April 24, 2009

Ternakan cacing hasilkan baja

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Kegawatan ekonomi menyebabkan kebanyakan kos input pertanian seperti baja dan racun serangga semakin meningkat.

Sudah tentu ini memberikan kesan kepada usahawan tani yang amat memerlukannya bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian masing-masing.

Justeru seorang usahawan tani, Mohd. Nasir Zainudin, 50, mencari alternatif lain bagi menghasilkan baja sendiri.

Beliau yang mempunyai ladang kelapa sawit dan pisang di Sabak Bernam dan Bagan Datoh, Perak memerlukan sekurang-kurangnya 50 tan baja semusim untuk ladangnya.

"Saya melihat ternakan cacing sesuai kerana boleh menghasilkan baja menggunakan bahan sisa pertanian," katanya semasa ditemui di rumahnya di Jalan Haji Karim, Kampung Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Baru memulakan ternakan cacing selama beberapa bulan, Mohd. Nasir membeli cacing daripada pembekal di tempatnya.

Bermula dengan 30 petak dengan saiz 6 kaki x 5 kaki dan belum lagi menuai hasil, Mohd. Nasir telah menambah 10 lagi petak menjadikannya 40 petak.

"Buat masa ini saya baru menggunakan baja cacing untuk ladang kelapa sawit tetapi masih belum melihat hasilnya.

"Bagaimanapun dengan menghasilkan sendiri baja saya boleh mengurangkan kos," katanya yang akan menggunakan baja untuk kegunaan sendiri.

Ujarnya, satu petak ternakan memerlukan kira-kira 2,000 ekor cacing.

Bagaimanapun selepas tiga hingga empat bulan setiap petak akan mempunyai antara 8,000 hingga 10,000 ekor cacing.

"Cacing ini perlu perlu dialihkan ke petak-petak lain untuk memproses baja," katanya.

Di dalam petak berkenaan, usahawan ini meletakkan tahi kambing dan sabut kelapa sebagai media.

"Menternak cacing agak mudah kerana selepas meletakkan media, kita hanya perlu menyembur air seminggu sekali.

"Ini bagi memastikan kawasan petak tidak kering dan boleh mengakibatkan cacing mati," katanya.

Beliau juga mengumpulkan air cacing yang terhasil daripada proses penghasilan baja untuk dijadikan baja.

Bagi menghasilkan baja beliau membeli tahi kambing dan sabut kelapa daripada pengusaha di Perak dan Selangor.

Bagaimanapun tahi kambing yang dibeli perlu dikuarantin atau diperam dan disiram dengan air selama lebih kurang seminggu sebelum diletakkan pada petak cacing.

Ini bagi mengurangkan bau dan memberikan persekitaran yang selesa bagi cacing.

Mohd. Nasir berkata, jika eksperimennya berjaya, beliau tidak akan teragak-agak menggunakan baja cacing untuk semua tanaman di ladangnya.

Teknologi pemakanan untuk ternakan keli

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Bidang pertanian kini semakin menarik perhatian golongan profesional yang mendapati pertanian boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan.

Seorang pengamal undang-undang, Mohammad Hifdzi Hamzah yang mempunyai firma guamannya sendiri telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu.

"Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam," katanya semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.

Sebagai seorang peguam, beliau sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian bagi meningkatkan lagi bidang pertanian.

Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.

Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian.

Walaupun sibuk dengan kerjaya dan pertanian, Mohammad Hifdzi berkata, dalam dunia yang canggih, seseorang memerlukan beberapa kemahiran dan boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa.

"Itulah yang saya amalkan selama ini," katanya. Justeru pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan pro asli.

Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu

lKos makanan palet yang terlalu tinggi dan membebankan

lTumbesaran ikan keli yang lambat dan tak sekata

lKualiti ikan keli tidak asli

Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau pro asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.

Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.

Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.

Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.

"Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali," katanya.

Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.

Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian.

"Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari," katanya.

Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.

Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.

"Penternak hanya perlu memantau kolam ternakannya seminggu sekali dan pengredan hanya dilakukan pada peringkat awal.

"Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE," katanya.

Mohammad Hifdzi berkata, produk yang diciptanya bagi memberikan peluang kepada penternak mendapatkan keuntungan maksimum walaupun harga ikan tidak meningkat.

Produk ini juga bakal memberikan nafas baru kepada usahawan tani atau penternak yang telah putus asa disebabkan kos makanan terlalu tinggi.

"Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan.

"Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri," katanya.

Justeru, Mohammad Hifdzi berkata, pihaknya percaya magic grow merupakan salah satu projek dalam konsep Bumi Hijau yang boleh dijalankan oleh sesiapa saja.

Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga.

Buat masa ini jelas Hifdzi berkata, konsep ini lebih berpusat di Lembah Kelang tetapi beliau bercadang untuk memperkenalkan magic grow ke seluruh negara.

"Saya percaya program ini dapat menambah unsur positif kepada penternak selain menambah pendapatan.

"Ini merupakan suatu peluang yang baik lebih-lebih lagi semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya. Hifdzi menambah, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat Perintis Dagang Sdn. Bhd. untuk memasarkan Pro-Asli atau Kit Pro-Asli.

Pro Asli disasarkan bagi penternak baru manakala Kit Pro Asli pula bagi penternak sedia ada.

Ditanya mengenai perbezaan antara makanan organik, keli makan tanah, protein keli dan Pro Asli, Hifdzi berkata, Pro Asli merupakan satu kaedah makanan baru di negara ini tetapi telah lama digunakan di negara jiran, Thailand.

"Di sana mereka memberikan campuran tanah liat, tahi lembu kering, tanah hitam dan baja cacing sebelum ditambah ke dalam air.

"Ini dapat memastikan ikan mendapat makanan dan terus hidup tanpa makanan lain dan tidak mengambil kira jangka masa tuaian komersial 75 hingga 100 hari," katanya.

Bagaimanapun magic grow telah melangkah lebih jauh kerana bukan saja membuat makanan asli tetapi mengambil kira faktor tumbesaran yang menepati standard komersial.

Selain itu pengurusan kualiti air dan najis ikan, vitamin untuk tumbesaran dan antibodi, memperbaiki kualiti dan mutu ikan ke arah standard super organik iaitu 100 peratus makanan asli, bersih dan berteknologi tinggi pada harga yang rendah.

Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi.

Selain magic grow, Hifdzi telah menghasilkan empat produk lain:

Sistem akuakultur kitar semula (RAS) dan gabungan tujuh unsur alam.

Rawatan kolam takungan dan pelupusan sampah menggunakan rawatan 100 peratus organik dan mesra alam.

Rawatan sisa makanan menjadi baja organik.

Ternakan cacing bioteknologi.

Pakar bidang IT terjun ke kolam ternakan

Oleh LAUPA JUNUS

Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

''Saya sudah bosan," katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

''Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, '' katanya.

Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

''Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,"ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

''Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan," ujar Hanafiah.

Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

April 17, 2009

Program latihan pertanian percuma

Kerajaan sememangnya memandang serius keperluan makanan negara kerana krisis makanan dunia bukanlah suatu perkara remeh.

Pemimpin dunia telah meletakkan kepentingan makanan hingga ke satu tahap sebagai isu keselamatan.

Dalam konteks Malaysia, selain keupayaan pengeluaran makanan, aspek pembangunan kemahiran, teknologi dan inovasi menjadi teras pembangunan pertanian baru.

Menyedari hakikat tersebut, kerajaan turut menggalakkan penyertaan institusi latihan pertanian swasta untuk menjalankan kursus dalam bidang berasaskan pertanian.

Institut Skill-Tech adalah institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) pertama di negara ini yang menjalankan sepenuhnya latihan kemahiran dalam bidang pertanian.

Pada tahun lepas, kerajaan telah mewujudkan Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS bumiputera.

Institut tersebut adalah antara lima ILKS yang menjadi kumpulan perintis skim berkenaan. Oleh kerana bidang pertanian menjadi fokus utama, institut ini telah menerima geran pembiayaan latihan terbesar untuk melatih 2000 peserta dalam tempoh setahun.

Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, skim tersebut diletakkan di bawah Mara dengan kawal selia Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Sasarannya adalah untuk menambah penyertaan belia dalam bidang pertanian secara terlatih.

Percuma

Nordin yang juga Pengerusi Gabungan ILKS bumiputera turut menjelaskan bahawa geran berkenaan bagi membolehkan setiap ILKS termasuk Institut Skill-Tech menawarkan kursus secara percuma kepada belia Bumiputera yang berminat.

Kesungguhan kerajaan juga ditunjukkan dengan menyediakan insentif sara diri berjumlah RM300 sebulan.

''Kalau sebelum ini, bukan hanya mempunyai institusi latihan kemahiran awam (ILKA) sebagai pilihan, kini mereka boleh memilih Institut Skill-Tech sebagai pilihan lain kerana modul dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang digunakan adalah sama dengan ILKA,,'' katanya.

Sebagai ILKS yang terpilih, Institut Skill-Tech bolehlah dianggap sebagai pelengkap kepada ILKA memandangkan institut tersebut mempunyai kapasiti dan keupayaan latihan yang agak terhad.

''Kami juga menganggap, geran ini sebagai amanah besar yang perlu dimanfaatkan oleh generasi muda untuk menjadi penggerak sektor pertanian di Malaysia.

"Oleh itu, kami sentiasa berusaha keras untuk mempromosikan program, di samping mencapai sasaran Indeks Petunjuk Utama (KPI) menerusi impak program yang ditetapkan kerajaan,'' ujarnya lagi.

Bagi mencapai misi tersebut, Institut Skill-Tech sedang menggerakkan semua pendekatan penyertaan belia dengan memperkenalkan pelbagai system latihan.

Selain latihan sepenuh masa di mini kampus utama Durian Tunggal, Melaka dan pusat latihan satelit Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Melaka, belia juga boleh mengikuti latihan melalui kaedah e-learning, Pusat Latihan Terhad (kumpulan khas) dan konsep jarak jauh (usahawan sedia ada).

Namun semua sistem tersebut terhad kepada syarat dan kumpulan sasar tertentu.

Kursus selama setahun itu menawarkan bidang-bidang seperti tanaman makanan, akuakultur, senibina landskap, pemprosesan makanan, bioteknologi, ruminan, agro pelancongan (inap desa) serta pemasaran pertanian.

Menurut Nordin lagi, Institut Skill-Tech juga akan membiayai sara diri pelatih sepanjang mengikuti latihan sambil bekerja (OJT) di seluruh negara.

Pada masa ini, terdapat lebih 100 buah agensi awam dan swasta yang menerima pelatih mereka dalam pelbagai bidang.

Pembiayaan ini meringankan beban pelatih ketika menjalani OJT berkenaan.

''Sesetengah syarikat memberi mereka elaun tambahan atau kemudahan tertentu seperti makan dan penginapan.

'' Walaupun elaun industri bukanlah matlamat utama OJT, kesediaan sesetengah syarikat menyediakan sagu hati tambahan itu mendorong semangat pelatih,'' tambahnya.

Selepas tamat kursus, pelatih yang memilih untuk menjadi usahawan tani berpeluang menikmati pelbagai pembiayaan perniagaan seperti Tabung Ekonomi Usahaniaga (Tekun) dan Mara kerana semua pelatih diwajibkan menjalani kursus keusahawanan seperti yang ditetapkan kerajaan.

Semua pelatih Skill-Tech akan didedahkan dengan perniagaan pertanian dan agronomi pada tahap kedua kursus mereka. Modul keusahawanan mengguna pakai sukatan latihan Insken.

Bagi mencapai kouta kemasukan pelatih, Institut Skill-Tech sedang mengadakan pengambilan besar-besaran bermula sekarang hingga Jun ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 06-5531416/18.

Peluang sertai bengkel kambing dan ikan air tawar

Selepas menganjurkan beberapa siri bengkel pertanian sejak setahun lepas melibatkan penanaman cendawan, ternakan ikan keli dan kambing, tahun ini program bertujuan melahirkan usahawan pertanian tersebut diteruskan lagi.

Pada tahun ini ia bermula dengan Bengkel Usahawan Bersama Mega Utusan Malaysia melibatkan teknologi fertigasi iaitu penanaman menggunakan sistem pengairan baja dan air serentak untuk pokok cili.

Beberapa siri bengkel tersebut diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan peserta dari serata pelosok negara.

Bengkel anjuran Utusan Malaysia itu mendapat penajaan Agro Bank, selain kerjasama strategik dengan May Consult, sebuah syarikat perunding pertanian tempatan.

Dua bengkel akan diadakan serentak iaitu Bengkel Usahawan Kambing pada 24 hingga 27 April ini di Ladang Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak, manakala Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar-Ketutu, Haruan akan diadakan pada 25 hingga 27 April di Sungai Petani Kedah. Bersama-sama ini disertakan borang penyertaan untuk mereka yang berminat menyertai bengkel tersebut dengan bayaran RM150 seorang.

Usia bukan penghalang usahakan ternakan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Siapa kata, warga emas tidak boleh menjana pendapatan sendiri menerusi industri pertanian yang sememangnya menjanjikan pulangan yang lumayan.

Bagi Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya Khairiah Abd. Majid, 60, masih belum terlambat bagi mereka melibatkan diri dalam ternakan kambing Boer dan Jamnapari, biri-biri serta lembu di ladang ternakannya di Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.

Walaupun dulunya Abd. Ghafar bertugas dengan Felda dan kemudian menjalankan perniagaan sajian makanan hampir 10 tahun, tetapi ia tidak mematahkan semangatnya memulakan sesuatu yang baru.

Berjinak-jinak dengan industri ternakan sejak setahun lalu, semuanya bermula apabila seorang sahabat mengajaknya melawat ladang ternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

''Ketika itu timbul minat untuk memelihara kambing dan saya mula membeli kambing Boer terus dari Australia bersama-sama dengan dua rakan lagi dari Melaka dan Perak," katanya semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Kebiasaannya, dia mengimport sehingga 30 hingga 40 ekor kambing Boer dengan kekerapan dua kali setahun terus dari Australia dan ini dilakukan secara berkelompok bersama-sama rakan lain.

Abd. Ghafar menerusi syarikatnya D NA Maju Ternak Sdn. Bhd. kemudian membeli kambing Jamnapari dan Ferrell bagi mempelbagaikan serta memelihara biri-biri yang dibeli terus dari Australia.

Selain menternak bagi tujuan akikah, korban, kenduri dan pemborong, Abd. Ghafar juga memelihara untuk tujuan pembiakbakaan.

Buat masa ini, dia memiliki 68 ekor kambing Boer dewasa dengan 28 ekor anak, 22 ekor Jamnapari dan enam ekor Ferrell.

Menyifatkan industri ternakan lebih mudah berbanding sajian makanan, bapa kepada tujuh orang anak ini banyak dibantu oleh anak-anak, menantu serta cucu.

''Perniagaan sajian makanan memerlukan saya berada sepenuh masa di sana tetapi dalam ternakan saya hanya memantau segala yang dilakukan oleh anak, menantu dan cucu,'' katanya

Ladang ternakan yang mempunyai dua buah kandang kambing bersaiz 60x40 kaki yang dibina di atas tanah seluas dua ekar menerima suntikan modal daripada anak-anak dan simpanan Abd. Ghafar sendiri tanpa bantuan atau pinjaman mana-mana pihak.

Pulang modal

Walaupun baru setahun jagung beroperasi, Abd. Ghafar telah mula menerima pulangan balik modal yang dikeluarkan hasil daripada jualan lembu, kambing, baja tahi kambing serta edaran makanan ternakan.

''Bagaimanapun industri ternakan terutama kambing amat terdedah dengan risiko penyakit seperti kurap, kembung, selesema, bisul, batu karang serta sakit mata.

''Bagi mengawal penyakit, kami mengeluarkan kos sehingga RM1,000 sebulan bagi dua buah kandang untuk memastikan ternakan kami sentiasa sihat,'' katanya.

Dibantu menantunya Aslaishaharudin Mohd Daud, 30, yang banyak menjalankan kerja di dalam kandang.

Lebih kurang 500 meter dari ladang ternakan kambing, Abdul Ghafar mempunyai ladang ternakan lembu fidlot di atas tanah seluas dua ekar.

Memulakan ladang ternakan fidlot, Abd. Ghafar mula membeli 215 ekor lembu pada tahun lalu untuk tujuan digemukkan dan pasaran untuk daging.

''Pasaran daging lembu amat besar semasa musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu,'' katanya yang memelihara lembu jenis Brahman, Charolais dan LID yang dibeli dari Australia.

Beliau membeli lembu pada usia dua tahun untuk digemukkan di dalam kandang fidlot selama lapan bulan sebelum dijual kepada pembekal.

Lembu yang dipelihara dalam ladang fidlot diberi makan palet, daun sawit, rumput napier, batang pisang dan kacang soya bagi membekalkan protein.

Menyentuh mengenai kos pemakanan, Aslaishaharudin berkata, seekor lembu memerlukan kos purata antara RM2 hingga RM3 sehari.

Biasanya dalam masa dua bulan, berat badan seekor lembu akan meningkat antara 20 hingga 30 kilogram (kg) berbanding semasa mula sampai.

''Bagaimanapun masalah paling utama dalam industri ternakan adalah harga makanan yang semakin meningkat," katanya yang menjual seekor lembu pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut berat.

Selain menjual daging dan haiwan hidup, beliau juga menjual kulit lembu kepada peraih dari Thailand yang mengambilnya mengikut timbangan berat.

Ladang ternakan dalam resort

Oleh LAUPA JUNUS

BELIAU merenung jauh ke kawasan kandang memerhatikan ternakan kambing Boer yang sedang rancak mengunyah. Tidak jauh dari situ, lembu Bali yang montel dan bersih sedang berkeliaran. Sungai yang memisahkan kompleks ladang dan penginapan serta pusat rekreasi sekali mengalir lesu tetapi dengan airnya yang sangat jernih.

Renungan itu diselangselikan dengan kerutan dahi, mungkin memikirkan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukannya di ladang itu yang baru beberapa tahun beroperasi.

''Mulanya di kawasan ini , saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus memberitahu mengenai niat murninya itu.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan dibantu adik beradiknya Badrul Hisham Mohd. Idrus dan Mohd. Zulkifli Mohd. Idrus serta Ketua Pegawai Operasi, Hiruddin Hashim, mereka membangunkan kawasan tersebut sejak hujung 2004 dengan kerja-kerja pembelian tanah daripada penduduk kampung.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.

Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.

Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.

Semua projek tersebut menurut Mohd. Zainuri menelan belanja antara RM5 dan RM6 juta sejak 2004 meskipun beliau juga menggunakan bahan buangan seperti kayu dari landasan keret api, membina landskap dan penginapan bertaraf hotel.

''Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan," katanya.

Pada mulanya, 50 ekor kambing dibawa masuk dari Australia dan hampir setiap hari, seekor akan mati.

Kali kedua, kejadian sama berulang dan mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mencari petua dan belajar daripada pelbagai pihak.

''Saya pernah dihalau oleh penternak apabila cuba menawarkan diri mendapatkan bimbingan daripadanya dan seorang penternak Cina akhirnya membantu saya memberikan tip berguna," ujar beliau.

Beliau kemudiannya membangunkan kawasan tersebut sedikit demi sedikit bersesuaian dengan konsep pelancongan tani dan pada masa sama projek pembangunan kemudahan termasuk pejabat, gelanggang sukan masih diteruskan.

Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

''Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik.

''Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus,'' katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.

Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.

Sementara itu menurut Mohd. Zainuri, pihaknya akan meluaskan aktiviti kepada penjualan ternakan apa bila projek tersebut dilaksanakan di Perlis tidak lama lagi.

Tumpuan akan diberi kepada pengeluaran di kawasan tersebut manakala ladang sedia ada akan tertumpu kepada pembiakbakaan dan R&D.

Syarikat tersebut terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai ladang pengganda kambing Boer dan lembu pedaging serta penggalak bagi industri ternakan kambing dan lembu.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.

Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.

Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.

April 10, 2009

Bulan Tanaman dekatkan rakyat dengan pertanian

Selepas bulan Februari diumumkan sebagai Bulan Perikanan, Mac sebagai Bulan Ternakan dan kini bulan April pula dikenali sebagai Bulan Tanaman.

Inisiatif bulan mengikut sektor pertanian diadakan hasil cetusan idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Fokus bulan yang dilakukan merupakan pendekatan Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan dengan lebih fokus dan tersusun mengikut sub sektor pertanian seperti tanaman, perikanan dan ternakan.

Pengarah Pengembangan, Perundingan Pelaburan dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Datuk Safie Baharom berkata, bulan yang dilaksanakan mengikut sub sektor adalah untuk memberikan tumpuan kepada golongan sasar.

Ini termasuk petani, penternak dan nelayan serta mereka yang berminat dalam sektor pertanian untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan, sesi aduan pelanggan dan dialog.

Selain itu pengunjung juga berpeluang melawat tapak pameran serta membeli produk pertanian segar.

''Konsep Bulan Tanaman juga menyaksikan pegawai lebih kerap turun padang seperti dinyatakan oleh Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani).

Semasa program Bulan Tanaman, Jabatan Pertanian bertindak sebagai ketua agensi di bawah kerjasama MoA Inc.

Ia melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Agensi-agensi lain ialah seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agro Bank.

"Semua agensi akan bersama-sama membantu golongan petani dan mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang tanaman dengan memberikan khidmat nasihat teknikal, pengetahuan dan keperluan mereka," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Safie berkata, matlamat sebenar Bulan Tanaman adalah mewujudkan hubungan erat antara pegawai Jabatan Pertanian dan agensi MoA Inc dengan golongan sasar.

Ini membolehkan mereka mengetahui maklumat, program dan aktiviti yang ditawarkan dalam membangunkan sektor pertanian dan industri asas tani.

"Selain itu pegawai-pegawai juga dapat mengetahui keperluan golongan sasar melalui aduan dan dialog supaya sistem penyampaian dapat ditingkatkan dan memberi impak lebih cepat dan berkesan bagi menangani isu berkaitan tanaman," katanya.

Dengan adanya Bulan Tanaman, ia dapat memberi peluang kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti pertanian untuk mengetahui potensi sebenar tanaman untuk diusahakan secara komersial seperti Amalan Pertanian Baik (APB), fertigasi dan tanaman semula jadi.

Jabatan Pertanian juga ingin menyampaikan dan memberikan maklumat berkenaan pembangunan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Pembangunan Tanah Terbiar, Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian (ACDA) dan Agro pelancongan.

Bulan Tanaman yang bermula pada 3 April akan berakhir 8 Mei akan datang dengan pelbagai aktiviti dari peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat.

Aktiviti utama iaitu Hari Bertemu Pelanggan merangkumi aduan dan dialog pelanggan, program insentif tanaman, penerangan pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) selain pameran dan jualan produk tanaman dan industri asas tani.

Safie berkata, Bulan Tanaman peringkat kebangsaan akan dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 12 April di Sungai Dua Tasik Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung sekitar Lembah Kelang, ibu pejabat Jabatan Pertanian Putrajaya juga mengadakan pelbagai program seperti Seminar Pelaburan, dialog , talk show, khidmat pakar runding dan pameran.

Menyentuh mengenai impak Bulan Tanaman dalam membangunkan sektor pertanian, Safie berkata, ia memberikan satu pendekatan yang fokus kepada aktiviti tanaman bagi menghubungkan pegawai agensi dengan golongan sasar.

"Ini bagi memastikan golongan sasar dapat meningkatkan pengeluaran bekalan negara serta pendapatan petani.

"Dengan penyampaian maklumat berkaitan tanaman serta maklum balas pelanggan diharap dapat mengerakkan sektor pertanian ke tahap yang lebih baik," katanya.

Safie berharap, Bulan Tanaman yang dilaksanakan dapat memberikan kesan lebih fokus dalam membangunkan sektor tanaman di mana pegawai dan golongan sasar berganding bahu menjayakan pembangunan sektor pertanian.