May 15, 2009

Herba untuk masalah obesiti

Peneraju dan pengasas penggunaan sains moden dalam pembangunan produk herba, Himalaya Herbal Healthcare melancarkan inisiatif kesedaran kesihatan masyarakat.

Inisiatif Kempen Kesedaran Kesihatan Ayurslim bertujuan membantu menangani masalah kesihatan yang mengancam kebanyakan masyarakat seperti obesiti dan lebih berat badan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika ini berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Perkara yang sama berlaku di negara ini berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan.

Dalam tempoh tujuh tahun lalu, bilangan obesiti di negara ini meningkat dari 20 ke 39 peratus dan satu daripada setiap lima orang dewasa ditakrif sebagai obes dengan 7.9 peratus wanita manakala 4.7 peratus lelaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Embun Elit Sdn. Bhd., Pengedar Himalaya Herbal Healthcare, Marcel Gan berkata, obesiti telah mencapai tiga kali ganda dan jika tidak ditangani, ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain pula.

"Kami akan mengedarkan sebotol sampel Himalaya AyurSlim iaitu formula tradisional herba ayurvedic yang bertujuan membantu mengurangkan masalah berat badan pengguna," katanya.

AyurSlim terdiri daripada kandungan herbal mengandungi lima bahan aktif untuk membantu mengurangkan masalah berat badan iaitu Garcinia Cambogia, Commiphora Wightii, Gymnema Sylvestre, Terminalia Chebula dan Trigonella Foenum-Graecum.

Marcel berkata untuk mendapatkan berat badan ideal, mereka juga perlu mengubah gaya hidup.

"Kempen Himalaya Ayurslim menyediakan maklumat kesihatan yang ringkas dan padat bagi memberikan kesan optimum," katanya.

Marcel menambah, setiap individu perlu merenung kembali gaya hidup dan paras kesihatan masing-masing.

Gaya hidup dunia masa kini menjadikan manusia semakin sukar untuk hidup sihat.

"Kami berharap kempen ini akan memberikan sinar baru bagi mereka yang obes, berat badan berlebihan atau bentuk badan tidak sesuai untuk mula berubah ke arah lebih sihat," katanya.

Kempen Kesedaran Kesihatan AyurSlim telah mula disiarkan di media cetak, elektronik, pameran perdagangan dan promosi.

Kempen berkenaan bermula di Pulau Pinang pada Januari lalu diikuti Sabah, Melaka dan Johor.

Ayurslim boleh didapati pada harga runcit RM44.90 sebotol 60 kapsul.

Bagi maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Himalaya customer care line di 03-79567012 atau layari www.himalayahealthcare.com

May 8, 2009

Generasi Felda sebati dengan Skill-Tech

Pengalaman selama 12 tahun dalam industri latihan kemahiran menjadikan Institut Skill-Tech bukanlah asing bagi warga Felda.

Sebelum wujudnya pelbagai tabung dan dana latihan kemahiran, Skill-Tech telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah rancangan Felda dalam usaha menggalakkan generasi Felda menimba kemahiran sebagai penyambung warisan Felda.

Menurut Pengerusi Eksekutif, Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, pelbagai pengalaman pahit manis pernah dirasai sepanjang tempoh tersebut dan generasi Felda amat sinonim dengan beliau.

Pernah suatu ketika dulu hampir 80 peratus pelatih generasi Felda menjadi pelatih Skill-Tech dengan kapasiti 2,000 orang serentak.

''Ketika itu kami pula berdepan dengan pelbagai masalah yang melibatkan dana Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang memaksa saya meneruskan latihan pelatih tanpa bayaran kenaikan tahap.

" Saya menyedari bahawa kemahiran satu-satunya penyelesaian generasi Felda untuk menuju masa depan yang baik,'' katanya.

Demi keprihatinan itu, Nordin juga pernah membuat tindakan nekad berkumpul beramai-ramai dan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 2004.

Atas simpati Perdana Menteri yang kebetulan memang mahu memberikan latihan kemahiran kepada generasi Felda, beliau mengumumkan peruntukan pertama berjumlah RM25 juta bermula tahun 2005.

Skill-Tech adalah antara penerima awal. Namun peruntukan itu tidak disediakan lagi mulai tahun lepas.

Pun begitu, tuah generasi Felda tetap ada apabila Skim Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera diwujudkan tahun lalu yang membolehkan generasi Felda mengikuti latihan pertanian dan industri asas tani di Skill-Tech.

''Walaupun Felda tidak menyediakan lagi peruntukan kepada kami, skim tersebut memberi peluang yang lebih baik kerana setiap pelatih dapat mengikuti latihan tahap 1 dan 2 serentak dengan pembiayaan percuma kerajaan,'' katanya.

Pada masa ini sambutan generasi Felda amat menggalakkan. Beberapa pelatih yang ditemui menyatakan kegembiraan kerana dapat mengikuti bidang pertanian yang telah menjadi darah daging mereka.

Bagi Mohd. Azim Mohd. Taib dari Felda Jelai, Gemas, beliau mengakui Skill-Tech telah berjaya memberikan pendedahan dan menyerapkan minat yang mendalam terhadap bidang pertanian terutama penternakan ikan air tawar.

"Walaupun persekitaran tanah rancangan adalah bercirikan pertanian, kaedah dan teknik sebenar hanya diperolehi ketika di Skill-Tech.

''Sebenarnya banyak potensi tanah rancangan yang boleh dikembangkan sebagai sumber pertanian tetapi kesedaran usaha tersebut tidak begitu mendalam sehinggalah kami berada di Skill-Tech,'' katanya.

Malah beliau sanggup berhijrah ke kawasan lain jika Skill-Tech menyediakan kawasan ternakan ikan di bawah skim inkubator selepas tamat latihan.

Bagi pelatih akuakultur SKM 1 dan 2, Norsuhada Husaini dari Felda Triang 3, Pahang pula menanam keazaman untuk meneruskan tapak kolam ternakan ikan yang pernah diusahakan keluarganya di Felda Triang 3.

Namun bekas kolam berkenaan terbiar kerana bapanya sudah tidak berupaya mengusahakannya lagi disebabkan faktor usia.

''Walaupun menyedari saya terpaksa mengusahakan semula dengan pelbagai cabaran baru, saya tetap mencuba supaya minat dan kemahiran saya akan dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan saya dan keluarga", katanya dengan yakin.

Kedua-dua pelatih tersebut menyeru supaya lebih ramai generasi Felda merebut peluang latihan yang disediakan Skill-Tech kerana kemahiran mereka bukan sahaja dapat membangunkan tanah rancangan tetapi juga menjadi sumber pendapatan baru kepada generasi baru.

Mereka juga yakin, walaupun Felda tidak membiayai latihan mereka tetapi pengurusan Felda dijangka akan bekerjasama menyediakan peluang niaga terutama dalam bentuk pinjaman pembiayaan mudah.

Difahamkan hampir 30 peratus pelatih Skill-Tech kini adalah generasi Felda. Sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus di Skill-Tech boleh menghubungi 06-5531416/18.

Keistimewaan tanaman tebu

Artikel NORZAINURA ABDUL MAJID

RAMAI petani masa kini, tidak berminat untuk menanam tebu dan beralih kepada tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.

Tanpa mereka sedari sebenarnya tebu lebih mudah untuk ditanam dan boleh mendatangkan hasil lumayan yang berterusan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura yang meningkat pada setiap tahun.

Bermula tahun 2004 dengan nilai eksport RM3.04 juta, ia berkembang hingga mencecah angka RM5.8 juta pada tahun 2007. Untuk tiga bulan pertama tahun tahun lalu sahaja, nilai eksport tebu ke negara jiran itu telah mencecah RM1.5 juta.

Justeru, bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di Batu Pahat, Johor.

Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar - Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat dengan kos RM4.5 juta dan telah beroperasi sejak awal tahun ini yang mana Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengeksport.

Kompleks pertama

Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada penanam-penanam tebu dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ia menguruskan pengendalian tebu segar untuk tujuan eksport atau pasaran tempatan, pemprosesan tebu segar, pembungkusan dan penggredan.

Secara tidak langsung, kehadiran kompleks itu memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani-petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran tebu negara.

Penubuhan kompleks itu juga bermatlamat untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya FAMA bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.

Selain itu, kompleks yang terletak di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bertujuan untuk menerapkan teknologi moden dan kendalian lepas tuai tebu segar selaras dengan keperluan semasa .

Ia juga memudahkan pihak berkuasa memberi pengiktirafan sijil Euregap, piawaian AVA Singapura dan lain-lain pengiktirafan.

Kompleks berkenaan dijangka dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan pertanian sebagai pendapatan negara dan menjadi pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.

Penubuhan kompleks berkenaan juga dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemprosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang mana Singapura adalah pasaran tradisi tebu Malaysia.

Pembinaan kompleks tersebut juga mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Abd. Rahman Mohd. Nor berkata, FAMA telah memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk tebu ini buat julung kalinya dengan melibatkan kira-kira 60 petani dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport tebu Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. telah diadakan tahun lalu.

Kompleks itu, katanya, membolehkan FAMA mendapat bekalan berkualiti secara berterusan untuk pembekalan kepada pelanggan, manakala petani mendapat jaminan pasaran sementara pengguna mendapat produk berkualiti.

Sekali gus, katanya, FAMA dan pengeluar bersetuju mampu mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui bersama mengikut peraturan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).

Tambahnya di daerah Muar kawasan tanaman tebu adalah 173 hektar ,manakala di daerah Batu Pahat ialah 22.6 hektar. Ia terletak antara lima hingga 18 kilometer dari pusat pengumpulan tebu dan terdapat tujuh pengeksport tebu ke Singapura bagi daerah Muar dan Batu Pahat.

Pengurus Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., Yumi Chee berkata, setiap hari sebanyak 10 tan tebu diperlukan untuk dieksport ke Singapura dan ia akan bertambah pada hari cuti umum atau perayaan iaitu peningkatan hingga 20 tan sehari.

Menurut Yumi, pihaknya juga sedang berusaha untuk memasuki pasaran Asia Barat dan perbincangan mengenainya telah pun diadakan.

Bagaimanapun, katanya, 30 tan tebu diperlukan setiap hari untuk di eksport ke Asia Barat tetapi bekalan tebu pada masa ini tidak mencukupi memandangkan para petani kurang berminat untuk menanam tebu.

Buat masa ini katanya, bekalan yang ada hanya cukup untuk di eksport ke Singapura dan yakin hasrat untuk eksport ke Asia Barat akan berjaya sekiranya para petani dapat membantu dengan menanam tebu secara komersial.

Menurut Abd. Rahman, FAMA sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh agensi itu.

Setakat ini katanya, beberapa kursus mengenai tebu telah dibuat dan sambutan amat menggalakkan, tetapi kebanyakannya daripada golongan petani yang telah berusia. Untuk itu FAMA kini sedang berusaha untuk menarik golongan belia menyertai pertanian secara aktif.

Tambahnya lagi modal yang diperlukan untuk memulakan penanaman tebu secara komersial ialah RM20,000 untuk satu ekar dan penjagaannya tidak cerewet serta mudah untuk diuruskan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyeru agar para petani di sekitar DUN Semerah mengambil peluang yang ada dengan menanam tebu kerana pusat pengumpulan tebu yang di bina di Semerah ini merupakan yang pertama di Malaysia dan bekalan sentiasa diperlukan setiap hari.

Ariss yang melawat pusat pengumpulan tebu itu bersama para pegawai FAMA baru-baru ini melahirkan rasa teruja dengan adanya pusat pengumpulan tebu itu yang pastinya dapat menaikkan nama Batu Pahat.

Memang berbaloi ternak lembu

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Melihat sendiri bagaimana seorang penternak memanggil ternakan lembunya dengan 'bahasa' tersendiri, memang sesuatu yang mengasyikkan bagi mereka yang belum pernah berpengalaman menyaksikannya.

Tapi itulah yang boleh disaksikan semasa menemubual seorang penternak yang mempunyai hampir 200 ekor lembu di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Baginya, lembu pertama yang dibelinya dan diberikan nama Atan amat istimewa dan terus dipelihara sehingga ke hari ini.

Bagi penternak terbabit , bekerja keras dan bersemangat untuk memajukan diri adalah kunci baginya mencapai kejayaan.

Bermula dengan bekerja di bahagian penyelenggaraan di Hospital Jerantut, Pahang, lebih kurang 10 tahun lalu, Muhammad Rohaimi Amiruddin, 29, kini mempelbagaikan usahanya termasuk dalam industri ternakan.

'Karier' awalnya bermula sebagai kontraktor Kelas F semasa berkhidmat di Hospital Jerantut, yang mula membuka pintu rezekinya meskipun tiga tahun dilalui tanpa sebarang projek.

Tanpa mengenal putus asa, dalam tempoh tiga tahun itu, Muhammad Rohaimi tetap dengan tugasnya di Hospital Jerantut sehinggalah dia memperoleh projeknya yang pertama.

Hasil pendapatan daripada projek berkenaan dilaburkan dengan membeli 10 ekor lembu atas nasihat rakan-rakannya.

"Pada mulanya saya membeli baka lembu dan dilepaskan di kebun ayah saya," katanya semasa ditemui di ladang sawit Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Apabila mendapat kontrak demi kontrak dan syarikat tempatnya bekerja menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Rohaimi menerimanya. Setelah itu, bermulanya kehidupannya sebagai seorang penternak lembu dan kontraktor Kelas F.

Melabur

Hasil daripada pelbagai jenis projek yang diterima, Muhammad Rohaimi laburkan dengan membeli lembu bagi menambah bilangan ternakannya.

Selepas mendapat kontrak membersihkan ladang sawit LKPP seluas 4,000 ekar bersama-sama dengan dua rakan lain, Rohaimi mula membeli lebih banyak lembu untuk diletakkan di ladang berkenaan.

"Sebelum itu, dengan hanya beberapa ekor lembu saya letakkannya di sana, tetapi apabila saya mula menambah bilangan lembu kepada lebih 50 ekor, saya meminta kebenaran untuk menyewa tanah ladang bagi melepaskan semua ternakan tersebut," katanya.

Menternak lembu di kawasan ladang sawit, kata Rohaimi, amat menjimatkan kerana lembu yang dipelihara mudah mendapat makanan dan ladang juga bersih.

Najis lembu

Pada masa sama, najis lembu juga boleh digunakan untuk menyuburkan tanah di ladang kelapa sawit berkenaan.

Usahanya tidak diteruskan dengan menambah bilangan lembu dengan membeli pelbagai jenis lembu seperti Brahman, LID, Charolais, Kedah-Kelantan (KK) dan Draughtmaster daripada rakan-rakan dan penduduk sekitar daerah Jerantut.

Menyentuh mengenai kos menternak lembu secara integrasi, Rohaimi berkata, kosnya amat rendah kerana hanya perlu membeli air gula, ubat-ubatan dan garam.

Bagaimanapun, dia u perlu membeli tiga set pagar elektrik bagi mengelakkan ternakan tersebut merayau keluar ke kebun penduduk kampung.

"Satu set pagar elektrik bagi kawasan 10 ekar lengkap dengan bateri berharga sekitar RM2,000," katanya.

Sehingga kini ladang berkenaan menjadi tempat tinggal lebih 400 ekor lembu daripada tiga individu yang berlainan.

"Di sini kami sama-sama menjaga ternakan secara gotong-royong kerana kami mengenali lembu masing-masing.

"Setiap hari pekerja akan meninjau keadaan lembu dan mengenalpasti masalah seperti penyakit dan masalah lain," katanya yang mempunyai enam orang pekerja untuk tugas-tugas membersihkan ladang.

Setiap petang beliau yang mempunyai hampir 200 ekor lembu akan pergi meninjau keadaan lembunya sambil membawa bancuhan air gula merah.

Menyentuh mengenai pasaran, Rohaimi berkata setakat ini pasaran lembu amat menggalakkan terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Bagaimanapun Rohaimi biasanya akan membeli lembu-lembu lagi bagi menggantikan lembu yang telah dijual.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, anak muda yang penuh wawasan ini merancang untuk menambahkan lagi bilangan lembu-lembunya.

"Apabila saya menjual lembu, saya akan membeli lagi untuk menambah bilangan ternakan saya," katanya dengan penuh semangat.

Biri-biri pelengkap kambing

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Ternakan biri-biri boleh dikatakan masih baru kerana tidak terdapat penternak yang mengusahakannya secara komersial berbanding kambing.

Justeru, kerajaan telah memberikan keutamaan untuk mempertingkatkan industri daging kambing dan biri-biri untuk mengurangkan pergantungan kepada daging import.

Pada tahun 2005, bekalan daging kambing dan biri-biri import di pasaran tempatan melebihi 15,000 tan metrik atau 92.6 peratus daripada bekalan keseluruhan.

Populasi biri-biri tempatan dianggarkan berjumlah 115,500 ekor dan jumlah ini akan mempengaruhi pembangunan industri biri-biri negara.

Industri biri-biri boleh dikatakan masih di peringkat 'bayi' walaupun ternakan biri-biri sudah lama bertapak di sini.

Selama ini ternakan biri-biri dijalankan secara tradisional.

Walaupun baka seperti Dorset, Wiltshire horn, Suffolk dan biri-biri rerambut seperti Bali-Bali, Barbados Black Belly dan St. Ines dibawa masuk sejak 20 tahun lalu bagi meningkat prestasi biri-biri tempatan atau Malin tetapi baka yang dibentuk tidak pernah stabil.

Antara penyebab kelembapan industri biri-biri di negara ini adalah kekurangan baka berkualiti dan subur.

Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, biri-biri Dorper yang berasal dari Afrika Selatan merupakan baka baru yang berpotensi diternak di negara ini.

"MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak tahun 2006 bagi penilaian sebagai baka pejantan (terminal meat sire breed) untuk dikacukkan dengan biri-biri betina tempatan.

"Biri-biri Dorper yang dibawa masuk ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan, Pahang," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor.

Kali kedua pada Julai tahun lalu, MARDI membawa masuk 220 ekor baka Dorper tulen dari Afrika Selatan.

Sebanyak 200 ekor betina dan 20 ekor jantan dibawa masuk bagi meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan MARDI untuk mengkaji kesesuaian baka dalam iklim dan persekitaran tempatan bertujuan penggandaan baka tulen dan kacukan dengan biri-biri tempatan.

Hasil kajian awal mendapati 150 ekor anak dilahirkan daripada baka pejantan Dorper yang dihasilkan di Sungai Baging telah menunjukkan pertambahan kadar tumbesaran lebih 30 peratus jika dibandingkan dengan anak biri-biri dari baka kacukan lain.

Dr. Mohmad berkata, sehingga kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mula menternak biri-biri Dorper di beberapa buah ladang di Johor.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, baka biri-biri Dorper adalah setanding dengan kambing Boer.

''Jika kambing Boer sesuai dengan pelbagai jenis cuaca, biri-biri Dorper mempunyai ciri-ciri yang sama.

"Maklumat mendapati sejumlah lima juta biri-biri Dorper diternak di Afrika Selatan dan banyak negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah telah mengimport baka tersebut untuk dibiakkan di tempat mereka," katanya.

Dr. Mohmad menjelaskan, negara mengimport banyak daging biri-biri berbanding kambing. Ini kerana orang ramai tidak tahu membezakan antara daging kambing dan biri-biri.

Beza

"Daging kambing dikenali sebagai adalah chevon, manakala biri-biri adalah mutton dan biri-biri muda berusia empat bulan adalah lamb," jelas beliau.

Beza antara chevon dan mutton adalah kandungan kolestrolnya.

Walaupun kandungan kolestrol dalam biri-biri lebih tinggi berbanding kambing tetapi kajian menunjukkan mutton mengandungi lebih banyak kolestrol berbanding lamb.

Dr. Mohmad berkata, biasanya berat badan biri-biri Dorper antara 30 hingga 40 kilogram (kg) ketika berumur enam hingga lapan bulan belum mengumpulkan lemak yang tinggi berbanding biri-biri import.

Baka biri-biri Dorper dibawa masuk bagi memenuhi keperluan penternak di Pantai Timur.

Baka tempatan bermutu rendah dengan dewasa hanya mencapai berat badan 20 hingga 25 kg dalam masa dua tahun.

Manakala baka Dorper tulen pula boleh mencapai berat 30 hingga 35 kg hanya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

"Kambing Boer dengan pengurusan yang teratur dan makanan berkualiti boleh mencapai berat badan antara 25 hingga 30 kg dalam masa tiga atau empat bulan," katanya..

Seperti kambing Boer, biri-biri Dorper jenis rerambut dipilih kerana tidak menghadapi masalah ketegasan dan sesuai dengan keadaan lembap di negara ini.

Pengenalan baka biri-biri Dorper, kata Dr. Mohmad amat diperlukan memandangkan industri ternakan telah memberi sumbangan besar dalam pengeluaran makanan negara dengan jumlah RM5.729 billion.

Industri penternakan bukan ruminan seperti unggas telah menyumbang 94 peratus atau RM5.4 billion sementara sektor ruminan hanya enam peratus atau RM0.329 billion.

"Keperluan daging ruminan akan terus meningkat tahun demi tahun dan pergantungan kepada import perlu dikurangkan," katanya.

Justeru agensi kerajaan dan swasta perlu berganding bahu dalam mewujudkan satu sistem pengeluaran yang produktif dan berdaya maju bagi meningkatkan bekalan tempatan dalam masa terdekat.

Industri ternakan ruminan perlu diteruskan dengan penumpuan kepada meningkatkan populasi pembiak.

Industri berkenaan perlu berkembang secara lebih agresif, sistematik serta moden dengan sekala komersial.

Pengenalan Baka Dorper

Baka Dorper berasal dari Afrika Selatan telah dibangunkan dalam tahun 1900 hasil gabungan baka biri-biri Parsi dan Dorset.

Ketika ini Dorper adalah baka biri-biri pedaging terulung di dunia.

Di Afrika Selatan terdapat lebih lima juta ekor baka Dorper.


Baka ini dipilih kerana dijangka berupaya menyesuaikan diri dengan iklim tempatan, kadar kenaikan berat badan tinggi, kadar kembar tinggi, pengeluaran susu yang banyak serta karkas berkualiti (nisbah daging kepada tulang yang tinggi).

Baka ini mudah dipelihara dan tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai

Ia dapat menggunakan makanan (pastura dan dedak secara optimum) dengan kadar kematian rendah dan imun terhadap penyakit dengan kadar kesuburan tinggi dan banyak anak dapat dipasarkan

Baka yang menarik dan popular dari jenis pedaging dengan kesuburan yang tinggi dan berupaya untuk musim pembiakan yang panjang sepanjang tahun

Baka ini sangat subur dengan kadar bunting yang tinggi dan pejantan boleh dikahwinkan dengan lebih 30 induk betina dalam masa 40 hingga 60 hari.

Kadar kelahiran boleh dijadualkan setiap lapan bulan (tiga kelahiran dalam masa dua tahun) dengan kadar kembar yang tinggi. Dengan pengurusan yang baik kadar kelahiran lebih 150 peratus dapat dihasilkan

Induk betina mempunyai ciri keibuan yang baik dan dengan penghasilan susu yang tinggi dapat memelihara anak dengan baik sehingga cerai susu dengan peratus cerai susu yang tinggi

Kadar kenaikan badan yang tinggi. Dengan pemakanan yang baik anak baka tulen Dorper boleh mencapai berat badan 30 hingga 35 kilogram (kg) dalam masa tiga hingga empat bulan

Mempunyai kualiti karkas yang baik dengan pertumbuhan lemak dalam daging yang serata menjadikan karkas mencapai Gred Super di pasaran

Walaupun baka Dorper pada asalnya dibangunkan untuk dipelihara di kawasan panas dan kering di Afrika Selatan namun ia didapati sesuai dipelihara di pelbagai iklim dengan pemakanan yang pelbagai di dalam beberapa sistem pemeliharaan sama ada sistem intensif, semi-intensif atau bebas baik dalam kawasan padang pasir, tropika atau lembap.

Pada masa ini terdapat 220 ekor Dorper tulen di negara ini dan MARDI sedang meningkatkan mutu baka sedia ada di Stesen MARDI, Kluang.


Di stesen MARDI Sungai Baging peningkatan genetik baka Dorper telah dilaksanakan melalui natural mating dan kaedah permanian beradas. Dijangka industri Dorper akan berkembang memandangkan bilangan import daging terus meningkat.

May 1, 2009

Insken bimbing usahawan tani Skill-Tech

Kejayaan kerajaan mengubah persepsi masyarakat terhadap kerjaya bidang pertanian, telah mengubah paradigma petani, bukan hanya sebagai kerjaya biasa tetapi melonjakkannya sebagai usahawan.

Malah, kita berbangga kerana ramai usahawan tani yang telah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam Skim Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera, Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan kerajaan antara lainnya adalah memastikan sebahagian pelatih menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.

Bagi mencapai KPI ini, Institut Keusahawanan Negara (Insken) memainkan peranan utama membimbing pelatih Institut Skill-Tech menjadi usahawan tani sebaik sahaja tamat latihan.

Menurut Pengarah Insken, Kamariah Yeop Abdullah, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan memantau skim berkenaan sejak diwujudkan pada tahun lalu.

Antara lain, Insken telah mensasarkan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus pelatih Tahap 1 dan 2 akan memulakan perniagaan sebaik sahaja tamat latihan.

Bakinya akan menceburi perniagaan selepas tamat kursus lanjutan peringkat Diploma Kemahiran Malaysia.

''Bagi mencapai KPI tersebut, kami membantu Skill-Tech membimbing pelatih menggunakan modul yang disediakan Insken termasuk melatih tenaga pengajar mereka dalam pengurusan subjek Keusahawanan,'' katanya.

Berdasarkan pemantauan dan penyeliaan Insken , kami dapati Skill-Tech telah berjaya menanam minat yang mendalam pelatih terhadap pertanian secara komersial.

Maka tugas Insken adalah untuk memastikan pelatih ini dibimbing dengan asas pengurusan perniagaan.

Latihan Industri (LI) pula mengukuhkan lagi minat dan kefahaman mereka terhadap perniagaan pertanian dan industri asas tani.

''Pendekatan skill-Tech yang menekankan kemahiran LI dan jalinan kerjasama dengan banyak syarikat-syarikat berkaitan, memudahkan lagi proses pembentukan usahawan di kalangan pelatih,'' ujar beliau.

Selain menjadikan keusahawanan dan jatidiri sebagai latihan wajib pelatih Skill-Tech, Sijil Keusahawanan Insken telah dijadikan syarat wajib untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan seperti Mara dan Tekun.

''Oleh itu, mereka tidak perlu lagi untuk mengikuti kursus Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) yang menjadi syarat Mara dan Tekun kepada bakal peminjam. Sebaliknya mereka layak memohon secara automatik selepas tamat latihan,'' tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, pihaknya bukan sahaja menggalakkan semua pelatih menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan, malah menasihatkan mereka yang berhasrat untuk bekerja supaya menjadikannya sebagai pilihan terakhir.

Bagi mencapai visi dan KPI yang ditetapkan Insken, Institut Skill-Tech memastikan semua pelatih sentiasa diterapkan dengan konsep TEA yang menjadi teras Skill-Tech.

Konsep TEA bermaksud setiap pelatih perlu mempunyai tiga kemahiran iaitu kemahiran teknikal (Technical Skill), Keusahawanan (Entreprenuership) dan Kemahiran menghadapi cabaran (Adversity Quotient).

''Kajian dan pengalaman kami menunjukkan bahawa tanpa keupayaan TEA, pelatih kami tidak akan menjadi usahawan seperti diharapkan,'' kata Nordin.

Jelas Nordin lagi, LI kedua akan menumpukan sepenuhnya persediaan perniagaan. Pelatih-pelatih yang sudah bersedia untuk membuka perniagaan akan memulakannya ketika LI kedua.

Pada masa ini juga, Skill-Tech sedang bekerjasama dengan Mara dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mewujudkan inkubator usahawan tani ala Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), milik MOA Inc.

Gembleng potensi graduan ceburi pertanian

KETABAHAN, kecekalan dan semangat ingin maju merupakan senjata utama untuk bergelar usahawan tani berkualiti. Justeru, wujud pelbagai cabaran dalam melahirkan graduan usahawan tani yang mampu mengikis tanggapan buruk masyarakat kononnya graduan tidak sesuai menceburi bidang tersebut.

Ia menjadi cabaran bagi Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) supaya graduan menceburi pertanian dipandang positif oleh masyarakat.

Dengan melibatkan diri dalam pertanian secara sepenuh masa secara komersial, setiap graduan yang berdaftar akan dibantu dalam segala hal agar mereka mampu berdikari dan seterusnya menjadi idola kepada rakan-rakan graduan yang lain.

Presiden PUGM, Muzamir Mustafa berkata, kesemua graduan yang menyertai PUGM adalah mereka yang sememangnya meminati bidang pertanian tetapi tidak mempunyai modal untuk meneruskan minat mereka.

Dengan menyertai PUGM, Muzamir menambah, mereka dibiayai oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Mara dan Agro Bank yang mengiktiraf modul program PUGM dengan pinjaman permulaan RM50,000 bagi seorang peserta di bawah projek perintis usahawan tani Kementerian Belia dan Sukan.

Setiap graduan yang mendaftar sebagai ahli katanya, akan diberi kursus sebelum mereka boleh memulakan projek pertanian dan sementara menunggu pinjaman diluluskan dalam tempoh dua bulan, mereka akan ditempatkan di tapak projek PUGM di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

''Mereka akan diberi pendedahan tentang teknik tanaman secara moden selain penjagaan dan bagaimana mahu menjadikan pertanian sebagai perniagaan kerana pertanian mampu mendatangkan hasil lumayan,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, selama dua bulan itu mereka akan diberi elaun RM500 seorang dan apabila pinjaman mereka diluluskan, mereka akan diberi tapak bersaiz 120 x 140 kaki siap dengan rumah lindungan hujan untuk memulakan projek pertanian moden mereka.

Buat masa ini Muzamir berkata, PUGM mempunyai tanaman buah naga dan rock melon di tapak berkeluasan 20 hektar di PPMK yang telah membuahkan hasil sejak diusahakan dua tahun lalu.

Setakat ini juga katanya, PUGM telah lahirkan lebih 10 graduan usahawan tani yang berjaya dan boleh dicontohi di seluruh Malaysia.

Bagi graduan yang telah berjaya katanya, pihak MARA dan Agro Bank tidak akan teragak-agak untuk memberi pembiayaan berterusan sekiranya rekod pembiayaan terdahulu mencatat pembayaran balik yang bagus.

''Mereka boleh mendapat pembiayaan sehingga RM300,000 sekiranya rekod bagus dan berpotensi untuk berkembang maju," jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Muzamir lagi, setakat ini terdapat 500 ahli PUGM di seluruh Malaysia yang melibatkan diri dalam bidang penternakan dan tanaman pelbagai hasil pertanian secara moden.

Muzamir yang juga Pengerusi PPMK mempunyai wawasan tersendiri untuk PUGM yang mana tapak seluas 0.2 hektar di tapak projek PUGM itu akan dibina sebuah chalet yang boleh memuatkan 50 peserta kursus pada sesuatu masa..

Tambahnya, ia akan dijadikan tempat kuliah, agro pelancongan serta kursus di ladang dan juga dijadikan tempat pengumpulan hasil ladang yang mana kesemua hasil ladang PUGM akan diselenggarakan oleh PUGM Holding Sdn. Bhd. bagi mengelak penggunaan orang tengah.

Buat masa ini katanya, hasil pertanian PUGM di hantar ke pasaran tempatan dan luar negara seperti ke Singapura.

Terkini tambah beliau, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat telah melawat ladang PUGM bagi mencari ruang dan peluang untuk sama-sama menimba ilmu bagi membangunkan wanita terutama ibu tunggal dalam bidang pertanian.

''PUGM bersedia untuk memberi khidmat sebagai mentor kepada ibu tunggal dan warga miskin dalam projek yang dijangka akan diusahakan tidak lama lagi iaitu penanaman cili secara fertigasi dan rock melon," ujarnya.

Tambahnya, rock melon dan cili dipilih kerana masa untuk memungut hasil singkat dan pulangannya lumayan.