungkan, tetapi semakin ramai yang bertanya di manakah benih keli dapat diperoleh.

Pengusaha ini mungkin penternak induk iaitu untuk tumbesaran, membekalkan benih sahaja, makanan rumusan untuk ternakan atau juga produk hiliran seperti keli salai dan sebagainya.

Inilah kesan daripada usaha kerajaan memberi nafas baru kepada bidang pertanian, yang mendapat sambutan rakyat.

Tidak dinafikan, sebilangan besar pengusaha ini sudah berjaya dan sebahagiannya pula gagal dan kecewa lalu menyalahkan bidang pertanian yang dikatakan tidak mempunyai masa depan, sedangkan petua paling penting untuk berjaya ialah sabar setelah 'tersungkur' beberapa kali.

Percaya atau tidak, belum ada pengusaha pertanian tulen yang boleh dikatakan berjaya tanpa melalui onak dan duri, mencabar kematangan, bergolok bergadai sedangkan hasilnya lambat untuk dituai.

Mungkin ini yang cuba dibuktikan oleh seorang penyelia di syarikat swasta yang menetap di pinggir bandar Putrajaya.

Mansur Arifin, 46, yang meminati bidang penternakan ikan keli mula menanam azam untuk kembali bersaing setelah pernah gagal dan mengharungi pelbagai masalah antaranya persekitaran, penyakit dan juga kurang berkemahiran dalam bidang penternakan itu.

Mansur boleh dikatakan mencuba bidang ini sejak beberapa tahun lepas, selepas berkenalan dengan seorang pengusaha yang ingin membantunya.

Bagaimanapun hasrat murninya terbantut kerana menghadapi masalah .

Jabatan Perikanan Daerah Banting tampil memberi sokongan dan dorongan supaya beliau mencuba semua bidang tersebut dengan enam kolam sebagai permulaan.

Persekitaran sesuai

Tapak kolam di Kampung Limau Manis, Banting, Selangor itu secara kebetulannya menawarkan persekitaran sesuai kerana berhampiran punca air. Dia menternak pelbagai spesies ikan seperti keli, puyu dan haruan.

''Saya hanya suka-suka sahaja kerana dari kecil memang suka bermain dengan ikan.Kawasan ini pun dipunyai oleh adik-beradik yang menyerahkan kepada saya untuk mengusahakannya secara serius ," katanya.

Berbekalkan modal RM3,000 untuk membina enam buah kolam, dia berjaya menternak keli sehingga 2,000 ekor dan puyuh sebanyak 3,000 ekor yang boleh dijadikan induk serta induk tilapia.

Bagaimanapun masalah timbul selepas dia bekerjasama dengan seorang pengusaha lain yang tidak begitu membantunya secara bersungguh-sungguh.

Pada masa sama, isu penggunaan sisa ternakan khinzir sebagai makanan ternakan keli yang didedahkan media massa tidak lama dulu bagaikan mala petaka kepadanya kerana pasaran keli terjejas.

Masalah-masalah tersebut menjejaskan usahanya untuk terbabit secara serius tetapi semangat tidak pernah luntur kerana baginya, sekali berusaha perlu terus berusaha.

Barangkali rahmat menyebelahinya apabila mendapat tunjuk daripada Johari Daud yang mendapat jolokan sifu keli.

Masalah ikan mati yang dihadapinya sebelum ini mendapat tunjuk ajar daripada Johari yang mengesyorkannya supaya mendapatkan benih Jabatan Perikanan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Twar (PPAT) Perlok, Pahang.

Kini, beliau telah membangunkan kawasan tersebut dengan kolam kepada 20 buah termasuk 14 buah kolam induk, serta kolam benih dan kolam Moina, sejenis zooplankton untuk makanan anak ikan tetapi jalur perjuangannya untuk terus kekal dalam bidang penternakan keli diperluaskan kepada projek pembenihan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan, beliau memfokuskan kepada usaha pembenihan, satu cabang dalam ternakan ikan yang mempunyai potensi luas untuk dikembangkan. Pertemuannya dengan Mohd. Razif Hamzah juga meyakinkannya untuk memfokuskan kepada usaha tersebut kerana rakan barunya itu mempunyai pengalaman yang sama dengannya.

Bagi membuktikan kesungguhannya Mansur telah membina tempat khas untuk menjalankan aktiviti pembenihan menggunakan teknik aruhan.

Kini , dia mampu menghasilkan 200,000 anak benih sebulan dan menyasarkan pengeluaran kepada 1.5 juta hingga 2 juta sebulan dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut Mohd. Razif, beberapa pihak sudah menyatakan minat untuk membuat tempahan dan kini mencecah dua juta.

''Kami juga mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk memfokuskan kepada aktiviti pembenihan," katanya.

Beliau bagaimanapun menumpukan kepada permintaan yang datang daripada pengusaha atau penternak tulen dan bukan orang tengah bagi mengelakkan sebarang masalah timbul kemudian hari.

Beliau menawarkan harga lima sen bagi anak benih bersaiz dua inci, dan tujuh sen bagi saiz yang sama jika tempahan itu memerlukan pihaknya menghantar kepada pemohon. Ini bagi permohonan berjumlah lebih 1000,000 ekor.

Bagi tempahan kurang 100,000 ekor harga yang ditawarkan ialah lapan sen untuk anak benih bersaiz tiga inci.

Mereka yang berminat membuat tempahan boelh menghubungi Mohd Razif di talian 019-3587113.

Ingin bantu penternak keli

RAMAI penternak keli telah menyedari kehadiran dan mengenali secara umumnya satu produk atau rumusan pemakanan istimewa yang dibangunkan berteraskan bioteknologi keluaran Perintis Agrotech Centre (PAC), sebuah syarikat 100 peratus milik bumiputera yang menjalankan aktiviti pembangunan bioteknologi dalam sektor perikanan, pertanian dan penternakan.

PAC yang ditubuhkan pada 2006 ini, mengorak langkah lebih jauh dalam bidang pertanian, bukan semata-mata terlibat dalam aktiviti huluan tetapi dalam usia yang masih muda tampil dengan teknik ternakan keli kaedah Pro-Asli iaitu satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan pergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Teknik tersebut sejajar dengan dua matlamat utama Pro-Asli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak.

Kaedah ini menawarkan tiga bahan utama iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protin tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio Mineral berfungsi untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio Mineral perlu diaktifkan di dalam kolam ternakan lima hari sebelum benih keli dimasukkan ke dalam kolam manakala Bio Vita perlu dicampur dengan pelet berprotein tinggi berfungsi untuk membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Ia juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya. Pelet yang telah dicampur dengan Bio Vita hanya diberi makan kepada ikan empat kali seminggu sahaja.

Bio Aqua berfungsi untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan serta rawatan penyakit bagi ikan. Kaedah rawatan Bio Aqua ini perlu diulangi setiap dua minggu sehingga tuaian.

Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 - RM1.50 berbanding RM4 hingga RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet dan tempoh tumbesaran antara tiga dan empat bulan bergantung kepada kualiti benih yang dimasukkan.

Satu set Pro Asli sesuai untuk 3,000 ekor ternakan dan hanya menggunakan empat beg pelet berprotein tinggi sehingga tuaian.

Apa yang menariknya, kesemua produk yang dihasilkan oleh PAC ini menggunakan ekstrak cacing dan mikrob hidup sebagai bahan asas utama dalam pembuatan dan melalui proses fermentasi yang masih mengekalkan protein yang tinggi dalam adunan tersebut.

Perintis juga menawarkan pakej ternakan keli kaedah Pro Asli kepada para penternak dengan jaminan belian balik selama tiga tahun.

Pakej berharga RM5,000 itu menawarkan tiga set kolam kanvas, 9,000 ekor anak benih, pelet berprotein tinggi dan tiga set Pro Asli untuk penggunaan sehingga waktu tuaian.

Pakej Jaminan Belian Balik ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di Perak, Lembah Klang dan Selangor sahaja. Bagi mereka yang berada di luar kawasan tersebut, hasil tuaian perlulah dihantar sendiri ke pusat pengumpulan keli milik Perintis di Chemor, Perak atau di Rawang, Selangor.

Ikan-ikan tersebut akan digunakan dalam penghasilan Jus Keli Omega 3 yang akan dikeluarkan oleh Perintis secara komersial pada penghujung September ini dan penghasilan keli berempah melalui anak syarikat PAC, Perintis Food Industries di Bandar Sungai Buaya, Selangor.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah ini, satu bengkel ternakan keli Pro Asli akan diadakan di Ipoh, Perak pada 12 September dan di Kuala Lumpur pada 10 Oktober. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 sahaja.

Bengkel tersebut juga akan mengenengahkan wakil dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak yang akan membentangkan kertas kerja "Pengendalian dan Pemasaran Ikan Keli."

Seorang penternak ikan keli yang berjaya, Mohd. Edzrie Tajuddin turut berkongsi ilmu dengan para peserta tentang rahsia kejayaan beliau dalam bidang penternakan ini.

Beliau merupakan pembekal ikan keli segar kepada FAMA Negeri Perak.

Bengkel tersebut diharap dapat membuka peluang dan ruang kepada penternak ikan keli untuk meneruskan semula ternakan mereka dan memberikan garis panduan kepada para penternak tentang pemasaran ikan segar ke saluran yang lebih tepat.