August 28, 2009

Jatuh bangun seorang penternak udang

MENGALAMI kerugian pada tahun pertama pembabitannya dalam bidang penternakan air tawar atau akuakultur tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk terus melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa menoleh ke belakang.

Berpegang kepada prinsip tidak mahu mengaku kalah, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat untuk terus maju.

Dengan sokongan padu daripada ahli keluarga serta rakan-rakan rapat menjadikan dia seorang yang gigih dalam setiap apa yang diusahakannya.

''Saya memulakan projek ternakan udang harimau ini sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 tanpa pinjaman atau bantuan daripada mana-mana institusi kewangan," jelasnya.

Pada awal pembabitannya, Najee Muddin berkongsi bersama seorang rakan tetapi selepas mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, dia tidak pernah putus asa dan yakin dalam setiap apa yang diusahakannya.

Kegagalan lalu dijadikan sebagai penguat semangat dan sokongan daripada keluarga yang tidak putus-putus menjadikannya begitu tabah meski jauh di sudut hati dia berasa agak kecewa.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang, Batu Pahat, Johor kira-kira tujuh tahun lalu.

Najee Muddin memulakan ternakan udang dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu.

Kini dia mempunyai enam buah kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Menurutnya, benih anak udang diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu.

Setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan pada awal pembabitannya dulu.

''Dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil.

Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya ketika ditemui kolam ternakan udangnya baru-baru ini.

Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya terutama dari segi harga udang yang ada turun naiknya.

udang harimau

Tetapi pada tahun ini, apabila harga udang harimau agak tinggi beliau turut menternak udang putih yang mendapat permintaan di pasaran dengan harga pasaran yang lebih rendah tetapi permintaannya tinggi.

Dia yang mulanya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Bermula dari situ, kemahiran dalam menternak udang dapat diketahui dari semasa ke semasa.

Ini menjadikan Najee Muddin yakin dan bersemangat dalam apa yang diusahakan agar kerugian dan pengalaman pahit yang dilaluinya di awal pembabitan dalam ternakan udang dapat ditebus sekali gus menjadikan dirinya seorang yang tidak mudah mengalah.

Tambahnya lagi, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, Najee Muddin dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor pada tahun lalu juga mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini Najee Muddin telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd. dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Tambahnya, dia telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Tanjung Manis Halal Park Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang harimau, udang putih dan ikan kerapu.

''Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh pajakan selama 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 billion," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau juga akan mengusahakan makanan frozen berasaskan udang dan ikan dan akan di eksport ke luar negara khusus untuk mereka yang beragama Islam.

Katanya lagi, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci telah pun dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini katanya, sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur memandangkan produk halal Malaysia yang akan dihasilkannya adalah dari Zon Halal Park.

Justeru katanya, dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang serta halal, ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan yang halal tanpa rasa ragu.

Bagi Najee Muddin ia merupakan cabaran baru baginya dalam melebarkan sayap syarikat untuk menjadi penternak udang dan ikan yang terbesar serta mengeksport makanan sejuk beku yang halal ke luar negara dengan kualiti yang terjamin.

Seminar biomas untuk pengeluaran biofuel

MALAYSIA mempunyai potensi yang tinggi untuk memainkan peranan yang penting dalam pengeluaran biofuel dan produk-produk lain seperti bio komposit, kertas dan pulpa serta baja bio daripada sisa-sisa buangan pertanian.

Ini termasuk 17 juta tan (tandan kelapa sawit kosong); 4.5 juta tan (batang kelapa sawit) dan 1.35 juta tan (jerami padi) yang dihasilkan setiap tahun.

Pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memajukan teknologi inovatif pengeluaran produk-produk biomas telah dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pusat-pusat penyelidikan lain dijangka akan dipertingkatkan lagi di masa hadapan.

Untuk mengetahui penemuan-penemuan penyelidikan berkaitan pengunaan biomas serta mengkaji potensi pengunaan bahan mentah ini, sertailah Seminar Biomas Untuk Biofuel Produk Nilai Tambah yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini di The Saujana Kuala Lumpur, Jalan Lapangan Terbang Subang.

Menurut Pegawai Media FRIM, Toh An Nee, seminar bertema Ke Arah Penggunaan Biomas Yang Lebih Efisien itu dianjurkan bersama oleh FRIM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang potensi pengunaan biomas, menyediakan forum untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan serta berkongsi penemuan-penemuan penyelidikan terkini dengan sektor swasta, pihak industri, penggubal polisi serta para penyelidik.

Selain itu, satu pameran juga akan diadakan untuk mempamerkan produk-produk, teknologi terbaru serta perkhidmatan yang berkaitan.

Untuk pertanyaan atau pendaftaran, sila hubungi Dr. Wan Asma Ibrahim atau Rafidah Jalil (03-62797311 / 7367 / 7280); e-mel: sbbvap09@frim.gov.my atau layari laman: www.frim.gov.my.

Perhebatkan penyelidikan khasiat lintah

KETIKA penternak lintah berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan, ramai juga yang ragu-ragu dengan bidang penternakan haiwan eksotik yang semakin popular itu.

Ada yang mendakwa sukar untuk dipasarkan dan tidak mempunyai kilang untuk memproses lintah sebagai produk hiliran.

Semua ini tidak mematikan semangat sekumpulan penternak lintah untuk mewujudkan Persatuan Usahawan Industri Lintah Malaysia (Pelintah) bagi memajukan industri lintah negara.

Pelintah yang ditubuhkan pada November tahun lalu telah mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama pada Mac tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mahadzir Md Zin berkata, buat masa ini Pelintah mempunyai lebih 350 orang ahli yang terdiri daripada penternak, pemborong, pengusaha dan peruncit.

"Buat masa ini, Pelintah menyasarkan mempunyai ahli sehingga 10,000 penternak.

"Pelintah juga merupakan persatuan yang diiktiraf di bawah Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

Beliau menerangkan terdapat lebih 600 spesies lintah di seluruh dunia tetapi antara tiga yang terbaik terdapat di negara ini.

Terdapat dua spesies lintah tempatan yang mendapat pasaran dunia iaitu lintah hijau dan lintah perang. Bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan lintah, Pelintah sedang cuba mendapatkan dana bagi tujuan penyelidikan.

Ini bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati dan diiktiraf oleh semua masyarakat tempatan dan secara global.

Sehingga kini lintah banyak digunakan dalam perkhidmatan terapi, produk kecantikan, bahan anti-penuaan dan rawatan alternatif seperti bekam.

Mahadzir berkata, bekam dan terapi lintah telah lama digunakan di luar negara dan buat masa ini Pelintah telah mula membuat penghantaran lintah ke luar negara bagi tujuan terapi.

Buat masa ini, Pelintah dalam perancangan menjalankan kajian dengan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi terapi perubatan serta klinikal.

Misalnya kajian mengenai lintah untuk menyembuhkan luka selepas pembedahan kecil, kosmetik serta dalam bidang pertanian.

"Kajian menunjukkan lintah mempunyai banyak hormon berguna serta 16 jenis enzim yang berguna," katanya.

Bagi penternak persendirian yang berminat mendapatkan maklumat mengenai Pelintah, boleh melayari laman web www.pelintah.ws atau e-mel kepada admin@pelintah.ws

August 21, 2009

Teknologi baru ternak ketam

Bukan mudah untuk 'mereka cipta' satu habitat haiwan khususnya ternakan dalam air. Namun teknologi boleh memungkinkan segalanya meskipun kejayaan boleh ditentukan kemudian, selepas mengharungi tempoh percubaan yang lama.

Ini yang cuba dilakukan oleh TBV Management Sdn. Bhd. (TMSB) , sebuah syarikat tempatan yang berjinak-jinak dalam teknologi akuakultur untuk ternakan ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla serrata.

Biasanya penyelidikan melibatkan organisme hidup menggunakan kaedah in situ atau pada keadaan habitat sebenar tetapi syarikat terbabit, yakin akan mencapai sesuatu yang memberangsangkan, sekali gus mampu melonjakkan pengeluaran hasil akuakultur khususnya ketam.

Bagaimanapun syarikat terbabit cuba memperkenalkan sistem tertutup yang mana air ternakan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik menggunakan teknologi khusus.

Teknologi yang dikenali sebagai Sistem Ketam Bersepadu (ICS) itu dianggap satu revolusi baru dalam bidang akuakultur yang mampu menjana pengeluaran ketam berlipat ganda.

Malah, syarikat terbabit bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan Jabatan Perikanan menerusi kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akuakultur Kebangsaan, Pulau Sayak Kedah.

Menurut Pengarah Urusan TMSB, Datuk Norazman Adnan, pihaknya telah melabur sehingga RM1 juta sejak beberapa bulan lepas bagi membangunkan sistem tersebut di Kelibang, Langkawi dengan kerjasama Jabatan Perikanan.

Di pusat tersebut, anak ketam dibiakkan dalam kolam tetapi menghadapi masalah untuk membesar atau lambat mencapai saiz pasaran, selain masalah pemangsaan sesama sendiri dan berebut makanan.

Justeru, pihaknya kemudian memperkenalkan ICS yang mana anak-anak ketam yang beratnya 100 gram (g) di tempatkan dalam petak khas diperbuat daripada PVC untuk menjadi habitat kepada ternakan tersebut.

''Di bawah sistem yang ada ini, setiap seekor ketam ditempatkan dalam petak kecil itu yang mana ICS ini mempunyai sama ada 288 unit petak atau 868 unit," katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan kerjasama penyelidikan dan Projek Perintis Ternakan Ketam di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood serta Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.

Norazman berkata, meskipun sistem tersebut masih di peringkat percubaan dan sedang diuji keberkesanannya, beliau melihat ia mempunyai kebaikan daripada pelbagai aspek antaranya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penternak ketam.

Masalah tersebut termasuk sukar memperoleh benih, ketiadaan teknologi sesuai, dan modal yang tidak mencukupi.

''Oleh kerana kita masih mengimport benih ketam dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, kami (TMSB) berazam menyebarkan teknologi ini kepada mereka yang berminat," katanya sambil memberitahu bahawa sistem yang di pasang di Langkawi itu baru beroperasi selama dua bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pengawasan kualiti air supaya sentiasa mematuhi kehendak sistem, pengumpulan data dan bacaan lain dicatat untuk tujuan rekod.

Katanya, ketam akan cepat membesar jika bersalin kulit dan ini yang mendorong pihaknya dan Jabatan Perikanan mencari jalan bagaimana proses tersebut dapat dilakukan dengan kerap.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180g dan ia menjadi cabaran utama sebelum cangkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Beliau menjelaskan, banyak aspek ternakan masih dalam penelitian bersama Jabatan Perikanan memandangkan ada dakwaan bahawa ketam nipah akan mati jika habitatnya tidak sesuai.

Ini kerana, ketam nipah sukakan kawasan gelap dan suka 'menyendiri' bagi mengelak menjadi habuan binatang lain.

Ketam juga dikatakan akan cepat membesar jika mencabut anggota badannya kerana ia akan tumbuh semula.

Ketam boleh dijual pada umur antara antara empat dan enam bulan atau apabila beratnya mencapai antara 350g dan 500g. Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain didorong oleh minat dan ingin membantu ramai pengusaha ternakan ketam, beliau berharap dapat membantu meningkatkan industri akuakultur itu ke tahap yang membanggakan.

Kenyataan beliau disokong oleh Ahamad Sabki yang menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur negara dan langkah ke arah itu kini berada di landasan betul.

Kata Ahamad Sabki, pengeluaran akuakultur meningkat 20 peratus dalam tempoh 2007-2009 melibatkan ternakan seperti siput sudu, ketam, tiram.

Katanya, ketika ini jumlah pengeluaran spesies kerang-kerangan mencecah 135,00 tan metrik .

Selain itu, kerajaan juga mahu supaya pengusaha akuakultur mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada masa sama, ia menyokong Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008-2010 untuk menambah pengeluaran makanan negara bagi keperluan sendiri.

Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi TBV Management Sdn. Bhd. di talian 04-9499333.

Zamzuree bangkit selepas kecundang

MEMANG ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

''Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh," katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

''Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali.

''Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula.

"Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan," katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

''Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna," katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Seorang pembeli dari Cheras, Selangor, Mokhtar Ahmad, 35, ketika ditemui di ladang berkenaan berkata beliau sering berurusan dengan syarikat berkenaan disebabkan bekalan lembunya lebih segar.

"Kedatangan saya hari ini untuk membeli lapan ekor lembu bagi bekalan bulan Ramadan," katanya. - Bernama

Ternak Cacing Melalui Koperasi

KEADAAN ekonomi yang tidak menentu ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan kepada setiap individu terutama mereka yang bekerja makan gaji.

Kewujudan masalah tersebut telah mendorong ramai ahli masyarakat melibatkan diri dalam perniagaan secara sampingan bagi menambah pendapatan bulanan mereka.

Ini kerana, trend tersebut dilihat mampu memberi pulangan hasil yang lumayan bagi menampung keperluan kewangan sesebuah keluarga.

Salah satu saluran perniagaan yang semakin mendapat sambutan menggalakkan adalah penghasilan baja kompos daripada penternakan cacing.

Bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat menjalankan aktiviti tersebut, syarikat Kulim Worm Agrotech (KWA) bersama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) menyediakan beberapa saluran perniagaan.

Ia merangkumi pakej penternakan cacing, kursus dan khidmat nasihat, perladangan kontrak, penjualan baja organik dan industri hiliran.

Menurut Pengurus Pemasaran KWA, Raja Anita Kamariah Raja Hussin, kerjasama dengan KKPMB itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai penternak cacing tempatan dalam meningkatkan pengeluaran baja organik sekaligus memenuhi keperluan Dasar Pertanian Negara.

''Ini kerana menjelang tahun 2010, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan penggunaan baja kimia untuk memberi lebih tumpuan kepada baja organik.

''Tambahan pula, di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, cacing telah dijadikan sebagai produk farmaseutikal dan kosmetik selain dibuat makanan seperti jus dan coklat kerana ia mengandungi lebih 80 peratus kandungan protein serta nutrien berguna,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KWA yang ditubuhkan pada 13 Jun lalu merupakan pengusaha, pengeluar, pengedar dan pemborong baja organik vermikompos.

Selain Kuala Lumpur, syarikat tersebut juga mempunyai beberapa cawangan ladang di Kedah dan juga Pulau Pinang.

Bagi kursus penghasilan baja, syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan penerangan secara teori dan praktikal tentang cara-cara menternak cacing, menghasilkan baja organik dan juga bagaimana mencipta peluang perniagaan.

Setelah tamat kursus, para peserta yang berminat memulakan perniagaan tersebut hanya perlu menyediakan modal serendah RM1,250 bagi bekalan cacing, peralatan dan medium makanan serta tempat tinggal.

Melihat kepada fungsi cacing sebagai agen penyubur tanah, keupayaan haiwan tersebut yang boleh menembusi tanah memberi kelebihan menghasilkan ruang pengudaraan yang baik di samping hasil kotorannya boleh membantu menyuburkan tanah.

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 2,700 spesies cacing, namun terdapat hanya empat jenis yang sesuai untuk dikomersial dan diternak di Malaysia.

Ia termasuk cacing merah (Red Worm), cacing harimau (Tiger Worm), cacing malam (African Night Crawler) dan cacing biru (Blue Worm).

Kesemua jenis tersebut akan dibekalkan kepada para peserta sebagai bahan mentah untuk memulakan penternakan.

''Cacing Merah merupakan jenis yang paling sesuai dan mudah diternak kerana ia membiak secara produktif dan mudah untuk diselenggara,'' jelasnya.

Untuk makanan dan tempat tinggal cacing pula, para peserta akan dibekalkan dengan medium yang terdiri daripada adunan 70 peratus serbuk kayu, 30 peratus tahi kambing dan lima peratus sabut kelapa.

Habuk kayu berfungsi untuk mengekalkan kelembapan, tahi kambing untuk menjaga suhu kepanasan sementara sabut kelapa sebagai pelindung kepada cacing.

Mengikut formula penjagaan cacing, setiap bekas dapat memuatkan sebanyak satu kilogram cacing (kg) dengan 10 kg medium dan bakal menghasilkan 10 kg baja dalam masa 10 hari.

Ini bermakna, sebanyak 30 kg baja akan dihasilkan dalam masa sebulan untuk dijual semula kepada KWA dengan harga RM2.00 sekilogram.

Oleh kerana kos pembelian medium adalah RM1.20 sekilogram, maka para peserta akan menerima keuntungan sebanyak 80 sen untuk setiap kilogram baja.

Menarik mengenai pakej tersebut, para peserta diberi kelonggaran untuk menjual baja tersebut kepada pembeli lain dan tidak semestinya kepada KWA.

Untuk memastikan medium sentiasa berada dalam keadaan lembap, ia perlu disiram setiap dua hari sekali.

Jika penternakan dilakukan di kawasan luar pula, tempat tersebut mestilah berbumbung untuk mengelakkan serangan burung di samping perlu dilengkapkan dengan pencahayaan sepanjang masa.

Ia bertujuan supaya cacing tidak keluar daripada bekas kerana haiwan tersebut amat sensitif kepada cahaya.

Bagi mengelakkan serangan semut pula, bahagian penyokong bekas berisi cacing itu perlu dibalut dengan kain yang telah direndam bersama minyak pelincir.

Setelah cukup tempoh sepuluh hari pembiakan, medium akan diayak sama ada secara manual atau menggunakan mesin bagi mengasingkan cacing, telur cacing dan juga baja.

Cacing yang telah diasingkan tadi akan ditimbang dan dimasukkan ke dalam bekas baru bersama medium baru untuk pembiakan selama sepuluh hari berikutnya.

Pakej penternakan tersebut sebenarnya mengaplikasikan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis hidupan seni yang membantu mempercepatkan proses pereputan medium supaya senang dimakan oleh cacing dan seterusnya mempercepatkan penghasilan baja.

Teknologi berkenaan juga mempunyai kelebihan meneutralkan bau busuk dan membunuh hama pada medium.

Untuk baja organik kompos yang dihasilkan, ia mempunyai kadar nutrien yang sangat tinggi dan sesuai untuk menambah kesuburan serta memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kadar pengeluaran hasil tanaman.

Ia boleh digunakan pada jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, kelapa sawit, getah, kopi, teh, jagung, padi dan juga tanaman di dalam pasu.

Bagi individu yang mempunyai masalah modal pula, pihak KWA ada menyediakan pinjaman daripada agensi-agensi berkaitan.

August 14, 2009

Rezeki baulu Mahanum

SEBUAH motosikal berhenti di bengkel menghasilkan baulu dan mengambil beberapa bungkus baulu dan wang beralih tangan.Penulis terpegun seketika melihat kaedah pemasaran tanpa perlu menjaja di gerai atau menghantar produk ke kedai.

"Biasanya lebih ramai yang suka datang sendiri untuk membeli baulu di sini.

"Cara ini lebih mudah dan saya tidak perlu mengeluarkan belanja menyewa tapak jualan," kata Mahanum Mhd Shah, 48, semasa ditemui di bengkel baulu di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Segalanya bermula kerana pendapatan suami yang tidak seberapa menyebabkan beliau tidak hanya leka dengan tujuh orang anaknya yang mula meningkat remaja tetapi mula terfikir untuk membantu bagi meringankan beban suami.

Memikirkan keluarga yang memerlukan perbelanjaan tambahan, Mahanum terfikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau mula dengan menjual nasi lemak dan burger di depan rumah kerana Mahanum masih boleh menjaga ibu yang sakit dan beliau kemudian beralih membuat baulu semasa musim perayaan.

Bermodalkan RM200 hingga RM300, Mahanum membeli peralatan asas seperti acuan baulu dan dapur serta bahan mentah seperti tepung, gula dan telur.

"Pada mulanya saya usahakan membuat baulu menggunakan dapur arang dan secara kecil-kecilan untuk di jual pada jiran-jiran sekitar sini," katanya.

Ibu kepada tujuh orang anak yang gigih mengusahakan baulu di dapur rumah di kemudiannya beralih ke beranda rumahnya apabila permintaan terhadap baulunya semakin menggalakkan.

Tidak pernah mengenal erti putus asa, Mahanum meneruskan usahanya tanpa bantuan sesiapa sehinggalah seorang rakannya Zainon Ariffin membawanya ke Jabatan Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat.

"Di sana saya mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian di Kalumpang selama empat hari mengenai baulu dan kek secara moden," katanya.

Semasa kursus di Jabatan Pertanian, beliau mempelajari cara mempelbagai produk baulunya seperti baulu ikan emas emas bersaiz besar dan sederhana.

Selain itu, Mahanum juga menghasilkan baulu dengan menambah perisa seperti kapucino, pandan, coklat rice, oren dan strawberi serta muffin, kek gula hangus dan baulu kemboja

Melihatkan usaha dan semangatnya menghasilkan pelbagai produk serta pasaran yang amat menggalakkan semasa musim perayaan Jabatan Pertanian memberikan bantuan dalam bentuk ketuhar dan pembinaan bengkelnya.

Buat masa ini dengan bantuan Jabatan Pertanian, Mahanum dapat menghasilkan 4,000 biji baulu biasa sehari.

Apa yang uniknya Mahanum tidak perlu mencari pasaran sebaliknya pelanggan yang datang mencarinya, malah baulunya telah dibawa hingga Jepun dan Jordan oleh anak jiran yang belajar dan bekerja di sana.

Baulu yang dihasilkan memang menarik kerana lebih garing daripada biasa dan tahan lebih lama.

Sebagai perniagaan keluarga, Mahanum dibantu oleh anak-anaknya terutama semasa cuti sekolah.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mahanum tidak mengabaikan pelajaran anak-anak memandangkan tiga orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala empat lagi masih bersekolah.

Mereka yang berminat mendapatkan baulu hasil tangan Mahanum boleh datang sendiri ke premisnya di Lot A Bakery Enterprise di Kampung Sungai Masin atau hubungi beliau di 013-2263423 atau e-mel: anum6212@yahoo.com

Nikmat ceburi pertanian

KAWASAN ladang tersebut boleh dianggap sempit dengan keluasan kira-kira tiga hektar atau 12 ekar sahaja dan kebetulannya terletaknya di tepi Sungai Langat, Bangi, Selangor.

Pada masa sama, ia merupakan kawasan yang agak kering dan dan menganjur di sepanjang sungai serta berstatus tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Namun itu semua tidak menghalang Azmi Morad, 46, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melayan rasa seronok menceburi bidang pertanian.

Graduan sains kepujian dalam bidang botani dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas tutor di universiti tersebut pada mulanya ingin mencuba.

Namun rasa seronok itu membawanya lebih serius untuk mengusahakan projek pertanian.

Tambahan pula pengalaman dalam kerja-kerja awam seperti dan kontraktor kecil banyak membantunya bergerak lebih mudah dan memahami bagaimana memulakan projek.

''Memang saya mulanya ingin berseronok-seronok tetapi pengalaman dalam kerja-kerja awam banyak membantu,'' katanya ketika ditemui di ladangnya di Bangi, baru-baru ini.

Projek tersebut katanya dimulakan tahun lepas dengan modal permulaan RM200, 000 tanpa meminjam daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau mendakwa antara masalah utama beliau sukar mendapat pinjaman kerana proses permohonan yang rumit yang memerlukan dokumen seperti geran.

Azmi memberitahu dia terlibat dalam projek nurseri bunga-bungaan di kawasan tersebut yang terletak di Seksyen 4 /10F Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

Beliau juga menternak kira-kira 1,000 ekor ayam kampung di kawasan tersebut yang bakanya dibeli daripada pihak swasta.

Namun, projek utamanya yang kian berkembang ialah penternakan ikan keli yang menggunakan sistem dan formula daripada sebuah syarikat bumiputera.

Ternakan kelinya diletakkan dalam tangki konkrit yang membiarkan keladi bunting tumbuh manakala pelet diberi sebagai makanan rumusan khas.

Dia bermula dengan empat buah kolam dengan kapasiti 10,000 ekor dan menggerakkan usaha tersebut secara cuba jaya.

Air sungai pula dipam sebagai sumber utama projek tersebut tetapi penentu kejayaan ialah menggunakan rumusan pelet sebagai makanan ternakan ikan keli.

''Perkara paling penting dalam ternakan ikan keli ialah makanannya mesti bagus,'' ujarnya.

Pelet yang digunakan sesuai kerana ia organik atau tanpa bahan kimia, tekstur daging lebih bagus dan tidak busuk.

Justeru katanya, amalan memberi makan ikan keli dengan perut ayam sebagai contoh bukan sesuatu yang elok untuk ternakan dan ini boleh disahkan dengan memeriksa perut ikan yang berwarna kekuningan.

Katanya, pada masa ini, beliau mempunyai pelbagai jenis tangki konkrit mengikut saiz berbeza iaitu 10 kaki x lapan kaki yang dengan kapasiti 10,000 ekor keli, 10 kaki x 16 kaki (15,000 ekor) dan lapan kali 20 kaki (100,00 ekor dan jumlah tangki kini meningkat kepada 50 buah dan jumlah ternakan mencecah 400,000 ekor.

Ikan keli dapat dituai untuk jualan selepas kira-kira dua bulan setengah pada harga RM4.50 sekilogram yang kebanyakannya dibeli orang individu selain dijual di pasar malam atau pasar borong.

Meskipun demikian, beliau masih mampu menjual antara 10 dan 15 kilogram sehari.

Selain keli sebagai ternakan utama, Azmi juga menternak beberapa spesies ikan lain termasuk tilapia.

Dia juga menternak kira-kira 200 ekor biri-biri sebagai satu produk sampingan selain mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Tidak cukup dengan itu, Azmi juga bercadang meluaskan projek pertaniannya dengan mengeluarkan ikan keli salai di kawasan sekarang.

Beliau kini sedang menyiapkan kertas cadangan projek tersebut, manakala projek ternakan kelinya sering dilawati pegawai dari Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, ikan keli salai mempunyai pasaran yang luas, selain mempelbagaikan produk syarikatnya selain yang segar.

Azmi juga bercadang memohon tanah di kawasan lain untuk memajukan projek pertanian berasaskan pelancongan bagi memudahkan pengunjung menikmati persekitaran sebenar projek pertanian.

Untuk jangka masa panjang, beliau akan menganjurkan kursus pembenihan ikan dan usaha tersebut akan dimasukkan dalam agenda penting syarikat.

Seramai 18 pekerja membantu beliau menggerakkan projek pertanian tersebut termasuk beberapa orang kepercayaannya yang dihantar berkursus di Pusat Komuniti Selayang bagi mendalami ilmu berkaitan.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun mengusahakan bidang ini pelbagai cabaran ditempuhinya dengan sabar sehingga dapat menyempurnakan infrastruktur ladang ini. Beliau boleh dihubungi di talian 03-89262481

Sesenduk klon baru

PENGELUARAN kayu dari hutan asli terus berkurangan jika dibandingkan dengan keperluan negara.Dengan pergantungan berterusan kepada hutan asli sebagai sumber, lama-kelamaan ia akan kehabisan.

Justeru, satu langkah alternatif perlu diambil bagi mengurangkan pergantungan tersebut bagi mengekalkan kelestarian pengeluaran kayu hutan pada masa akan datang.

Ini kerana lama-kelamaan industri perkayuan menghadapi masalah kekurangan sumber dan satu daripada caranya ialah menubuhkan ladang hutan komersial.

Justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melaksanakan Program Ladang Hutan Komersial bagi menangani masalah kekurangan kayu kayan untuk pelbagai industri berkaitan seperti kayu gergaji, perabut dan industri hiliran lain.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan baka pokok-pokok hutan yang terpilih untuk kegunaan industri perkayuan.

Menerusi program perladangan tersebut, klon pokok dihasilkan dari baka pokok induk terpilih untuk ditawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur dalam bidang ini.

Ia bertujuan untuk meneruskan perkembangan dan sumbangan sektor ini dalam industri negara.

Penyelidikan selama beberapa tahun yang dijalankan sejak 1989 akhirnya berjaya menghasilkan klon balak FRIMsrp 001 dari spesies Endorspermum malaccense atau nama tempatannya sesenduk.

Ia merupakan satu klon baru yang dihasilkan untuk menampung keperluan kepada kayu getah dalam industri perabot yang juga kian merosot bekalannya.

Klon ini dijangkakan mampu menjadi sumber alternatif memandangkan kualiti kayunya yang baik dan pertumbuhannya yang cepat dan boleh ditebang pada usia 10 tahun selepas ditanam selain dari warnanya yang sesuai dan berkualiti untuk industri perabot.

Ia juga boleh ditanam dalam keadaan yang terbuka.

Selain itu, spesies ini juga sesuai untuk dijadikan papan lukisan, dulang, papan lapis, terompah kayu dan juga penyepit pakai buang.

Menurut Pegawai Penyelidik Cawangan Membaikbiak Pokok FRIM, Dr. Mohd. Noor Mahat, klon tersebut dihasilkan daripada pemilihan dari anak pokok induk terpilih.

‘‘Ini bukan kajian pada masa ini (baru) tetapi telah dimulakan sejak tahun 1989 oleh penyelidik awal di FRIM iaitu Dr. Ab. Rasip Ab. Ghani.

‘‘Saya hanya meneruskan usaha awal beliau dan orang akan datang juga akan menyambung tanggungjawab ini untuk negara” katanya ketika di temui baru-baru ini.

Pokok tersebut kata beliau, biasanya terdapat di kawasan hutan sekunder tanah rendah sehingga pada paras ketinggian 1,000 meter di Semenanjung Malaysia.

Spesies pokok tersebut diklasifikasikan sebagai kayu keras ringan dengan julat ketumpatan dari 300 kilogram (kg) meter padu hingga 600 kg meter padu.

Klon pokok ini dihasilkan daripada baka yang diambil dari Hutan Simpan Ulu Tranum Bentong, Pahang. Benihnya dibiakkan di nurseri FRIM dan anak yang dihasilkan dinilai bagi melalui proses pemilihan.

Anak tunggal dipilih dan ditanam dan biakkan di FRIM untuk kajian pengklonan menggunakan teknik pembiakan (propagation) mikro dan makro. Pucuk yang muncul daripada anak progeni ini dikultur di makmal menggunakan kaedah kultur tisu untuk menggandakan bilangannya.

Anak klon itu dibiakkan di beberapa jenis tanah berasingan dengan keadaan yang berbeza.

Berdasarkan kepada hasil ujian, menunjukkan bahawa klon berkenaan tumbuh dengan pantas dan mampu mencapai diameter sekurang-kurangnya 30 sm dan ketinggian 24 meter dalam tempoh 10 tahun sekiranya diurus dengan baik.

Selepas kajian, selama beberapa tahun itu, FRM telah menebang pokok untuk ujian sama ada ia merupakan kayu yang berkualiti.

Kayu yang dihasilkan kekuningan dan beberapa ciri lain hampir menyamai sumber balak di hutan asli.

Malah, kerusi untuk set meja makan telah pun dihasilkan dari kayu sesenduk klon ini.

Kini terbukti, bahawa hasil tungkus lumus FRIM menunjukkan bahawa kajian sejak 12 tahun itu mampu menghasilkan klon balak yang berpotensi untuk perladangan hutan.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan dinilai semua untuk meningkatkan mutu kayu.

Klon-klon baru juga perlu dihasilkan lagi bagi bagi menambahkan variasi dan bilangan baka yang digunakan.

Apa yang pasti, ia membuktikan bahawa klon tersebut berpotensi untuk dimajukan dalam program perladangan hutan untuk industri kayu bagi menampung kekurangan kayu getah dalam industri perabot.

Kenaf sumber industri baru

SELEPAS lapan tahun menjalankan kajian mengenai kenaf, kini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan pakej teknologi bermula dengan penanaman sehingga kepada produk akhir biokomposit.

Kajian yang dijalankan mendapati kenaf sesuai ditanam di kebanyakan kawasan di negara ini dan beberapa langkah telah diambil bagi mengkomersialkannya di pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Penyelidik Kenaf dan Pengawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI, Mat Daham Mohd. Daud berkata, projek di Kelantan termasuk penanaman dan pengeluaran Kenaf Polymer Composite (PKC) iaitu hasil teknologi yang dijana MARDI.

"Buat masa ini projek berkenaan dilaksanakan secara kerjasama dengan Projek D'Raja Kelantan (PDRK)," katanya.

Mat Daham berkata, PKC dihasilkan daripada adunan serbuk kenaf, resin plastik dan bahan tambahan bagi menggantikan produk kayu dan mempunyai banyak kegunaan di dalam industri pembinaan dan automotif.

Permintaan produk komposit dari bahan asli amat memberangsangkan terutama di negara maju dan produk kenaf amat di kehendaki.

"Buat masa ini pasaran produk kenaf telah pun wujud dan petani tidak mempunyai masalah memasarkan tanaman kenaf apabila kilang PKC beroperasi dalam masa terdekat," katanya.

Ladang

Kata Mat Daham, teknologi pengeluaran kenaf untuk dijadikan bahan komposit bermula dari ladang.

Beliau yang ditemui di pejabatnya berkata, teknologi yang diperkenalkan oleh MARDI membolehkan semua bahagian pokok kenaf digunakan secara optimum tanpa banyak pembaziran.

"Teknologi ini tidak memerlukan petani memproses kenaf untuk dijadikan serat seperti operasi pengeluaran kenaf biasa yang melibatkan proses reting yang memakan masa dan melibatkan kos tinggi," katanya.

Kaedah ini hanya melibatkan kenaf dipotong dan dicincang dalam satu operasi ladang menggunakan mesin khas dan boleh dibawa terus ke kilang untuk diproses.

"Semua proses di peringkat ladang menggunakan mesin sepenuhnya.

"Ini membolehkan petani melakukan aktiviti-aktiviti sampingan lain yang boleh meningkatkan pendapatan sampingan," katanya.

Proses menghasilkan PKC profil atau palet melibatkan beberapa aktiviti.

Kenaf yang sudah dicincang dari ladang dibawa ke pusat pengumpulan untuk dijadikan bahan mentah yang sesuai bagi menghasilkan bahan komposit.

Di pusat berkenaan, proses pertama adalah untuk mengeringkan bahan kenaf ke tahap kelembapan tidak lebih 10 peratus.

Pada peringkat pertama pengeringan boleh dilakukan menggunakan tenaga suria bagi mengurangkan kos sebelum menggunakan ketuhar khas di peringkat kedua.

Kemudian bahan kenaf yang telah dikeringkan dikisar menggunakan penyiat khas ke tahap kehalusan tertentu.

Serbuk kenaf yang dihasilkan diadun dengan bahan resin polimer seperti Polyethylene (PE), Polypropylene (PP) atau Polyvinyl Chloride (PVC) bergantung kepada kegunaan KPC.

Bagi memastikan bahan polimer bercantum dengan kuat dengan bahan kenaf beberapa jenis coupling agent (agen pengikat) ditambah.

Jenis bahan tambah yang digunakan bergantung kepada kegunaan serta kekuatan yang diperlukan produk akhir.

"Misalnya jika KPC digunakan di tempat terdedah dengan cahaya matahari, bahan pencegah sinar ultra ungu (uv) perlu dicampur untuk ketahanan produk.

"Bahan anti kulat juga boleh ditambah mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan.

"Komponen kenaf di dalam KPC boleh mencapai sehingga 70 peratus dan selainnya bahan resin dan campuran," katanya.

Adunan kenaf, resin dan coupling agent dimasukkan ke dalam acuan seperti semperit pada suhu antara 170 hingga 190 darjah Celsius untuk menghasilkan profil KPC.

Profil yang keluar daripada acuan semperit disejukkan dengan air sebelum dipotong secara automatik mengikut panjang profil yang ditetapkan.

Bentuk profil yang dikeluarkan, kata Mat Daham, bergantung kepada kegunaan dan warna yang ditetapkan sewaktu pemprosesan dan kekal sehingga dijadikan barangan dan tidak perlu dicat.

Katanya, teknologi KPC sedang dalam proses pengkomersialan dengan kerjasama PDRK dan sebuah syarikat swasta.

"Dalam projek ini, MARDI bertindak sebagai pakar rujuk dan pakar runding dalam pemindahan teknologi dari ladang hingga ke pemprosesan di kilang.

"Buat masa ini, kilang KPC sedang dalam pembinaan di Kelantan dan mesin telah dipasang mengikut spesifikasi MARDI," katanya.

Kata Mat Daham, proses pengeluaran KPC di luar bandar bakal mewujudkan industri nilai tambah hasil pertanian hasil usaha petani seperti saranan kerajaan.

Justeru sebagai salah satu cara menggantikan tanaman tembakau, petani telah mendapatkan pasaran bagi tanaman yang diusahakan.

"Ini merupakan projek pertama di negara ini dan boleh dijadikan model untuk mengembangkan lagi tanaman kenaf dan penggunaan KPC dalam industri.

"Buat masa ini kenaf dikenal pasti bagi menggantikan tanaman tembakau di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Pasaran bagi kenaf buat masa ini, kata Mat Daham, tertumpu kepada pasaran seberang laut di mana produk komposit daripada serat asli semakin popular dan kebanyakan pasaran tertumpu ke Australia, Jepun, Asia Barat dan Eropah.

Manakala promosi di pasaran tempatan sedang digiatkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Mat Daham menambah, industri penanaman kenaf berpotensi menjana kegiatan ekonomi berasaskan pertanian di kawasan luar bandar dan menggalakkan penambahan nilai produk petani yang dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Projek pengeluaran kenaf dan KPC merupakan hasil penyelidikan MARDI dalam pengkomersialan teknologi bagi membangunkan ekonomi negara.

Industri kenaf boleh berdaya maju jika terdapat teknologi hiliran yang sesuai untuk dibangunkan bagi mengeluarkan produk nilai tambah di pasaran global.

Produk kenaf dikategorikan mesra alam dan boleh diperbaharui memandangkan kitaran hidup kenaf hanya tiga hingga enam bulan.

Mat Daham menegaskan ini merupakan peluang yang perlu diambil bagi memajukan tanaman kenaf di negara kerana ia mempunyai kelebihan dari segi cuaca yang sesuai dan boleh ditanam sepanjang tahun.

August 7, 2009

Lebih banyak program agropolitan akan dibuka

Kerajaan mengenalpasti lebih banyak kawasan yang sesuai untuk dimajukan dengan program agropolitan di seluruh negara bagi membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenalpasti tiga kawasan baru untuk projek berkenaan.

''Projek agropolitan yang sedang dibina pada masa ini enam, manakala yang sudah dikenalpasti adalah tiga iaitu agropolitan Gunung Sadok di Sarawak, agropolitan Kedaya Telang Usan di Sarawak dan agropolitan Sedili di Johor.

''Kita akan terus melihat mana-mana kawasan yang sesuai sama ada di Semenanjung atau di mana-mana yang ada kepadatan kelompok kaum miskin untuk dimajukan.

''Kita juga sedang mengenalpasti kawasan yang masih ada di negeri Sabah dan Sarawak seperti di Kinabatangan, Pensiangan dan tempat-tempat lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran menduduki rumah di bawah Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di PPMS Batu Layar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Ebin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini dan ADUN Pitas, Bolkiah Ismail.

Pada majlis itu seramai 100 peserta menerima surat tawaran bagi menduduki 100 buah rumah fasa pertama yang bernilai RM3.3 juta.

Menurut Shafie, pada masa ini projek agropolitan yang telah siap sepenuhnya adalah di Gahai, Pahang, manakala enam lagi sedang dalam proses pembinaan ialah agropolitan Pulau Banggi di Sabah; Batang Sadong, Batang Lupar dan Pulau Beruit di Sarawak; Ganda di Perak dan Chemomoi di Pahang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan projek agropolitan Banggi Shafie berkata, beliau berpuas hati dengan tahap pelaksanaan projek yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu.

''Sejak ia dilancarkan pada 2007, jalan kampung dari Kampung Limbuak ke Kampung Padang dan Damaran telah siap 100 peratus manakala, jalan luar bandar sejauh 15 kilometer dari Karakit ke Limbuak siap 80 peratus.

''Bagi bekalan air sebanyak lapan buah kampung telah mendapat bekalan air bersih manakala projek bekalan elektrik di kawasan projek agropolitan juga telah 98 peratus siap," katanya.

Tambahnya, pada masa ini juga sebanyak 2,700 hektar tanah telah ditanam getah daripada keseluruhan 4,500 hektar tanah bagi penanaman getah di bawah projek itu.

Tanam cili kerjaya baru Normahiran

MINAT yang mendalam menceburi bidang perniagaan, mendorong Nor Mahiran Yusoff nekad mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus promosi di sebuah syarikat rakaman di ibu negara.

Bermula dengan syarikat penganjuran konsert berbayar, Nor Mahiran beralih kepada bisnes butik dan pengedar makanan sejuk beku.

Meninjau sektor pertanian yang menyumbang kepada pendapatan negara, Normahiran memilih untuk beralih mengusahakan tanaman cili merah dan cili padi.

Mengusahakan tanaman cili menggunakan konsep fertigasi di tanah seluas 1,500 kaki persegi di Dengkil, Selangor.

Sehingga kini, Normahiran mempunyai lebih 1,000 pokok cili merah jenis 990 dan cili padi Semerah hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mendapat khidmat nasihat daripada pengusaha tanaman fertigasi, Pengarah Fahim Agribaze, Abd. Rahim Ariff, yang bertindak sebagai mentor.

Nor Mahiran yang juga Pengurus Pentadbiran Nur Edar Enterprise berkata, beliau memilih cili merah jenis 990 kerana saiznya yang luar biasa sehingga mencecah sembilan inci.

"Walaupun cili jenis 990 bersaiz besar tetapi cepat matang kerana sudah boleh dituai selepas dua bulan setengah dipindahkan dari tapak semaian ke polibeg," katanya semasa ditemui di tapak tanamannya di Sungai Merab, Kajang, Selangor.

Cili jenis 990 ini agak rendah hanya 0.5 meter (m) dengan setiap pokok boleh menghasilkan sehingga lima kilogram cili setiap pokok.

Menggunakan media campuran sekam padi dan sabut manakala campuran baja A + B bagi mendapatkan hasil yang optimum.

Selain cili merah, Nor Mahiran juga menanam 300 batang cili api Semerah yang dibeli dari MARDI.

"Bagi peringkat permulaan saya mengeluarkan modal lebih RM10,000 bagi membeli kelengkapan fertigasi bagi 1,000 anak pokok cili.

"Ini termasuk peralatan fertigasi seperti polibeg, sabut, sekam padi, baja A+B, saluran paip, pam, tanah peat moss dan racun serangga," katanya.

Walaupun tidak sampai setahun mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, Nor Mahiran dengan kerjasama Abd. Rahim merancang mengadakan kursus tanaman fertigasi.

Nor Mahiran berkata, beliau merancang mengadakan kursus tanaman fertigasi termasuk cili, tomato, rock melon pada setiap Sabtu dan Ahad.

"Kami akan mengadakan kursus dalam satu kumpulan kecil seramai 12 peserta bagi memudahkan penumpuan.

"Kursus yang diadakan di tapak ini akan memudahkan peserta melakukan latihan secara hands-on," katanya yang telah menyediakan modul untuk panduan tanaman.

Pengalaman yang luas

Nor Mahiran berkata, kursus berkenaan akan dikendalikan oleh Abd. Rahim yang mempunyai pengalaman luas dalam penanaman berkonsep fertigasi.

Beliau juga akan mengajar cara tanaman yang betul bermula dari semaian sehingga kepada penjagaan dan tuaian.

"Kepada mereka yang berminat menjalankan tanaman fertigasi, kami turut menjual segala barang kelengkapan tanaman seperti media sekam padi dan sabut, baja A+B serta benih cili yang telah disemai," katanya.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus tanaman fertigasi boleh menghubungi Nor Mahiran di 019-212 9029 atau 03-4042 8561.

Dari kelab golf ke kolam keli

SEMUANYA bermula dari bual-bual kosong dengan seorang pemain golf bukan Melayu yang kerap berkunjung ke kelab tempat beliau bertugas empat tahun lalu.

Cerita tentang pengalaman berjaya dalam industri ternakan ikan air tawar dengan hanya menjadi usahawan menjual benih ikan keli itu, sekali gus mencetus minat Nur Azizi Rafie, 29, untuk serius menceburi bidang ini.

''Terus terang saya rasa tercabar, kawan kita ini mampu hidup bersantai dan senang lenang dengan hanya memiliki beberapa buah kolam ikan dan sebuah pusat menjual benih ikan air tawar" jelas beliau.

Sebelum melepaskan jawatan sebagai Eksekutif Perakaunan di sebuah kelab golf terkenal di Rawang, Selangor, Nur Azizi pernah menghadiri beberapa siri kursus penternakan ikan air tawar dan bengkel teknik pembenihan ikan anjuran Jabatan Perikanan dan Perintis Agrotech Centre (PAC).

Menurut Nur Azizi, daripada tinjauan awal, kos anak benih keli berukuran tiga inci di Lembah Klang dijual dengan harga antara 10 hingga 15 sen seekor.

Memandangkan tidak ramai penternak yang arif membuat pembenihan sendiri, mereka terpaksa membelinya daripada pembekal dan pusat-pusat pembenihan.

Bagaimanapun pembekal benih keli di Lembah Klang ketika ini cukup terhad dan menjadi punca kebanyakan projek ternakan keli tertangguh. Selain kekurangan bekalan induk keli untuk dibenihkan secara aruhan, faktor asuhan benih yang agak merumitkan menjadi punca kurangnya penglibatan yang serius dalam bidang pembenihan keli ini.

Atas kesedaran inilah dengan berbekalkan ilmu dan semangat, Nur Azizi mengambil keputusan nekad dan berpakat dengan seorang rakan sekerja Mohamad Suria Sufian, 29, meninggalkan kelab golf dan menyewa sekeping tanah di kawasan hutan rekreasi Rawang, Selangor.

Dengan menubuhkan syarikat Prestasi Agro Farm (PAF) kedua-dia usahawan muda ini mengorak langkah awal dengan memulakan projek ternakan keli dalam kanvas dan tangki poli dengan modal bersama.

Keli yang diternak dalam 15 tangki poli dan 10 kolam kanvas tersebut adalah hasil pembenihan keli yang mereka lakukan sendiri. Kegagalan demi kegagalan yang mereka tempuhi dalam proses pembenihan keli ini, sedikit pun tidak mematahkan semangat penternak muda ini.

Akhirnya dengan bimbingan dari pakar pembenihan di Jabatan Perikanan dan beberapa usahawan benih keli berjaya, mereka berhasil menyelami teknik sebenar proses pembenihan keli tersebut.

Sejak itu, setiap bulan paling kurang tiga kali pembenihan akan dilakukan melibatkan lebih 50 pasang induk.

Menurut beliau lagi, sesiapa sahaja yang ingin membuat pembenihan secara komersial harus mempunyai bekalan ikan induk yang mencukupi dan berterusan.

Di samping menternak induk sendiri, bekalan ikan induk juga diperolehi daripada pemancing atau penternak yang menggunakan kolam tanah.

Pemilihan induk yang kurang tepat akan mengurangkan kualiti dan kuantiti benih.

Sebelum proses pembenihan dibuat, induk yang dipilih dirawat terlebih dulu selama seminggu bagi menjamin kualiti telur yang bakal dihasilkan. Umur induk biasanya sekitar tujuh bulan hingga dua tahun.

Induk yang terlalu tua akan mengurangkan kuantiti dan kualiti benih.

Saiz yang sesuai adalah sekitar 26 sentimeter (300 gram) hingga 75 sentimeter (satu kilogram). Saiz induk betina biasanya lebih kecil daripada saiz induk jantan.

Seekor induk betina bersaiz 30 sentimeter mampu mengeluarkan telur antara 10,000 biji dan mencapai 200,000 biji telur apabila mencapai saiz 90 sentimeter.

Menurut Nur Azizi, masa yang paling sesuai untuk menjalankan pembiakan dipengaruhi kehadiran musim hujan iaitu antara bulan April hingga Disember dengan puncaknya berada antara bulan Julai dan September.

''Bekalan induk jantan paling kritikal kerana dalam proses pembenihan aruhan, induk jantan terpaksa dikorbankan bagi mengeluarkan kantung benihnya,'' jelas beliau lagi.

Setelah lebih dua tahun beroperasi, PAF kini mampu memasarkan lebih 500,000 ekor anak benih keli setiap bulan.

Memandangkan permintaan yang semakin bertambah, Azizi serta rakan menambah empat lagi kolam tanah bagi mempercepatkan proses pembesaran anak benih.

Menurutnya, anak benih yang berusia empat hari, lebih cepat membesar sekiranya diasuh dalam kolam tanah.

''Tiga minggu dalam kolam tanah sudah sedia untuk dijual terus kepada penternak," ujarnya.

Tegas beliau, biasanya penternak akan membeli anak benih yang berukuran tiga inci kerana risiko kematian adalah rendah.

Permintaan terhadap benih ikan keli memuncak ketika menjelang bulan puasa dan cuti sekolah kerana para penternak akan membuat persediaan awal bagi memenuhi permintaan ikan keli segar yang kebiasaanya mendapat pesanan berlipat kali ganda bagi hidangan berbuka dan majlis kenduri kahwin.

''Penternak biasanya akan memesan sebulan lebih awal sebelum ikan di kolam mereka dituai. Setakat ini permintaan paling banyak kami terima dari Lembah Klang, Selangor, Kawasan Utara dan Johor" ujarnya.

Setiap kali pembenihan dijalankan, PAF juga membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta mempelajari teknik pembenihan secara intensif.

Bengkel satu hari ini mendedahkan peserta tentang kaedah pemilihan induk, teknik pembenihan, asuhan benih dan penyediaan makanan alternatif.

Bagi mengurangkan kos makanan ternakan keli yang semakin meningkat, PAF mengamalkan penternakan teknik Pro Asli bagi meminimumkan kebergantungan kepada pelet.

Ini membuktikan bermula daripada bual-bual kosong di padang golf, mampu membawa keuntungan ribuan ringgit.

Bagi penternak yang ingin mempelajari teknik pembenihan ikan keli atau mendapatkan bekalan anak benih atau peralatan pembenihan, bolehlah menghubungi beliau di 019-3310855 atau 016-3094950.

August 1, 2009

Pro-Asli jimatkan kos pemakanan ikan keli

PENTERNAKAN ikan keli adalah antara aktiviti ekonomi yang berpotensi menyumbang hasil yang lumayan, jika ia diusahakan secara profesional termasuk menguruskan kos secara berkesan, terutama membabitkan makanan.

Menyedari hakikat itu, Perintis Niaga Sdn Bhd tampil memperkenalkan kaedah penternakan alternatif terkini untuk penternak ikan keli yang dikenali sebagai kaedah Pro-Asli.

Menerusi kaedah Pro-Asli yang dibangunkannya, syarikat itu bukan saja menawarkan produk yang mampu membantu pengusaha ikan keli menjimatkan kos penternakan, tetapi juga program perniagaan untuk pengusaha penternakan ikan keli organik.

Pengarah Urusannya, Hilmy Hamzah berkata, kaedah Pro-Asli bukanlah teknik pemakanan lengkap, tetapi adalah kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semula jadi dan bioteknologi.

Katanya, kaedah itu berupaya mengurangkan pergantungan ikan kepada palet sebagai makanan dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan untuk ikan.

Beliau berkata, kaedah Pro-Asli membolehkan agen biologi bertindak membantu tumbesaran ikan dengan memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

“Ada tiga bahan utama dalam kaedah terbabit iaitu Bio-Mineral untuk membentuk makanan semula jadi, Bio-Vita untuk tumbesaran dan serapan protein tinggi serta Bio-Aqua untuk merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli dalam air

“Matlamat kami memperkenalkan kaedah Pro-Asli ialah untuk mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak,” katanya dalam temubual di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perintis Niaga adalah syarikat 100 peratus milik Bumiputera yang menjalankan aktiviti untuk menjayakan industri pertanian negara dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan dengan menyalurkan ilmu, kemahiran dan teknologi terkini dalam sektor terbabit.

Kaedah Pro-Asli adalah satu lagi produk Perintis Niaga yang dibangunkan bagi membantu membangunkan sektor pertanian dan penternakan negara selepas pengenalan produk baja Vermikompos dan beberapa program pertanian sebelum ini.

Hilmy berkata, sekiranya pengusaha menggunakan kaedah Pro-Asli, kos keseluruhan makanan bagi satu kilogram ikan keli adalah antara RM1.20 hingga RM1.50 berbanding RM4 hingga RM4.50 bagi penggunaan pelet sepenuhnya.

Katanya, bagi memastikan produk yang dibangunkan untuk kaedah berkenaan boleh didapati di pasaran, Perintis Niaga kini sedang berusaha membimbing dan melantik satu rangkaian pengedar aktif yang terdiri daripada penternak sendiri.

Selain itu, katanya, siri jelajah ke seluruh negara telahpun bermula sejak awal Mei bagi mendedahkan kepada penternak mengenai kaedah ternakan yang lebih menjimatkan itu, sekali gus melantik lebih ramai pengedar di setiap negeri dan daerah.

Menerusi konsep Pro-Asli itu, Perintis Niaga turut menawarkan pakej penternakan ikan keli organik kepada usahawan yang berminat mengusahakannya.

Pakej berharga RM5,000 itu menawarkan dua set kolam kanvas, 3,000 ekor anak ikan keli bagi setiap kolam serta set ternakan

lengkap dan bekalan makanan yang mencukupi hingga ikan terbabit matang dan boleh dijual.

Syarikat itu juga menawarkan pembelian semula hasil penternakan ikan keli yang diusahakan pada harga tertentu yang kompetitif dengan harga pasaran.

Hilmy berkata, usahawan yang mengambil pakej perniagaan yang ditawarkan itu akan diberi latihan lengkap mengenai kaedah penternakan ikan keli organik dan seterusnya dibimbing untuk menjadi pengedar produk Pro-Asli.

"Buat masa ini, kami sudah ada kira-kira 15 pengedar Pro-Asli dan mensasarkan untuk memiliki 200 pengedar menjelang akhir tahun," katanya.

Mereka yang ingin menjadi pengedar produk Pro-Asli atau berminat menyertai bengkel ternakan ikan keli organik yang ditawarkan, boleh hubungi 03-61873796 atau 019-3310985.