July 31, 2009

Mulanya tanam suka-suka, kini menguntungkan

Menerima pelawaan membuat liputan mengenai tanaman malberi menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pokok yang menjadi santapan ulat sutera ini.

Bertemu dengan mantan guru, Khadijah Mustapa, 58, merungkai segala persoalan yang terbuku sejak seminggu.

Memulakan bicara, Khadijah bercerita, sebatang ranting malberi yang dibawa oleh seorang ahli keluarga sekembali dari United Kingdom (UK) mengubah kehidupannya sekeluarga.

Katanya, pokok malberi tumbuh subur di UK bagaikan kawasan semak dan buahnya yang masam-manis enak dimakan terutama bagi pelajar negara ini.

"Dengan sebatang dahan, suami saya, Abdul Jalil Nong menanamnya secara suka-suka kerana kami sekeluarga memang gemar bertani," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rasa Tambahan, Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Apabila pokok malberi yang ditanam mula mengeluarkan hasil, Khadijah membuat jem serta jus dan memberikannya kepada guru sekolah di tempatnya mengajar.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai yang ingin membeli produk baru ini," katanya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai malberi melalui Internet.

Mendapati pokok dan buah malberi mempunyai banyak kegunaan, Khadijah mula menghasilkan jus, jem, teh dan dadih bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun rakan serta keluarga yang berkunjung ke rumah dan merasai produk malberi hasilan tangan Khadijah menggalakkan beliau mengkomersialkannya.

Bermula dengan menjual pada rakan dan sahabat di sekolah serta jiran berhampiran, Khadijah mula terfikir mengkomersialkannya.

Setelah lima tahun mengusahakan jem malberi secara kecil-kecilan, setelah bersara Khadijah mula mengambil langkah membesarkan perniagaannya.

Menerima nasihat rakannya Zainon Ariffin, Khadijah meminta khidmat nasihat Jabatan Pertanian bagi meningkatkan mutu produk jem buatannya selain menghasilkan produk lain seperti jus, teh dan topping dadih.

"Jabatan Pertanian membantu memberikan khidmat nasihat mengenai pembuatan jem, teh, jus dan dadih.

"Saya juga menggunakan kemudahan di Jabatan Pertanian Rasa bagi menghasilkan produk," katanya yang menghasilkan dan mengeluarkan produk di bawah syarikat DMJ Enterprise.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Khadijah yang sekarang mengusahakan tanaman malberi di tanah seluas suku ekar kini mula menanamnya di kawasan seluas kira-kira empat hektar (11 ekar) di Batang Kali, Selangor.

Khadijah menanam pokok malberi secara berperingkat bagi membolehkan hasil dituai secara berterusan.

Ditanya mengenai pengurusan tanaman malberi, beliau berkata, malberi mudah ditanam dan dijaga tetapi tanaman ini menarik ulat beluncas dan burung.

"Pokok malberi, pokok renek seakan-akan semak mengambil masa tiga bulan untuk berbuah dan biasanya buah yang pertama kali tidak digunakan.

"Kami menggunakan buah yang terhasil pada kali ke dua dan seterusnya bagi memastikan mutu," katanya yang mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Mara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.

Buah malberi yang unik tetapi mempunyai keistimewaan untuk menghasilkan banyak produk hiliran.

Ulat Sutera

Memandangkan daun malberi adalah makanan ulat sutera, musuh semulajadinya adalah ulat beluncas.

Bagi menghalang ulat beluncas, Khadijah tidak menggunakan racun serangga sebaliknya hanya hanya membuang serangga yang ada.

Mengenai ancaman burung pula, Khadijah tidak menggunakan malberi sisa makanan burung dan hanya buah yang sempurna.

Mencari maklumat mengenai pokok malberi, Khadijah mendapat tahu, buah malberi masak boleh dimakan mentah.

Selain itu, buah malberi juga boleh digunakan dalam masakan seperti pai, tart dan minuman kordial.

Buah malberi hitam yang biasa terdapat di barat daya Asia, manakala malberi merah yang ditemui di Amerika Utara mempunyai rasa yang kuat.

Malberi hitam, merah dan putih terdapat dengan banyaknya di India, Azerbaijan, Syria, Armenia, Pakistan, Iran dan Afghanistan dipanggil malberi unggul.

Buah malberi hitam pula diimport ke Britain dalam abad ke-17, atas alasan membantu industri ulat sutera.

Bagaimanapun malberi banyak digunakan dalam perubatan tradisional terutama untuk merawat kurap.

Pokok malberi dibawa ke negara ini oleh pedagang Cina sebagai makanan ulat sutera dan sebagai ramuan ubatan tradisional.

Malahan tumbuhan ini mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan tradisional cina sejak 1800 tahun lalu.

Keseluruhan pokok boleh dimanfaatkan, di mana buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat jem, daunnya dijadikan teh dan batang serta akar boleh direbus untuk diminum.

Khasiatnya paling popular dalam formulasi tradisional bagi mengelakkan kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merendahkan paras kolestrol dalam darah.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk malberi boleh menghubungi Khadijah Mustapa di 012-9026676 atau 03-60579197.

Info pokok malberi

Malberi atau morus merupakan 10 hingga 16 jenis spesies pokok daun luruh yang biasa terdapat di kawasan temperat panas dan subtropikal di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika dengan majoritinya di Asia.

lBerkait rapat dengan genus Broussonetia juga dikenali dengan malberi atau Paper mulberry, Broussonetia papyrifera.

Klasifikasi saintifik

Alam: Plantae

Filum: Magnoliophyta

Kelas: Magnoliopsida

Order: Rosales

Famili: Moraceae

Kumpulan: Moreae

Genus: Morus

Projek membawa sinar kepada peserta

Ada nada kegembiraan, harapan dan dan keyakinan yang diluahkan oleh peserta terpilih menyertai projek Agropolitan Pekan, Pahang.

Projek agropolitan itu dilaksanakan dengan matlamat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar mencapai taraf hidup setanding dengan lain-lain kawasan di negara ini.

Keluarga miskin yang menyertai program penempatan semula menikmati banyak faedah dan nikmati terutamanya bekalan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Selain itu, kawasan penempatan semula juga akan disediakan kemudahan-kemudahan sosial seperti dewan masyarakat, masjid, perpustakaan, taman permainan dan pusat perniagaan.

Pada masa sama, setiap peneroka akan disediakan rumah dan tanah untuk tujuan pengkomersialan seperti penternakan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan akuakultur.

Projek tersebut melibatkan dua golongan termasuk 750 peserta Orang Asli yang mana projek dilaksanakan berdasarkan konsep in-situ atau di kawasan realiti kampung mereka.

Mereka tidak perlu meninggalkan kawasan kampung untuk menyertai projek yang dianjurkan, manakala baki golongan miskin tegar kedua melibatkan orang Melayu di Pusat Penempatan Tanjung Batu di Batu 8 yang bakal menghuni perumahan baru.

Rumah tiga bilik tersebut dibina dengan nilai RM35, 000 dan kini 100 unit sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar yang akan turut menempatkan kemudahan lain seperti pusat latihan , penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lain-lain.

Menurut Ketua Bahagian Pertanian dan Sosial, KLL Projects Sdn. Bhd., Rosemadi Hussain, pihaknya sebagai pembangun prasarana projek sedang bertungkus lumus menyiapkan semua yang dirancangkan termasuk kandang atau APU dan rumah penempatan di Batu 8 melibatkan kos RM6.8 juta.

"Setiap kandang biri-biri sebagai contoh, berkeluasan 9 meter x 18 meter daripada besi tahan karat dan direka bentuk untuk memuatkan maksimum 150 ekor kambing biri-biri,'' katanya.

Kemudahan lain termasuk sistem tangki air mengikut keperluan ternakan dan prasarana asas kawasan APU. -

1,450 keluarga miskin bakal dapat faedah

TIDAK ada perkara yang lebih menggembirakan bagi 1,450 keluarga miskin tegar termasuk 750 keluarga Orang Asli di Pekan, Pahang dengan pembangunan projek Agropolitan di kawasan itu yang bakal dilancarkan 4 Ogos ini.

Projek mega itu bakal memberi sinar kehidupan baru kepada mereka, dengan objektif utama meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 sebulan sekarang kepada RM1,500 apabila projek tersebut sempurna kelak.

Projek Agropolitan Pekan merupakan sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dilaksanakan melalui langkah pembangunan serantau bersepadu untuk membantu keluarga miskin tegar yang ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar.

Yang menariknya, projek tersebut yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, akan mengubah wajah pembangunan kawasan sekitar dengan projek berdaya maju dan dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan baru.

Ia juga menandakan salah satu pencapaian Pelan Induk ECER, dan menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

Pada masa yang sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Selain itu, ia menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di ECER, seiring dengan hasrat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Pada satu taklimat media yang diadakan di kawasan tersebut baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Zulkifli Yaacob berkata, satu keunikan projek Agropolitan ECER ini adalah pelaksanaan aktiviti-aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para peserta.

''Satu lagi ciri-ciri projek ini adalah pendapatan dijana bukan untuk ketua keluarga sahaja, malah semua ahli keluarga mendapat manfaat daripada aktiviti sekunder dan sokongan,'' katanya.

Katanya, aktiviti utama ialah perladangan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri, manakala aktiviti sekunder melibatkan aktiviti tambahan kepada aktiviti utama seperti penternakan ayam, sarang industri sarang burung, tanaman herba, inap desa, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Aktiviti sokongan pula melibatkan bengkel latihan kemahiran, pembinaan pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CMC) bidaan serta pusat penyembelihan dan pemprosesan daging.

Menyentuh mengenai penternakan biri-biri sebagai satu daripada projek utama, beliau berkata, kaedah pelaksanaannya ialah menerusi pengenalan konsep unit ternakan haiwan (APU).

Sebanyak 250 APU akan dibina menempatkan 100 ekor biri-biri baka Dorper dan padang ragut seluas 44.2 hektar.

Menerusinya, seramai 50 peserta dipilih menjayakan projek perintis ternakan biri-biri di kawasan tersebut.

Projek tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka siap menjelang tahun depan yang mana fasa pertama melibatkan pembangunan perladangan dan penternakan sebanyak 1,000 ekor ternakan.

Fasa kedua pula melibatkan peningkatan aktiviti ternakan kepada 8,000 ekor manakala fasa ketiga melibatkan 25,000 ekor.

Pusat pengeluar

Dengan pewujudan projek tersebut, Pekan bakal menjadi pusat pengeluar biri-biri Dorper pada masa akan datang.

Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa, Droper merupakan baka kacukan Afrika Selatan, Dorset Horn dan Black Persian dan merupakan tahan baka lasa dan sukar meragut rumput.

''MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak 2006 bagi dan ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan," katanya.

Di bawah sistem APU, setiap unit akan dijaga oleh tiga peserta Orang Asli secara syif setiap empat jam dengan dibayar gaji. Bagi peserta lain, dua orang diberi tanggungjawab menjaga seunit APU.

Di bawah projek utama kedua iaitu perladangan sawit, ia melibatkan kawasan seluas 1,352 hektar dan bantuan Felda.

Menurut Pengurus dan Ketua Kilang Makanan, Felda Farm Products Sdn. Bhd., Khairudin Minhaj, pihaknya berperanan dalam menguruskan ladang di kawasan projek.

FELDA yang berperanan sebagai agensi pelaksana utama akan menguruskan para peserta, projek tersebut dan aktiviti-aktiviti berkaitan serta menguruskan aspek kewangan projek tersebut.

Sementara itu, Zulkifli menambah, peserta di pilih oleh kerajaan negeri menerusi program e-Kasih iaitu program pembasmian kemiskinan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat dalam projek.

Beliau berkata, mereka mendapat faedah daripada gaji yang diterima bekerja dalam aktiviti utama selain insentif dan juga kepentingan (share) dalam projek tersebut.

July 24, 2009

Sanggul Biru hasilkan lapan produk minyak kelapa dara

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

MENGGUNAKAN moto 'Untuk kecantikan dan kesihatan,' Amidah Lazim menghasilkan produk hiliran minyak kelapa dara.

Walaupun baru dua tahun melibatkan diri dengan industri minyak kelapa dara, beliau sudah boleh berbangga dengan usahanya.

Menurut Amidah, langkahnya bermula apabila beliau dan suami Othman Mahmud mula mencari perniagaan yang sesuai selepas persaraan pilihan.

"Kenalan anak yang bertugas di Jabatan Pertanian memberi idea agar saya mendalami kaedah pengeluaran minyak kelapa dara," katanya semasa ditemui di bengkel minyak kelapa dara di premis Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Perak, baru-baru ini.

Mendapat latihan dan kursus asas di Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Amidah kemudian mengikuti kursus penghasilan kelapa anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Indonesia.

Di sana, Amidah mempelajari kaedah mempelbagaikan minyak kelapa dara kepada pelbagai produk penjagaan badan dan wangian.

Sehingga kini, Amidah menerusi syarikat Sanggul Biru Enterprise telah berjaya menghasilkan lapan produk berasaskan minyak kelapa dara.

Idea menghasilkan minyak kelapa dara berperisa timbul apabila terdapat pengguna yang tidak sukakan rasa dan baunya.

Justeru Amidah meminta nasihat Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai cadangan beliau bagi memberi pilihan kepada pengguna

"Minyak kelapa dara biasanya boleh diminum antara tiga hingga lima sudu kecil setiap hari dan boleh tambah kepada minuman atau makanan kegemaran dan sangat sesuai untuk semua peringkat usia kerana kaya dengan bahan semula jadi dan diakui terbaik di dunia," katanya.

Minyak urut kelapa dara serai wangi dan kayu putih bagi kegunaan dewasa dan kanak-kanak boleh digunakan untuk mengurut, meredakan kembung pada bayi selain bisa gigitan serangga.

Losen badan minyak kelapa dara pula dapat mencantik, melembut dan melembapkan kulit.

Krim malam minyak kelapa dara sesuai digunakan pada sebelah malam sebelum tidur dan merawat kulit muka.

Sabun pencucinya sesuai digunakan pada bila-bila masa untuk merawat kulit muka.

Manakala tonik rambut boleh digunakan sebagai minyak rambut, merawat kulit kepala bagi menjadikannya lembut, bersinar, tidak berkelemumur dan tidak mudah gugur.

Pewangi minyak kelapa dara tidak menggunakan alkohol, sesuai digunakan untuk beribadah dan balm minyak pala sesuai bagi mereka yang mengalami sakit sendi.

Selain mendapatkan bahan mentah daripada kawasan sekitar, Amidah mempunyai ladang kelapanya sendiri seluar empat ekar.

"Suatu masa dulu saya mempunyai ladang kelapa tetapi telah ditebang kerana ketika itu kami tidak tahu kegunaan kelapa dan kini kami sedang menanam semula kelapa matag," katanya.

Buat masa sekarang, Amida memerlukan 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan minyak kelapa dara, jeli kelapa dan kerisik.

Produknya mendapat sambutan menggalakkan memandangkan beliau merupakan salah seorang ahli program inap desa di Bagan Datoh.

"Setiap kali terdapat pelancong berkunjung ke inap desa, mereka akan dibawa ke bengkel saya.

"Ramai pelancong yang datang dan mencuba minyak kelapa dara di sini dan mereka biasanya datang semula untuk membelinya," katanya yang mempromosikan produknya menerusi majalah dan akhbar.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Amida di talian 013-4507252 atau Othman di 013-4391792.

Bekas guru hasilkan baja

Oleh NASHIR MANSOR

PADA Karnival Jualan Mega 2009 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Tawau, Sabah baru-baru ini, kelihatan ramai pengunjung tertumpu di gerai yang dikendalikan guru bersara, Ismail Sulaiman.

Pengunjung jelas tertarik melihat dua pokok kacang bendi yang ditanam di dalam dua pasu di hadapan gerai itu.

Pokok kacang bendi di dalam sebuah pasu, nampak kurus dan tumbesarannya terencat berbanding pokok bendi di dalam pasu satu lagi yang tumbuh subur daunnya lebar, menghijau segar dan batang yang besar dan ketinggiannya jauh melebihi pokok bendi pertama.

Pokok kacang bendi yang subur dan tinggi itu menggunakan baja organik buatan Ismail, yang dinamakannya 'HBO' iaitu 100 peratus bio-organik.

Jika berkunjung ke rumah dan kebunnya di Kampung Sungai Imam, anda akan berpeluang menyaksikan kesuburan tanaman lain seperti pokok tomato melalui penggunaan baja organik buatan beliau.

Pada masa ini, Ismail, 60, bekas pengetua di SMK Abaka, Tawau, Sabah adalah pengusaha tunggal baja organik Bumiputera di Tawau. Beliau bersara daripada kerjaya guru pada tahun 2005.

"Selepas menghadiri taklimat tentang baja organik anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tawau, minat saya menceburi bidang ini timbul. Saya kemudian menghadiri kursus membuat baja organik menggunakan tahi ayam di Johor.

"Sekembali dari kursus, saya terus memulakan usaha mengeluarkan baja organik secara manual dengan modal permulaan RM20,000 daripada pinjaman bank dan hasil wang pencen.

"Bagaimanapun saya berhadapan dengan masalah kerana tidak seperti tahi ayam, tahi kambing tidak mudah dihancurkan menggunakan tangan sebaliknya perlu menggunakan mesin khas.

"Pengeluaran ketika itu cuma antara lima hingga enam guni baja sehari. Jadi, ketika itu walaupun saya masih boleh mengeluarkan baja organik berasaskan tahi kambing namun baja berkenaan cuma untuk kegunaan kebun sendiri kerana kualitinya belum sampai ke tahap boleh dipasarkan.

Bagaimanapun, atas bantuan LPP, beliau memperoleh mesin penghancur tahi kambing bernilai RM10,000 dan kini mampu mengeluarkan antara 40 hingga 50 tan baja organik sebulan.

Dengan khidmat nasihat LPP, pembungkusan baja organik keluaran Ismail kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini yang menggunakan guni-guni terpakai.

"Saya kini dalam proses untuk mendapatkan mesin yang mampu memproses sehingga satu tan baja organik sejam," katanya yang berhasrat memasarkan baja organik buatannya ke seluruh Sabah.

Ismail turut membekalkan bajanya kepada sebuah ladang yang mengamalkan penanaman organik.

Beliau kini berusaha mendapatkan pensijilan baja organik dari beberapa buah negara termasuk Thailand, Jepun, Australia, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat kerana Malaysia sendiri belum mengeluarkan sijil seperti itu.

"Sebenarnya, saya melakukan semua ini bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dengan menyediakan baja yang dijamin halal dan bersih kepada pekebun-pekebun yang beragama Islam.

"Pada masa ini, ramai kalangan umat Islam tidak mengetahui secara pasti kandungan sebenar baja termasuk baja organik yang mereka gunakan sama ada dibuat berdasarkan syariat Islam.

"Sehubungan itu, saya berharap baja HBO ini akan menjadi baja organik alternatif kepada umat Islam yang memerlukan baja organik yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan yang tidak meragukan," katanya.

Menurut Ismail, potensi pasaran masa depan baja berasaskan organik amat cerah dan beliau sudah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah agar menjadi- kan Sabah sebagai negeri baja organik.

Katanya, melalui moto pengeluaran bajanya Go Green From Today (Hijau mulai hari ini), beliau berharap kesedaran orang ramai tentang pemeliharaan alam semula jadi melalui penggunaan baja organik dapat ditingkatkan. - Bernama

July 17, 2009

Pakar pertanian UPM turun padang dekati masyarakat

Oleh LAUPA JUNUS

Ini peluang terbaik bagi pengusaha pertanian di Temerloh, Pahang dan sewajarnya mereka tidak melepaskan peluang bertemu 25 pakar pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada satu program khas selama dua hari bermula esok dan lusa.

Kunjungan kumpulan pelbagai pakar pertanian itu menerusi program Hari Terbuka Bersama Pakar Pertanian UPM di Temerloh yang akan di adakan di Kompleks Dewan Tun Abdul Razak bertemakan Dari Gedung Ilmu Ke Lapangan.

Program anjuran UPM di bawah urus setia Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) bersama Jabatan Pertanian dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh itu merupakan satu usaha pengembangan untuk mendekati masyarakat secara langsung.

Menurut Pengarah APEEC, Prof. Dr. Azimi Hamzah, program tersebut memberi khidmat nasihat dan rundingan dalam perkhidmatan pengembangan kepada kumpulan sasar di kawasan terpilih merangkumi bidang tanaman, penternakan, perikanan, industri asas tani serta teknologi dalam bidang berkaitan.

Beliau berkata, usaha seperti itu merupakan cabaran utama kepada penyelidik kerana sebelum ini konsep pemindahan teknologi (TOT) dilakukan tetapi ia belum mencukupi.

"Ini kerana konsep TOT tidak melibatkan kumpulan sasar secara langsung sebaliknya hasil penyelidikan diserahkan kepada mereka tanpa sebarang usaha penglibatan menyeluruh,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, baru-baru ini.

Justeru, konsep pengembangan lebih sesuai dan tepat yang mana penglibatan kumpulan sasar seperti petani secara menyeluruh dengan langkah awal memahami permasalahan mereka.

Perbincangan dilakukan dengan kumpulan tersebut sebelum mereka membuat keputusan untuk menentukan cara sesuai menyelesaikan masalah.

"Konsep (pakar) datang untuk menyelesaikan masalah semata-mata tidak mencukupi sebaliknya petani diberi peluang menyertai sendiri proses perbincangan dan penyelesaian masalah mereka dengan diberi bimbingan,'' ujar beliau.

Katanya, lebih menarik turut diperkenalkan ialah Makmal Sosial atau Makmal Terbuka yang mana masalah diselesaikan ibarat membuat kajian dalam makmal.

Katanya, konsep pengembangan perlu diberi pendekatan baru supaya peranannya diiktiraf dan penting dalam memajukan sektor pertanian.

Beliau berkata, UPM antara universiti yang memainkan peranan meningkatkan usaha memperkasa program pengembangan dan sering dijadikan rujukan oleh agensi kerajaan yang mahu mendapatkan khidmat dalam program terbabit.

Malah, satu ketika sebelum penubuhan APEEC, UPM mempunyai Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL) yang memainkan peranan tersebut bagi menyalurkan hasil penyelidikan pertanian ke serata negara.

Namun dengan penubuhan APEEC, konsep tersebut diperhebatkan dengan merangkumkan sekali usaha-usaha TOT, keusahawanan dan pemajuan profesional dalam mana-mana program pengembangan.

Beliau berkata, usaha seumpamanya akan terus dilaksanakan dengan sasaran antara dua atau tiga tempat dalam setahun mengikut permintaan dan aktiviti pertanian di kawasan terbabit.

Menurut Azimi, pihaknya menjangka 2,000 peserta akan hadiri pada program tersebut yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Antara acara penting termasuk dua forum iaitu Potensi Pembangunan dan Pengkomersialan Sektor Pertanian Terkini dan Peluang Pengajian dan Kerjaya Lepasan UPM.

Program lain termasuk klinik pengembangan dan demonstrasi ternakan, akuakultur, tanaman, industri kecil dan sederhana, penanaman cendawan tiram kelabu, fertigasi, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pensijilan halal.

Turut diadakan ialah bengkel pemprosesan bebola ikan patin, memproses jem buah serta pameran.

Program di Temerloh itu merupakan program yang keempat dilaksanakan selepas Batu Pahat pada 4 September 2007, Jeli (8 Jun 2008) dan Pekan, Pahang (25 hingga 25 November 2008.

Objektif Program

lMembuka peluang kepada kumpulan sasar untuk mengemukakan masalah dan pendapat kepada kumpulan pakar UPM secara langsung, terbuka dan telus.

lMembolehkan UPM menyumbang kepakaran terus ke lapangan, bekerjasama dengan agensi pertanian membangunkan sektor pertanian setempat melalui diagnosis masalah pertanian secara bersama.

lMewujudkan hubungan kerjasama dua hala antara pihak ketiga iaitu UPM, agensi pembanguan setempat serta kumpulan sasar.

lMembuka peluang kepada pakar UPM meneliti masalah pertanian, seterusnya menjadikannya sebagai tumpuan penyelidikan.

lMembolehkan UPM memperkenalkan penyelidikan dan menambah nilai penyelidikan dan teknologi sedia ada kepada petani dan usahawan tani.

lMenjadi salah satu wadah untuk memperkenalkan program pengajian dan peluang kerjaya lepasan UPM.

Pasar tani sumber produk segar

WALAUPUN ramai yang selesa membeli barangan makanan basah seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan sebagainya di pasar raya besar, namun masih terdapat mereka yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian di pasar basah atau pasar tani.

Biasanya mereka yang ke pasar raya besar kerana mahu membeli dalam jumlah yang banyak dan untuk simpanan selama satu atau dua minggu.

Selain membeli makanan basah, mereka akan turut membeli barangan keperluan lain untuk seisi keluarga.

Mereka yang ingin mendapatkan keperluan harian yang segar seperti ikan dan sayur-sayuran dan tidak suka dengan bahan makanan yang disimpan lama di dalam peti sejuk lebih suka membeli di pasar basah atau pasar tani.

Jika tidak sempat ke pasar basah pada waktu pagi kerana perlu bergegas ke pejabat, ramai yang akan singgah di pasar tani yang mula berniaga pada waktu petang hingga ke malam.

Pengalaman pertama ke Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves menyaksikan kemeriahan membeli-belah pelbagai barangan keperluan daripada makanan mentah, makanan yang telah dimasak, biji kopi yang diproses segar, pakaian, buah-buahan, pokok bunga, anak pokok buah-buahan dan bermacam lagi.

Deretan gerai yang tersusun rapi diterangi lampu terang-benderang memudahkan pembeli mencari barangan keperluan yang dikehendaki.

Pengerusi Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves, Bujang Mohd. Nasir berkata, pasar tani yang dibuka pada bulan November tahun lalu ini asalnya hanya mempunyai seramai 60 orang peniaga dan 80 tapak gerai peniaga sahaja.

Bagaimanapun, setelah enam bulan dibuka, jumlah peniaga telah bertambah ke 80 orang dengan pertambahan kepada 120 tapak gerai peniaga.

''Para peniaga di sini adalah peniaga tempatan yang terdiri daripada penternak, peladang dan nelayan tempatan. Mereka memasarkan produk sendiri dan dijamin segar.

''Pembeli mempunyai banyak pilihan di sini seperti ikan sungai yang segar, ayam kampung, daging tempatan, keledek dan ubi kayu, pelbagai jenis kerepek dan banyak lagi,'' katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Katanya, objektif pasar tani dibuka adalah untuk memberi pendedahan kepada para pengusaha memasarkan produk masing-masing terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Selain itu, ia sebagai pendedahan kepada pengusaha akan proses pemasaran dan meluaskan pasaran pada pelbagai peringkat.

Menurut Bujang, mereka yang pernah ke pasar tani ini pasti seronok kerana dapat membeli-belah hasil kampung yang biasanya hanya boleh diperoleh di pasar Chow Kit.

''Jika di Chow Kit, anda perlu membeli berebut-rebut dalam cuaca panas dan mengharungi kesesakan orang ramai. Namun di pasar tani ini anda boleh memilih dan membeli-belah dalam suasana tenang.

''Jika dibandingkan harga pula, harga barangan di sini murah sedikit daripada di pasar basah biasa,'' jelasnya yang juga berniaga daging lembu tempatan.

Tambahnya, selain barangan makanan mentah, pembeli boleh 'membasuh' selera dengan bermacam-macam juadah yang telah siap dimasak.

Antaranya ialah gulai kawah, kambing panggang, nasi ambeng, nasi ayam berempah, laksa, kuih akok, kuih bakar dan sebagainya.

Bujang berkata, Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves yang dibuka pada setiap hari Rabu bermula pukul tiga petang hingga 10 malam ini menjadi tumpuan penduduk yang tinggal di sekitar Batu Caves.

''Masih ramai yang tidak mengetahui adanya pasar tani ini. Kami berharap lebih ramai yang akan berkunjung menjelang bulan Ramadan ini bagi mendapatkan keperluan harian kerana semua keperluan boleh diperoleh di sini.

''Kami juga akan mengadakan pasar tani khas menjelang Ramadan di lokasi ini. Setiap hari Rabu bermula sekarang sehingga Ramadan, cabutan bertuah akan diadakan untuk pengunjung di mana pengunjung yang bertuah akan mendapat hadiah berbentuk produk pertanian.

"Syaratnya, beli barang dan pembeli layak mendapat cabutan bertuah. Ini sebagai tanda terima kasih pengusaha kepada pengunjung pasar tani.

''Selain itu, sepanjang bulan Julai hingga Ogos, pengunjung boleh menyaksikan demo membuat kek dan biskut yang akan ditunjukkan oleh pakar kek dan biskut, Fieza Abdul Rahman yang turut menjual produk tepung kek dan biskut yang mudah disediakan,'' kata Bujang yang turut diiringi Pengerusi Pasar Tani Peringkat Wilayah, Abdul Rahman Dollah.

July 10, 2009

Bekas wartawan ternak keli

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Biarpun pernah menjawat jawatan wartawan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa, Normahiran Yusoff meninggalkan kerjaya berkenaan dan berhijrah ke dunia lebih glamor dengan terlibat dalam industri hiburan.

Ketika bertugas di syarikat rakaman, beliau dikelilingi oleh artis-artis tapi hatinya masih tidak dapat melupakan dunia perniagaan.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Pengurus Kanan sebuah syarikat rakaman, beliau menubuhkan syarikat sendiri dan seterusnya Normahiran mula melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Berpegang kepada moto 'Pertanian Adalah Perniagaan,' Normahiran mula berjinak-jinak mengikuti kursus pertanian terutama pembenihan dan ternakan ikan keli.

Beliau memulakan usahanya dengan membeli set ternakan ikan keli dalam kanvas daripada pengusaha di Negeri Sembilan.

"Setelah mengikuti kursus ternakan dan pembenihan ikan keli di Selangor, saya mula meninjau pasaran sebelum memulakan ternakan," katanya semasa ditemui di kawasan ternakan keli di Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Setelah meninjau pasaran, Normahiran membuat pengiraan modal serta untung rugi. Setelah pasti dengan keuntungan, beliau memulakan projek.

Beliau membeli tiga buah tangki yang telah diubahsuai sebagai permulaan untuk menternak ikan keli.

Kemudian beliau membeli anak benih ikan bersaiz tiga inci. Kini Normahiran beralih kepada saiz lima inci kerana saiz yang lebih besar cepat membesar dan kadar kematiannya juga rendah.

Pada mulanya, beliau hanya memberikan ikan keli makan pelet tetapi kosnya yang tinggi menyebabkan Normahiran mencari alternatif lain.

"Bagi menggantikan bekalan protein, saya menggunakan kepala dan perut ikan bilis yang didapati di pasar malam yang saya masak dengan beras hancur selain sisa roti.

"Maklum balas yang saya daripada penternak lain mendapati perut dan kepala ikan bilis mempunyai protein yang tinggi dan sesuai menggantikan pelet," katanya.

Sehingga kini ternakan kelinya telah mengeluarkan hasil dan beliau mendapat kontrak membekalkan ikan keli kepada sebuah syarikat mengeluarkan ikan keli salai.

Ikan keli salai, kata Normahiran memerlukan ikan keli yang memakan pelet dan bahan kaya protein tetapi kurang lemak bagi mendapatkan tekstur yang cantik.

"Biasanya saiz ikan keli yang sesuai untuk dibuat ikan salai adalah 160 gram (g) seekor atau enam hingga tujuh ekor bagi satu kilogram.

"Kini saya perlu membekalkan 200 kilogram (kg) ikan keli seminggu kepada ikan salai," katanya.

Bagi mendapatkan kontrak membekalkan ikan keli bagi ikan keli salai, pengusaha ikan salai melawat ke kawasan ternakannya bagi memastikan makanan yang diberikan serta tahap kebersihan.

Buat masa ini Normahiran sedang berusaha membesarkan lagi projek ternakan ikan keli bagi memenuhi permintaan pengusaha ikan keli salai.

Belia contoh usahawan tani

Teks NORZAINURA ABDUL MAJID

BIDANG pertanian kini semakin mendapat tempat di hati belia dan mereka mula menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dengan tekad untuk menjadi usahawan tani yang berjaya.

Ada antara mereka sanggup berhenti kerja kerana ingin berdikari tanpa makan gaji.

Ini membuktikan bahawa persepsi belia tehadap pertanian mula berubah dan minda mereka mula terbuka untuk menyahut seruan kerajaan agar menghijaukan kawasan sekitar dengan pelbagai tanaman sebagai persediaan menghadapi krisis makanan sekiranya ia berlaku.

Di daerah Batu Pahat misalnya, ramai belia yang menceburkan diri dalam pertanian dan penternakan berjaya menjadi usahawan belia dan ternak yang boleh dicontohi.

Ada antara mereka yang telah dianugerahkan belia dan wira tani bagi peringkat negeri dan kebangsaan Kesemua itu menjadi pemberi semangat kepada dua beradik Azman Saari, 25 dan Almizan Saari, 27 dari Kampung Parit Tengah, Sri Merlong, Rengit Batu Pahat bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar usahawan tani berjaya suatu hari nanti.

Lebih beruntung apabila hasrat mereka mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga juga wakil rakyat Rengit, Ayub Jamil yang sentiasa memberi semangat juga meninjau projek pertanian yang mereka usahakan.

Seterusnya mereka dijadikan sebagai model bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit kepada

Gerakan Ekonomi Desa Baru yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Rengit dengan menanam cili secara fertigasi.

Meskipun mereka tidak pernah mengikuti sebarang kursus penanaman tetapi minat yang mendalam serta pemantauan daripada JPMM DUN Rengit membantu dua beradik ini menjadi petani yang berjaya tanpa bekerja makan gaji.

Mereka bermula dengan menanam cili kampung menggunakan benih daripada pokok cili kampung yang ditanam ibu mereka di belakang rumah.

Bermula dari situ mereka berfikir mengapa tidak diusahakan secara komersial kerana harga cili kampung mahal di pasaran.

''Kami menyemai benih cili ke dalam polibeg lebih kurang 80 pokok dan dalam masa empat bulan buahnya sudah boleh dipetik," kata Azman.

Azman yang pernah bekerja sebagai pekerja industri di daerah Batu Pahat berkata, dari situ mereka mula yakin untuk menanam cili taiwan hibrid secara fertigasi sebagaimana yang diusulkan oleh JPMM DUN Rengit dengan penggunaan bioteknologi.

Mereka bermula enam bulan lalu dengan modal RM6000 dan menanam 500 pokok cili taiwan hibrid di kawasan belakang rumah dengan keluasan 90 x 40 kaki dengan menggunakan teknik fertigasi.

Mereka menyemai benih cili di petak semaian selama 30 hari sebelum ia dipindahkan ke dalam polibeg di tapak semaian yang telah disediakan.

Cili taiwan dipilih kerana ia mampu mengeluarkan hasil dalam masa dua bulan.

Setakat ini menurut Azman dan Almizan, cili taiwan sudah dua musim berbuah, pada musim pertama mereka mendapat lebih 200 kilogram cili manakala pada minggu kedua musim kedua lebih 200 kilogram cili telah dipetik dan ini katanya membuktikan bahawa peningkatan hasil cili musim kedua melebihi pada musim pertama.

Almizan yang sebelum ini bekerja di Singapura, pulang ke Malaysia setelah kontraknya tamat merancang untuk terus bersama adiknya dalam mengusahakan projek penanaman cili ini kerana ia memberi kepuasan apabila tanaman mengeluarkan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Hasil usaha

Untuk meneruskan kerja di Singapura buat masa ini amatlah sukar sementelahan pula dalam keadaan kes influenza H1N1 yang semakin menular di negara jiran itu. Justeru dia amat berharap agar hasil usaha mereka mendapat pulangan yang memberangsangkan.

Walaupun mereka sedar bahawa harga cili sentiasa turun naik dan kini harga cili hanya RM8 hingga RM9 sekilogram tetapi semangat kedua beradik ini tidak pernah luntur malah mereka yakin harga cili tidak akan jatuh lebih rendah dari itu.

Untuk menambah pengetahuan dalam bidang pertanian mereka tidak jemu menimba pengalaman daripada mereka yang telah berjaya dan sentiasa mencari kelemahan serta bagaimana cara untuk mengatasinya.

''Kami masih baru lagi dan masih banyak yang perlu diketahui serta dipelajari agar apa yang kami usahakan tidak akan terbantut di tengah jalan," jelas Azman.

Apa yang penting mereka sentiasa mencari apa yang terbaik untuk tanaman mereka agar kualiti tanaman sentiasa terjaga justeru Almizan dan Azman sering meminta pandangan daripada JPMM DUN Rengit yang menyediakan kursus kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Setakat ini mereka tidak menghadapi masalah dalam memasarkan hasil tanaman mereka.

Mereka memasarkan sendiri hasil tanaman di sekitar daerah Batu Pahat serpeti di pasar awam juga pasar raya besar dan permintaan amat memuaskan.

''Meskipun harga cili turun naik tetapi permintaan terhadap cili tidak pernah berkurangan," ujar Azman yakin.

Mereka memilih untuk menanam cili taiwan hibrid kerana penjagaannya tidak cerewet serta hasilnya boleh dipetik dalam masa dua bulan.

Bagaimanapun dalam musim cuaca yang tidak menentu kini seperti terlalu panas serta hujan yang tidak menentu boleh menyebabkan kualiti pokok cili terganggu justeru penjagaan rapi amat penting bagi menjaga agar buah yang dihasilkan berkualiti.

Ahli DUN Rengit, Ayub Jamil ketika ditemui melawat projek tanaman cili kedua beradik ini memberitahu tidak ramai anak-anak muda yang sanggup berhenti kerja dan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana kurang yakin dengan pulangannya.

Bagaimanapun tambah Ayub, kegigihan dua beradik ini patut dicontohi oleh anak-anak muda lain khususnya di DUN Rengit kerana pertanian pada hari ini telah merupakan satu perniagaan yang mampu meraih pendapatan lumayan.

Kilang pelet pelepah sawit untuk ternakan

Oleh NOREHAN SALEH dan MOHD. SHUKRI ISHAK

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengorak satu lagi langkah kejayaan apabila menghasilkan makanan ruminan ternakan berasaskan pelepah kelapa sawit.

Kilang seumpamanya yang pertama di dunia, mula beroperasi Julai tahun lalu, berjaya menghasilkan dua jenis makanan untuk ternakan iaitu pelet makanan lengkap dan pelet makanan seratus peratus pelepah segar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan ketika melawat kilang tersebut di Felda Bukit Sagu, dekat Kuantan, Pahang, baru-baru ini, berkata, kerajaan berharap kilang ini menjadi perintis kewujudan lebih banyak lagi kilang sedemikian pada masa depan.

Ini kerana pelet, yang dihasilkan menggunakan teknologi Jepun dan Jerman, mendapat permintaan tinggi di pasaran sekarang.

"Malah, pengusaha ternakan dari Kanada dan Korea Selatan juga dilihat berminat dan menyatakan hasrat untuk membeli produk ini," katanya.

Ahmad berkata, kewujudan kilang itu adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan jumlah ternakan negara bagi mencapai sasaran 28 peratus untuk pengeluaran daging dan 16 peratus bagi pengeluaran susu menjelang 2010.

''Justeru itu, bekalan makanan ternakan yang bermutu tinggi dan mampu dibekalkan sepanjang tahun dilihat sangat penting bagi memenuhi matlamat itu.

"Dan kita yakin kilang pelet pelepah sawit ini dapat membantu usaha giat kita menyuburkan lagi sektor penternakan negara ini," katanya.

Pengurus Kilang Oil Palm Frond (OPF) Felda Bukit Sagu, Jamil Md. Yasin berkata, kilang yang didirikan di Felda Bukit Sagu 2 dibina di kawasan seluas 1.5 hektar melibatkan kos RM14.1 juta.

"Kilang ini menghasilkan pelet untuk ternakan lembu dan kambing, dan sasaran kami ialah menjadi pembekal utama makanan kepada ternakan negara," katanya, baru-baru ini.

Menurut Jamil, formulasi makanan tersebut dicipta khusus berasaskan kepada keperluan nutrien seperti protein, serabut, lemak dan mineral bagi menjamin pertumbuhan, pembiakan, dan kesihatan ternakan.

"Harganya juga murah iaitu RM30 untuk 40 kilogram (kg) bagi pelet makanan lengkap, dan bagi pelet makanan 100 peratus pelepah sawit segar ialah RM17 untuk 40kg," katanya.

Penternak juga tidak perlu bimbang mengenai had tamat tempoh pelet itu kerana pelet 100 peratus pelepah sawit segar boleh digunakan dalam tempoh dua tahun sementara bagi pelet makanan lengkap bertahan sehingga tiga bulan.

"Makanan lengkap ini dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan nutrien untuk pelbagai peringkat fisiologi dan pengeluaran ternakan, selain ia juga dikenalpasti bebas daripada toksin, faktor anti-pemakanan dan logam berat," katanya.

Hasil kajian mendapati pengambilan pelet sebanyak 7 kilogram (kg) sehari dapat meningkatkan berat badan lembu daging antara 0.8 kg dan 1kg sehari.

Manakala pengambilan makanan sebanyak 14 kg sehari untuk lembu tenusu dapat menghasilkan pengeluaran susu sebanyak 21.8kg liter sehari.

Pertambahan berat melebihi 180 gram (g) sehari juga pernah dicapai pada kambing baka Boer.

"Perbezaan antara kedua-dua pelet itu adalah pelet makanan 100 peratus pelepah sawit segar ibarat seperti makan nasi tanpa lauk sementara pelet makanan lengkap adalah seperti makan nasi beserta dengan sayur dan lauk," katanya.

"Kilang ini mampu mengeluarkan 1,200 tan pelet sebulan menerusi satu syif dan kita punyai tiga syif bekerja," katanya.

Jamil berkata, kewujudan kilang itu juga dilihat dapat menambahkan lagi pendapatan peneroka kawasan terbabit.

"Peneroka dapat menjual pelepah kelapa sawit kepada kilang dan harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM65 untuk satu tan pelepah kelapa sawit.

"Sehingga kini kilang ini telah membelanjakan RM93,558 bagi membeli pelepah tersebut daripada peneroka," katanya.

"Setakat ini, terdapat 13 pekerja dan majoriti ialah anak peneroka tempatan atau generasi kedua warga Felda," katanya.

Jamil berkata, kilang tersebut juga tidak mengalami masalah kekurangan bekalan memandangkan terdapat 17,000 hektar kebun kelapa sawit di Felda Bukit Sagu 1, Bukit Sagu 2, Bukit Goh dan Bukit Kuantan, yang berpotensi menjadi pembekal pelepah sawit.

"Selain itu terdapat seluas 61,000 hektar ladang kelapa sawit di rancangan felda Wilayah Felda Kuantan, jadi kita tidak akan menghadapi masalah mendapatkan bekalan pelepah sawit," katanya. - Bernama

July 3, 2009

Produk makanan, minuman berasaskan nanas

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

PERSEPSI masyarakat zaman dahulu sering menganggap nanas sebagai makanan 'tajam' yang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan jika dimakan dengan kuantiti yang banyak.

Antara kesan tersebut adalah seperti lidas pada lidah selain boleh mengganggu keadaan kandungan bagi wanita yang sedang mengandung.

Mungkin pendapat sedemikian menjadi faktor utama menyebabkan masyarakat kurang menggemari nanas dan akhirnya menjadikan perusahaan tanaman buah tersebut tidak dilaksanakan secara meluas.

Melihat secara mendalam dari sudut saintifik, nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan dan khasiat berguna untuk manusia.

Antara kandungannya yang berfaedah adalah seperti vitamin A dan C, kalsium, fosforus, magnesium, ferum, natrium, kalium, sukrosa, glukosa dan enzim bromelin.

Enzim bromelin mempunyai fungsi sebagai agen anti radang, membantu penghadaman dan anti kanser selain kandungan seratnya boleh melawaskan proses pembuangan air serta mengelakkan sembelit.

Menyedari kepelbagaian khasiat tersebut, buah itu kini telah digunakan secara meluas sebagai ramuan utama dalam penghasilan produk hiliran berasaskan makanan dan minuman.

Diusahakan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Prima Pine Food and Beverage Industries (Pines) memberi fokus kepada penghasilan produk makanan dan minuman untuk kesihatan daripada nanas.

Menurut Pengarah Pasaran Pines, Amiruddin Osman, pihaknya merasakan produk-produk berkenaan mempunyai potensi diperkembangkan ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

''Idea untuk tampil dengan produk ini sebenarnya timbul selepas membuat lawatan ke ekspo makanan antarabangsa yang di anjurkan di beberapa negara seperti Rusia, Taiwan dan Jepun.

''Justeru bermula tahun 2007, saya memulakan perniagaan ini dengan membina kilang pemprosesan dan seterusnya memberi tumpuan kepada aktiviti mempromosi kesemua produk,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti produk itu, pihaknya juga ada menjalankan kajian dan penyelidikan menerusi kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Menarik mengenai produk-produk itu, ia dihasilkan daripada nanas berkualiti tinggi jenis Josapine yang ditanam di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor.

Produk pertama yang dihasilkan adalah Kopi Nanas Tongkat Ali serta Kopi Nanas Kacip Fatimah dan kolagen.

''Dengan campuran ekstrak nenas bersama pelbagai herba seperti Ginkgo Biloba, minuman ini boleh dijadikan sebagai minuman kesihatan untuk semua orang,'' jelasnya.

Amalan kopi tongkat ali tersebut dipercayai dapat membantu menghilangkan kelesuan, membantu merawat masalah mata, melegakan sakit kepala dan mengurangkan alahan.

Untuk kopi kacip fatimah pula, ia dikatakan dapat membantu mengekalkan wajah awet muda, membantu mencegah pembekuan darah, serta membantu mengembalikan kecantikan warna kulit

Di samping itu, produk lain yang dihasilkan adalah seperti coklat nanas kacip fatimah dan kolagen, jus nanas, kordial nanas, teh nanas, teh nanas sitrus, jem nanas, sos lada hitam dan sos masam manis.

Dari sudut proses penghasilan produk, pihaknya akan memastikan nanas yang benar-benar berkualiti digunakan selain mendapat harga bekalan yang berpatutan menerusi pemantauan oleh pihak LPNM.

Selain itu, LPNM turut memberi bantuan dalam penganjuran kursus industri asas tani bagi menggalakkan pemindahan teknologi kepada para petani dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil buah yang berkualiti.

Sambutan yang menggalakkan terhadap produk Pines telah mendorong pihaknya merancang pelbagai strategi pemasaran agar produk-produk itu sampai kepada semua peringkat pengguna.

Bagi memperluaskan pasaran, kerjasama telah dijalankan dengan beberapa pihak seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan serta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

''Kita turut mempunyai matlamat menempatkan satu pengedar di setiap satu daerah di seluruh Malaysia,'' katanya.

Setakat ini, tumpuan diberikan kepada pengedaran di sekitar Johor dan Lembah Klang menerusi pelantikan Azyraff Global Resources sebagai pengedar tunggal produk-produk tersebut di Wilayah Persekutuan dan juga Selangor.

Menurut Pengarahnya, Zainal Kassim, pihaknya bersama Pines akan menjalankan pelbagai program promosi bagi memperkenalkan produk nanas kepada umum.

''Setakat ini, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan kerana orang sudah mula mempercayai khasiat yang ditawarkan oleh produk nanas ini,'' katanya.

Bagi tujuan sama, pihaknya juga bercadang untuk menyertai ekspo dan pameran jualan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

Maklumat mengenai kesemua produk Pines boleh di perolehi di laman web www.houseofpines.com.

Tauke itik cuba benda baru

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Berpegang kepada cogankata Pertanian Adalah Perniagaan, Razak Abdul Malek, 49, mencuba beberapa jenis pertanian bermula dengan ayam kampung daging, lintah dan ikan.

Meskipun pada awalnya dia terlibat dengan sektor pelancongan, namun mengambil keputusan beralih angin tidak mematahkan semangatnya untuk menceburi bidang tersebut .

Bermula dengan syarikat Lia Sari Marketing yang ditubuhkan pada tahun 2007 untuk bergiat dalam jual beli dan mengusahakan pertanian secara komersial, kini Razak mengusahakan ladang ternakan itik daging.

Berdasarkan hasil pemerhatian yang dilakukan, Razak kemudiannya mengambil keputusan menternak itik kerana dia suka mencuba sesuatu yang baru dan tidak mempunyai ramai pesaing.

"Saya melihat ternakan itik pedaging Muscovy atau serati yang tidak mempunyai banyak pesaing, saya mengambil keputusan menternak itik," katanya semasa ditemui di ladang ternakan itiknya di Kampung Hulu Lepar, Mukim Gali, Dong, Raub, Pahang.

Malah, apa yang lebih membanggakan, menurut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Raub dan Kuantan buat masa ini, Lia Sari Marketing merupakan penternak terbesar itik pedaging di negeri Pahang.

Mendapat khidmat nasihat daripada JPV Raub dan Kuantan, Razak menternak lebih 5,000 ekor itik pedaging di kawasan seluas tujuh ekar.

Mendapatkan benih itik daripada penternak swasta, beliau menternak anak itik berusia dua hari sehingga berusia empat bulan sebelum boleh dijual di pasaran.

Biasanya setiap bulan, beliau membeli antara 1,500 hingga 2,000 ekor anak itik bagi memastikan bekalan itiknya sentiasa ada.

Hasil kajian dan pengalaman hampir setahun mengendalikan anak itik, pekerjanya dapat mengurangkan jumlah kematian sehingga kurang 10 peratus setiap kali penghantaran.

Razak berkata, pada hari pertama sampai, anak itik dicelupkan muncungnya ke dalam air sebelum dimasukkan ke dalam kotak asuhan.

Setelah berada dalam kotak asuhan antara tiga hingga lima jam, anak itik diberikan makanan dan minuman yang dicampurkan dengan anti stres yang ditambah dengan vitamin dan dibiarkan selama dua minggu.

Pada usia satu hingga dua minggu, anak-anak itik akan ditimbang berat bagi tujuan pemantauan tumbesaran dan menentukan jumlah makanan yang diperlukan.

"Biasanya kuantiti makanan yang diberikan bergantung kepada berat badan anak itik," katanya yang memberikan dedak hitam kepada anak itik.

Kotak asuhan akan dicuci setiap dua hari bagi memastikan kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak itik sentiasa terpelihara.

Biasanya semasa berusia awal tiga minggu, muncung anak itik akan dipotong atau dikikis bagi mengelakkan mereka memagut antara satu sama lain.

Anak itik yang berusia antara dua hingga tiga minggu akan dilepaskan di reban besar dan lapang bagi memastikan keselesaan dan ruang makanan yang lebih besar.

Di kawasan ini juga terdapat kolam untuk itik berenang bagi menyejukkan badan dan mengurangkan stres.

Ternakan itik akan ditempatkan di reban pertama selama 10 hingga 12 minggu sebelum diasingkan di kandang lain.

Bagi menjimatkan kos makanan ternakan Razak menggunakan pelet dan dedak serta makanan tambahan seperti hampas soya, kulit roti, kelapa kering dan sayur-sayuran.

Semasa itik berusia antara 14 hingga 16 minggu, ternakan yang sesuai akan diasingkan ke ladang transit bagi memudahkan ditangkap sebelum dikumpulkan di dalam bakul untuk dijual.

Biasanya itik yang ditangkap pada awal subuh hari Khamis atau Jumaat akan dihantar ke pasar-pasar sekitar bandar raya Kuala Lumpur seperti pasar borong lama Selayang, pasar Seri Kembangan, pasar Kajang, pasar Pudu dan pembeli yang datang sendiri ke ladang ternakannya.

Setiap bulan paling minimum, Lia Sari Marketing mampu menjual 1,350 ekor itik daging dan ia mempunyai sebanyak 6,000 ekor itik dalam masa empat bulan atau satu pusingan.

Razak berkata, harga itik yang dijual adalah RM8 sekilogram (kg) dan RM15.00/kg bagi harga runcit itik yang siap sembelih dan dibersihkan.

Biasanya terdapat dua kategori itik yang dijual, misalnya bagi jualan di pasar, itik yang diperlukan adalah lebih kurang tiga kg manakala untuk restoran pula empat kg.

Bagi memantapkan lagi operasi perniagaan, Razak bercadang untuk membuka gerai sendiri bagi jualan terus di pasar tani dan pasar malam di Lembah Kelang bagi peringkat permulaan.

"Bagi meningkatkan lagi operasi ternakan itik daging, kami bercadang membuka ladang baru dengan memohon tanah daripada pihak berkuasa seluas 12 hektar (30 ekar).

"Kami juga bercadang menjadi pembekal atau pengedar anak itik Muscovy di seluruh negara bagi membantu pusat penetasan itik," katanya.

Selain itik, Razak juga mempunyai sembilan buah kolam ikan tilapia dan keli di tanah seluas tujuh ekar sebagai pendapatan sampingan kepada itik.

Mendapat benih ikan tilapia dan keli daripada pembekal, Lia Sari Marketing dapat menghasilkan sehingga dua tan ikan bagi pasaran di pasar borong.

Razak juga memelihara pelbagai jenis unggas seperti angsa putih, angsa kelabu, merak, ayam api atau mutiara, ayam belanda, ayam laga, ayam emas, ayam selasih dan ayam sutera.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai ternakan itik Muscovy boleh menghubungi Abdul Razak di 03-9283 5268, 03-9200 4828, 012-226 9119 atau faks 03-9200 5208.