April 10, 2009

Bulan Tanaman dekatkan rakyat dengan pertanian

Selepas bulan Februari diumumkan sebagai Bulan Perikanan, Mac sebagai Bulan Ternakan dan kini bulan April pula dikenali sebagai Bulan Tanaman.

Inisiatif bulan mengikut sektor pertanian diadakan hasil cetusan idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Fokus bulan yang dilakukan merupakan pendekatan Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan dengan lebih fokus dan tersusun mengikut sub sektor pertanian seperti tanaman, perikanan dan ternakan.

Pengarah Pengembangan, Perundingan Pelaburan dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Datuk Safie Baharom berkata, bulan yang dilaksanakan mengikut sub sektor adalah untuk memberikan tumpuan kepada golongan sasar.

Ini termasuk petani, penternak dan nelayan serta mereka yang berminat dalam sektor pertanian untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan, sesi aduan pelanggan dan dialog.

Selain itu pengunjung juga berpeluang melawat tapak pameran serta membeli produk pertanian segar.

''Konsep Bulan Tanaman juga menyaksikan pegawai lebih kerap turun padang seperti dinyatakan oleh Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani).

Semasa program Bulan Tanaman, Jabatan Pertanian bertindak sebagai ketua agensi di bawah kerjasama MoA Inc.

Ia melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Agensi-agensi lain ialah seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agro Bank.

"Semua agensi akan bersama-sama membantu golongan petani dan mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang tanaman dengan memberikan khidmat nasihat teknikal, pengetahuan dan keperluan mereka," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Safie berkata, matlamat sebenar Bulan Tanaman adalah mewujudkan hubungan erat antara pegawai Jabatan Pertanian dan agensi MoA Inc dengan golongan sasar.

Ini membolehkan mereka mengetahui maklumat, program dan aktiviti yang ditawarkan dalam membangunkan sektor pertanian dan industri asas tani.

"Selain itu pegawai-pegawai juga dapat mengetahui keperluan golongan sasar melalui aduan dan dialog supaya sistem penyampaian dapat ditingkatkan dan memberi impak lebih cepat dan berkesan bagi menangani isu berkaitan tanaman," katanya.

Dengan adanya Bulan Tanaman, ia dapat memberi peluang kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti pertanian untuk mengetahui potensi sebenar tanaman untuk diusahakan secara komersial seperti Amalan Pertanian Baik (APB), fertigasi dan tanaman semula jadi.

Jabatan Pertanian juga ingin menyampaikan dan memberikan maklumat berkenaan pembangunan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Pembangunan Tanah Terbiar, Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian (ACDA) dan Agro pelancongan.

Bulan Tanaman yang bermula pada 3 April akan berakhir 8 Mei akan datang dengan pelbagai aktiviti dari peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat.

Aktiviti utama iaitu Hari Bertemu Pelanggan merangkumi aduan dan dialog pelanggan, program insentif tanaman, penerangan pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) selain pameran dan jualan produk tanaman dan industri asas tani.

Safie berkata, Bulan Tanaman peringkat kebangsaan akan dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 12 April di Sungai Dua Tasik Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung sekitar Lembah Kelang, ibu pejabat Jabatan Pertanian Putrajaya juga mengadakan pelbagai program seperti Seminar Pelaburan, dialog , talk show, khidmat pakar runding dan pameran.

Menyentuh mengenai impak Bulan Tanaman dalam membangunkan sektor pertanian, Safie berkata, ia memberikan satu pendekatan yang fokus kepada aktiviti tanaman bagi menghubungkan pegawai agensi dengan golongan sasar.

"Ini bagi memastikan golongan sasar dapat meningkatkan pengeluaran bekalan negara serta pendapatan petani.

"Dengan penyampaian maklumat berkaitan tanaman serta maklum balas pelanggan diharap dapat mengerakkan sektor pertanian ke tahap yang lebih baik," katanya.

Safie berharap, Bulan Tanaman yang dilaksanakan dapat memberikan kesan lebih fokus dalam membangunkan sektor tanaman di mana pegawai dan golongan sasar berganding bahu menjayakan pembangunan sektor pertanian.

No comments: