April 17, 2009

Usia bukan penghalang usahakan ternakan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Siapa kata, warga emas tidak boleh menjana pendapatan sendiri menerusi industri pertanian yang sememangnya menjanjikan pulangan yang lumayan.

Bagi Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya Khairiah Abd. Majid, 60, masih belum terlambat bagi mereka melibatkan diri dalam ternakan kambing Boer dan Jamnapari, biri-biri serta lembu di ladang ternakannya di Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.

Walaupun dulunya Abd. Ghafar bertugas dengan Felda dan kemudian menjalankan perniagaan sajian makanan hampir 10 tahun, tetapi ia tidak mematahkan semangatnya memulakan sesuatu yang baru.

Berjinak-jinak dengan industri ternakan sejak setahun lalu, semuanya bermula apabila seorang sahabat mengajaknya melawat ladang ternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

''Ketika itu timbul minat untuk memelihara kambing dan saya mula membeli kambing Boer terus dari Australia bersama-sama dengan dua rakan lagi dari Melaka dan Perak," katanya semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Kebiasaannya, dia mengimport sehingga 30 hingga 40 ekor kambing Boer dengan kekerapan dua kali setahun terus dari Australia dan ini dilakukan secara berkelompok bersama-sama rakan lain.

Abd. Ghafar menerusi syarikatnya D NA Maju Ternak Sdn. Bhd. kemudian membeli kambing Jamnapari dan Ferrell bagi mempelbagaikan serta memelihara biri-biri yang dibeli terus dari Australia.

Selain menternak bagi tujuan akikah, korban, kenduri dan pemborong, Abd. Ghafar juga memelihara untuk tujuan pembiakbakaan.

Buat masa ini, dia memiliki 68 ekor kambing Boer dewasa dengan 28 ekor anak, 22 ekor Jamnapari dan enam ekor Ferrell.

Menyifatkan industri ternakan lebih mudah berbanding sajian makanan, bapa kepada tujuh orang anak ini banyak dibantu oleh anak-anak, menantu serta cucu.

''Perniagaan sajian makanan memerlukan saya berada sepenuh masa di sana tetapi dalam ternakan saya hanya memantau segala yang dilakukan oleh anak, menantu dan cucu,'' katanya

Ladang ternakan yang mempunyai dua buah kandang kambing bersaiz 60x40 kaki yang dibina di atas tanah seluas dua ekar menerima suntikan modal daripada anak-anak dan simpanan Abd. Ghafar sendiri tanpa bantuan atau pinjaman mana-mana pihak.

Pulang modal

Walaupun baru setahun jagung beroperasi, Abd. Ghafar telah mula menerima pulangan balik modal yang dikeluarkan hasil daripada jualan lembu, kambing, baja tahi kambing serta edaran makanan ternakan.

''Bagaimanapun industri ternakan terutama kambing amat terdedah dengan risiko penyakit seperti kurap, kembung, selesema, bisul, batu karang serta sakit mata.

''Bagi mengawal penyakit, kami mengeluarkan kos sehingga RM1,000 sebulan bagi dua buah kandang untuk memastikan ternakan kami sentiasa sihat,'' katanya.

Dibantu menantunya Aslaishaharudin Mohd Daud, 30, yang banyak menjalankan kerja di dalam kandang.

Lebih kurang 500 meter dari ladang ternakan kambing, Abdul Ghafar mempunyai ladang ternakan lembu fidlot di atas tanah seluas dua ekar.

Memulakan ladang ternakan fidlot, Abd. Ghafar mula membeli 215 ekor lembu pada tahun lalu untuk tujuan digemukkan dan pasaran untuk daging.

''Pasaran daging lembu amat besar semasa musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu,'' katanya yang memelihara lembu jenis Brahman, Charolais dan LID yang dibeli dari Australia.

Beliau membeli lembu pada usia dua tahun untuk digemukkan di dalam kandang fidlot selama lapan bulan sebelum dijual kepada pembekal.

Lembu yang dipelihara dalam ladang fidlot diberi makan palet, daun sawit, rumput napier, batang pisang dan kacang soya bagi membekalkan protein.

Menyentuh mengenai kos pemakanan, Aslaishaharudin berkata, seekor lembu memerlukan kos purata antara RM2 hingga RM3 sehari.

Biasanya dalam masa dua bulan, berat badan seekor lembu akan meningkat antara 20 hingga 30 kilogram (kg) berbanding semasa mula sampai.

''Bagaimanapun masalah paling utama dalam industri ternakan adalah harga makanan yang semakin meningkat," katanya yang menjual seekor lembu pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut berat.

Selain menjual daging dan haiwan hidup, beliau juga menjual kulit lembu kepada peraih dari Thailand yang mengambilnya mengikut timbangan berat.

No comments: