February 6, 2009

Tanam bendi bantu sara keluarga

MELIBATKAN diri dalam kerja-kerja pertanian bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan seseorang untuk menghadapi cabarannya.

Namun, tidak semua individu di muka bumi ini dibekalkan dengan kesungguhan untuk terus berbakti kepada tanah walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Sesetengah golongan petani mungkin mempunyai alasan atau matlamat mereka sendiri dalam bidang pertanian yang secara tidak langsung menjadikan mereka kuat untuk terus melaksanakan tugas berkenaan.

Bagi Abu Mansor Hashim, 43, selain minat, penglibatan beliau dalam dunia pertanian juga sebenarnya dijadikan sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Pada peringkat awal, beliau memulakan langkahnya dengan mencuba menanam beberapa jenis sayur-sayuran seperti cili, bendi, keladi, timun dan terung secara kecil-kecilan selain mengambil upah mengerjakan sawah.

Setelah lebih sepuluh tahun menjalankan kerja tersebut, pada tahun 2006 beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penanaman bendi secara lebih serius.

Bermodalkan pinjaman yang diterima daripada AgroBank sebanyak RM30,000, beliau memulakan projek tanaman bendi di tanah seluas empat ekar di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor dengan kos menyewa sebanyak RM600 setahun.

Modal dari bank tersebut diperolehi menerusi Dana 3F iaitu Tabung Untuk Makanan dengan tempoh pinjaman selama lima tahun.

Dana berkenaan merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak AgroBank untuk menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan tawaran had pinjaman bermula RM10,000 hingga RM10 juta menerusi tempoh pinjaman maksimum 10 tahun.

Antara projek yang layak untuk memohon pinjaman tersebut adalah yang melibatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran makanan untuk tanaman, ternakan serta perikanan.

Menurut Abu Mansor, sebelum memulakan projek tanamannya, beliau ada mengambil kira beberapa faktor penanaman dan juga risiko yang perlu ditanggung.

"Saya ada membuat serba sedikit pemantauan terhadap harga pasaran bendi untuk melihat sejauh mana sambutan pengguna terhadap sayur ini.

"Dari segi teknikal pula, saya menjalankan pemeriksaan tahap kesuburan tanah di kawasan tanaman ini untuk memastikan ia subur dan sesuai untuk projek tanaman bendi,'' katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Bercerita mengenai projek tanamannya, beliau memberitahu, pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula.

Untuk memastikan pokok tersebut membiak dengan baik, proses pembajaan dijalankan setiap hari selain penyemburan racun dilakukan tiga hari sekali bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Dari segi percambahan, beliau berkata, pokok bendi mempunyai peratus pertumbuhan yang tinggi dan kadar kematiannya pula adalah rendah.

Namun, pemantauan perlu dijalankan setiap hari bagi memastikan pokok-pokok tersebut bebas dari penyakit.

Antara jenis masalah yang sering menyerang pokok bendi adalah seperti serangan serangga bena hijau yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti kerosakan pada daun, pucuk menjadi kuning dan tidak bertindak balas terhadap baja.

Setakat ini beliau mempunyai seramai lima orang pekerja untuk membantunya menjalankan kerja-kerja meracun dan juga membaja selain memetik hasil ketika tiba musim menuai.

"Kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang.

"Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar,'' kata ayah kepada empat orang anak itu.

Untuk sekali proses menuai hasil, ladangnya berjaya menghasilkan sehingga 700 kilogram bendi sehari.

Hasil tersebut akan dijualkan terus kepada pemborong dan peniaga dari Pasar Selayang yang akan datang ke ladangnya setiap hari dengan harga RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

Beliau yang pernah bertugas sebagai kontraktor pembinaan di Singapura selama lapan tahun berkata, harga borong untuk bendi adalah bergantung kepada permintaan dan juga kualiti buahnya.

Dari segi kos pembiayaan tanaman, beliau perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli baja dan racun rumpai.

Harga untuk benih juga tidak kurang tingginya iaitu RM110 satu tin di mana ladangnya memerlukan sebanyak 16 tin untuk sekali proses penanaman.

Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, beliau kini telah memperluaskan penanaman bendinya di tanah seluas satu ekar milik bapanya berhampiran rumah beliau.

"Melalui perluasan kawasan ini, dapatlah saya menambah pendapatan untuk membantu menyara keluarga,'' jelasnya.

Jika mempunyai peluang, beliau juga bercadang untuk memperkembangkan ladangnya agar tanaman secara penggiliran dapat dijalankan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Setakat ini, beliau belum bercadang untuk membuka kursus atau latihan kepada penanam-penanam baru yang berminat.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan agar berani mencuba dan belajar sedikit demi sedikit.

Agro Bank bimbing usahawan tani

Agro Bank akan terus menjadi peneraju dalam usaha membimbing bakal usahawan menceburi bidang pertanian.

Ini dilakukan dengan menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Tani yang menyediakan dana berjumlah lebih RM2 juta pada tahun ini.

Sebanyak 64 siri kursus melibatkan pelbagai sektor telah disenaraikan pada tahun ini yang akan melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Seperti sebelum ini, program pembangunan usahawan tani yang dianjurkan oleh bank terbabit dilaksanakan menerusi Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Justeru, peserta bukan sahaja disediakan dengan modul latihan yang lengkap dan sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa dalam sektor pertanian tetapi juga persekitaran kondusif untuk menimba ilmu.

Bagaimanapun menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, jumlah peruntukan yang disediakan dan kemudahan yang sesuai bukanlah jaminan mudah bagi peserta bergelar usahawan tani, sebaliknya mereka perlu mempunyai sikap positif untuk berjaya.

"Sebagai contoh, peserta perlu mempunyai minat untuk mengambil tahu mengenai bidang yang mereka ingin ceburi dan bukan bertujuan mengambil mudah suka-suka sahaja,'' katanya..

Ini kerana katanya, menceburi bidang pertanian bukanlah satu perkara mudah berdasarkan kepada konsep 3D iaitu Dirty (kotor), Danger (berbahaya) dan Difficult (rumit) yang menunjukkan bahawa mereka perlu mempunyai tahap kesabaran dan daya tahan yang tinggi.

Selain itu, peserta juga perlu memastikan bahawa lokasi projek pertanian yang dijalankan mestilah sesuai dan tidak terlalu jauh ke pedalaman.

Pada masa sama, peserta perlu menguasai kemahiran teknikal sektor yang diceburi untuk memastikan projek dapat berjalan dengan baik.

Oleh sebab itulah, pihaknya bukan sahaja memilih kursus yang sesuai untuk disertai peserta tetapi juga lengkap dengan keperluan semasa dan paling penting menyahut seruan kerajaan.

Beliau memberi contoh, antara kursus yang dijalankan pada tahun ini ialah penanaman menggunakan sistem fertigasi, penternakan ikan puyu dan ketutu, penanaman cendawan, ternakan kambing memproses bebola ikan, ternakan tilapia dan ternakan ketam, penyediaan makanan ruminan, ternak lintah dan pemprosesan buah-buahan.

"Kami juga menawarkan kursus merangka rancangan perniagaan dan memperkenalkan strategi menghubungkan pengusaha dengan industri atau pengusaha dengan pembeli,'' katanya.

Apa yang penting tegas beliau, peserta bukan sahaja perlu hadir kursus kali pertama tetapi juga mereka perlu bersedia menghadiri kursus-kursus lanjutan yang seterusnya.

Oleh itu, mereka mampu menguasai kemahiran di peringkat pengurusan projek sehingga kepada pengurusan perniagaan atau dari A sehingga Z termasuk aspek pemasaran.

Selain itu, strategi Agro Bank juga mahu supaya peserta yang bakal mengusahakan projek pertanian memilih lokasi sesuai untuk memudahkan pemasaran.

Sebab itu, pihaknya memilih tempoh kursus antara tiga dan lima hari yang dianggap sesuai untuk menimba ilmu dan dan pada masa akan datang melengkapkan ilmu dengan menyertai kursus lanjutan.

Beliau berkata, sambutan daripada peserta amat menggalakkan yang mana dengan kerjasama yang diadakan dengan akhbar Utusan Malaysia menerusi sisipan Mega berjaya menghebahkan kepentingan mengadakan program seumpama itu.

Pada tahun ini, Agro bank sekali lagi akan membentuk kerjasama dengan Utusan Malaysia untuk mengadakan pelbagai kursus pertanian untuk mereka yang berminat.

Abdul Shukor menambah, sejak diadakan pada 2007 hingga tahun lepas, sebanyak 8,971 peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Program tersebut katanya, merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Tani yang dirangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan akan berakhir pada tahun depan.

Usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani sangat penting dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Bengkel usahawan fertigasi

Bagi pembaca-pembaca setia ruangan pertanian setiap hari Jumaat menerusi sisipan Mega akhbar Utusan Malaysia, mereka mungkin sentiasa ingin mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terbaru bidang tersebut. Ia termasuk maklumat mengenai program bimbingan dan kursus pertanian yang dianjurkan pelbagai pihak dan hebahannya diperoleh menerusi akhbar ini. Seperti tahun sebelumnya, sisipan Mega sekali lagi bekerjasama dengan Agro Bank dan pihak swasta dalam menganjurkan bengkel usahawan pertanian. Jika pada tahun lepas, bengkel penanaman cendawan, ternakan keli dan kambing telah berjaya diadakan.

Menurut penganjur, sambutan yang diterima sehingga kini amat menggalakkan dan masih ada lagi pertanyaan meminta pihak Utusan Malaysia meneruskan bengkel tersebut, seperti tahun lalu.

Kali ini, akan mengadakan Bengkel Usahawan Mega-Utusan Malaysia memilih Bengkel Fertigasi untuk siri 1 dan ke 2 yang dijadualkan masing-masing pada 13 hingga 15 Februari ini dan 28 Februari hingga 1 Mac.

Pada tahun ini, Agro Bank selaku penaja utama di samping rakan kerjasama baru iaitu May Culsant berganding bahu menawarkan bengkel-bengkel pertanian khusus untuk orang ramai menyertainya.

Kerjasama yang diadakan itu bertujuan menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan program pertanian dan menambah jumlah usahawan tani.

Bengkel tersebut akan dijalankan selama tiga hari itu memberi peluang kepada peserta mengenali teknologi fertigasi, motivasi, pengurusan dan penjagaan penanaman pertanian serta asas kewangan.

Bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada setiap peserta meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan dan latihan amali.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel ini dikehendaki menghantar butir-butir peribadi melalui borang penyertaan yang disiarkan di akhbar ini ke Urusetia Bengkel Usahawan MEGA-Utusan-AgroBank.

Peserta akan dipilih oleh satu panel untuk dinilai sebelum diambil untuk menyertai bengkel itu kelak.

Maklumat lanjut orang ramai boleh mendapat maklumat melalui Mega itui sisipan Utusan Malaysia setiap hari Isnin hingga Jumaat dengan menyiarkan artikel pertanian pada Jumaat.

Sebarang maklumat mengenai bengkel itu boleh menghubungi urus setia di talian 012-2846811 (Rosli) atau 017-4661475 (Faiq).

Usahawan sayur fertigasi

Walaupun tidak mempunyai latarbelakang yang formal dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ammar Abdul Aziz, 35, untuk menjadi usahawan tani sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian.

Mendapat ijazah pertama di Hawaii dan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi di London, United Kingdom (UK), Ammar mula mengusahakan ladang sayurnya secara sepenuh masa sejak 2005 di atas tanah milik keluarga seluas empat ekar di Kampung Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan.

Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konvensional selama tiga tahun, Ammar berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.

"Dalam tempoh dua tahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.

"Tetapi pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian banyak memberikan khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang," katanya semasa ditemui di ladangnya di Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ammar melahirkan rasa terharu dengan agensi kerajaan yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.

Biarpun pernah menjawat jawatan glamor dan selesa iaitu pengurus dana, Ammar tidak menyesal meninggalkan semuanya untuk berbakti pada tanah.

Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan ayah sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya.

Setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah menyewa empat ekar lagi tanah di sebelah tanahnya menanam tanaman berpara seperti kacang panjang, bendi, timun, cili dan cili padi.

Bermula dengan menanam sayur-sayuran secara konvensional, kini Ammar mula menanam cili merah secara fertigasi tertutup sementara cili padi secara terbuka.

Mengaplikasikan kepakarannya dalam strategi kewangan dalam pertanian, Ammar banyak mengumpul data-data hasil ladangnya.

"Data yang saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian.Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya.

"Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria," katanya.

Ammar akan mengumpul semua data sama ada serangga hidup atau bahagian pokok yang diserang untuk dikaji sama ada di MARDI, Jabatan Pertanian atau institut pengajian tinggi tempatan.

Dengan cara ini, Ammar dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan.

Memegang pepatah Inggeris, 'tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul,' Ammar mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya.

Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil.

"Saya 'melayan' kebun sayur saya sama seperti bisnes-bisnes lain dengan strategi yang sama.

"Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan," katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.

Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah.

Cili merah dan cili padi yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.

Ammar juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang.

"Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari.

"Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan," katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.

Selepas menjalani pelbagai 'kisah pahit' dalam pertanian, kini Ammar melibatkan diri dalam fertigasi pokok cili.

Menjalankan trial and error dalam pertanian selama dua tahun menjadikan Ammar lebih matang dalam mengharungi industri tanaman.

Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran.

"Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya.

"Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka," katanya.

January 23, 2009

Jathropa Untuk Biofuel

Pokok jarak atau Jathropa curcas bukan lagi sekadar tumbuhan biasa yang ditanam sekadar untuk mencantikkan kawasan atau tujuan pertanian lain.

Malah sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui bagaimana rupa pokok jarak itu, tetapi selepas satu penemuan menyatakan ia mempunyai nilai tinggi, maka pokok ini kian popular.

Tidak seperti di Malaysia, di beberapa negara lain seperti India, Indonesia dan Myanmar sebagai contoh, pokok jarak telah digunakan sebagai bahan api bio atau biofuel.

Di Indonesia misalnya terdapat projek komuniti yang mana penduduk kampung memanfaatkan pokok tersebut untuk kegunaan rutin mereka sebagai bahan bakar.

Berbeza dengan Malaysia, pokok tersebut seperti baharu hendak diperkenalkan meskipun ada usaha untuk menanamnya setakat ini selepas menyedari nilainya yang tinggi itu.

Sama ada harga minyak akan meningkat semula atau kekal pada harga sekarang, semua pihak perlu menyedari bahawa satu usaha perlu dilakukan bermula sekarang untuk menghasilkan bahan api alternatif atau khususnya yang berkaitan dengan bahan bio.

Ini kerana pergantungan kepada bahan api fosil secara berterusan bukan sahaja mengundang risiko pencemaran, tetapi juga lebih berat lagi, ia akan kehabisan.

Justeru, bahan api bio lebih sesuai untuk dijadikan alternatif sebagai bahan api sedia ada, apatah lagi ia lebih selamat, bersih dan boleh diperbaharui.

Malaysia bertuah kerana banyak sisa bahan yang boleh dijadikan asas penghasilan bahan api termasuk biojisim selain minyak sawit biodiesel.

Justeru, pengenalan pokok jarak dengan bijinya yang dikatakan mempunyai kandungan minyak sehingga 50 peratus, membayangkan betapa bertuahnya negara ini yang subur dengan pelbagai tanaman.

Hanya yang perlu dilakukan sekarang ialah, sejauhmana kita proaktif dengan semua peluang tersebut dengan menggerakkan satu dana penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh saintis bagi menjadikan minyak jarak sebagai biofuel sebagai satu realiti.

Setakat ini, satu daripada penyelidikan mengenainya sudah menampakkan hasil yang membanggakan, dimulakan sejak 2006 oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Robiah Yunus.

Ia bermula apabila dicabar seorang rakannya supaya mencuba menghasilkan minyak daripada pokok jarak atau disebut jarak pagar pada 2006.

Baginya, ‘cabaran’ tersebut tidak menimbulkan masalah besar memandangkan bidang penyelidikan yang menjadi kepakarannya selama ini berkaitan kejuruteraan kimia.

Malah, Dr. Robiah sebelum terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak pelincir daripada minyak sawit.

Geran IRPA

Projek tersebut dilaksanakan menerusi satu penyelidikan yang dibiayai oleh geran Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) bermula pada 2000.

Menerusi penyelidikan tersebut, Dr. Robiah berjaya menghasilkan sejenis minyak pelincir yang beliau namakan Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang dihasilkan daripada kelapa sawit dengan menggunakan kemudahan makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya disiapkan pada penghujung 2003.

Minyak pelincir sintetik tersebut dihasilkan daripada minyak sawit menerusi beberapa tindak balas bagi menghasilkan bahan asasnya yang dinamakan poliolester.

Kini beliau berjaya memanfaatkan biji jarak sebagai bahan asas penghasilan biofuel menerusi satu proses tertentu dan didapati lebih sesuai berbanding minyak sawit.

Ini kerana katanya, dalam keadaan suhu bilik, minyak pokok jarak wujud dalam bentuk cecair manakala minyak sawit mentah dalam keadaan beku yang memerlukan ia dicairkan terlebih dahulu.

Selain boleh dijadikan biofuel, minyak pokok jarak juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelincir, sama seperti yang dilakukan terhadap minyak sawit.

Malah, harganya lebih mahal berbanding minyak pelincir daripada yang ada sekarang ini pada kuantiti yang sama.

Menurut Dr. Robiah, dengan modal pembiayaaan penyelidikan daripada TechnoFund (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) yang mencecah RM 4.5 juta, beliau menjalankan penyelidikan tersebut dengan menggunakan kaedah tertentu yang sesuai.

Apa yang beliau lakukan ialah dengan mencampurkan bahan tertentu kepada minyak tersebut bagi mengurangkan kandungan asid lemak bebas yang tinggi

“Sekiranya ini tidak dilakukan, maka ia tidak akan menghasilkan minyak pelincir sebaliknya cecair berbuih seperti sabun,” katanya.

Justeru, sejenis bahan kimia perlu dicampurkan untuk ‘membasuh’ atau meneutralkan asid lemak bebas tersebut.

Sama seperti minyak sayuran lain, seperti kanola, reepseed, kandungan asid oleik yang tinggi dalam minyak pokok jarak ini menjadikannya berbanding minyak sawit yang mengandungi asid palmitik yang tinggi.

Bagaimanapun dalam keadaan biasa, minyak pokok jarak boleh digunakan terus ke jentera sekiranya palam pencucuhnya diubahsuai terlebih dahulu.

“Jika ketika ini kandungan biodiesel yang ada menggunakan lima peratus minyak sawit, penggunaan minyak jarak boleh mencapai sehingga 20 peratus manakala 80 peratus lagi merupakan diesel,” katanya.

Dengan kejayaan tersebut, beliau bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk meningkatkan kawasan penanaman pokok jarak supaya sebarang usaha mengkomersialkannya disokong oleh pengeluaran bahan mentah secara berterusan.

Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk menghasilkan mesin mengopek buah jarak untuk mendapatkan bijinya memandangkan kerja tersebut akan rumit dan memerlukan tenaga buruh yang ramai.

Pada masa sama, mesin menghasilkan minyak perlu dihasilkan bagi membolehkan proses tersebut lebih mudah.

Mesin tersebut mungkin mudah dan mudah alih supaya senang dikendalikan oleh golongan penanam.

Menurut Dr. Robiah lagi, dengan bantuan dari TechnoFund, kilang minyak pelincir boleh dibina bagi meningkatkan hasil tambah minyak sawit atau pokok jarak.

Hakikatnya kata beliau, memanfaatkan penggunaan jathropa atau pokok jarak bukan bertujuan untuk bersaing dengan minyak sawit, sebaliknya satu alternatif kepada minyak sedia ada.

Kursus Menghasilkan Benih Cendawan

Meskipun ada dakwaan bahawa pasaran untuk cendawan semakin kurang, namun keperluan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran tanaman tersebut perlu diteruskan.

Kursus mengenai teknik penanaman cendawan masih giat dijalankan kerana sambutan daripada orang ramai sentiasa ada.

Ini membuktikan masih ramai berminat untuk menceburi bidang penanaman cendawan. Tetapi di sebalik keghairahan itu, masalah bekalan benih masih membelenggu industri tersebut.

Ia merupakan satu kekangan bagi mengembangkan industri berkenaan ke tahap yang lebih baik.

Selama ini ramai pengusaha tanaman cendawan menghadapi masalah mengenai harga benih yang melambung tanpa kawalan, kualiti benih cendawan yang dibekalkan serta kerumitan memperoleh bekalan yang berkualiti dan terjamin.

Justeru Persatuan Penyelidik Cendawan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Genting Permai Resources Sdn. Bhd. mengadakan Kursus Tisu Didik Cendawan selama lima hari bermula 7 hingga 11 Februari ini di Institut Sains Biologi UM.

Kursus berkenaan yang dikendalikan oleh tenaga pakar dari UM ini meliputi teori dan praktikal bagi penyediaan benih cendawan bermula dari awal hingga akhir.

Pada awal kursus peserta akan diberikan penerangan mengenai kitar hidup cendawan, didedahkan mengenai teknik aseptik dan pensterilan secara amali.

Mereka juga akan diajar mengenai penyediaan media yang sesuai bagi tisu didik cendawan dimana segalanya akan dilakukan oleh peserta sendiri.

Selepas itu peserta juga akan didedahkan dengan penyediaan kultur cendawan sama ada daripada batang atau insang cendawan.

Semua kaedah ini akan dilakukan sendiri oleh peserta bagi melihat keupayaan menghasilkan benih cendawan menerusi kultur didik cendawan.

Bagi hari ketiga dan keempat sementara menunggu benih cendawan terhasil, peserta akan diberikan pilihan sama ada untuk melawat ladang cendawan yang menghasilkan benih cendawan di sekitar Lembah Kelang atau aktiviti lain yang sesuai.

Selepas benih cendawan dihasilkan, peserta akan diajar cara menyimpan kultur cendawan yang betul.

Akhir sekali, semua hasil benih cendawan yang dihasilkan peserta akan dinilai sebelum perbincangan bagi meningkatkan kualiti benih yang dikeluarkan.

Penanaman cendawan yang berminat menghadiri kursus berkenaan boleh mendapatkan maklumat berkenaan dengan menghubungi Zainon di talian 013-3418202.

Bimbing Usahawan Daging

Setelah berjaya dalam bidang penternakan kambing Boer, melibatkan diri dalam membangunkan usahawan ternakan serta kedai berasaskan daging, kini Nordin Mat melangkah setapak lagi dengan memulakan kursus perniagaan kedai daging secara komersial.

Selaku Pengarah KMJ Supplies Sdn. Bhd., Nordin berkata, kedai daging dengan jenama Perfect Fresh & Frozen telah mula mengadakan kursus setiap bulan bagi yang berminat memulakan perniagaan kedai daging mereka sendiri.

“Program yang lepas adalah dengan kerjasama dengan Mara berkonsepkan mentor mentee dengan Perfect Fresh & Frozen bertindak sebagai mentor.

“Di bawah Program Usahawan Bumiputera MARA, seramai 50 peserta telah disaring sebelum memilih 10 orang dan daripada itu hanya lima orang telah dipilih untuk memulakan kedai mereka masing masing,” katanya ditemui semasa sesi latihan kursus memulakan kedai daging secara komersial di premisnya di Kajang, Selangor.

Katanya, ini merupakan salah satu cara untuk mentee membangunkan sebuah kedai daging dengan bantuan mentor.

“Sebagai mentor, kami memberikan komitmen dari A hingga ke Z, bermula dengan bagaimana untuk memulakan sehingga menjalankan perniagaan,” katanya.

Nordin menambah, kedai daging ini dijangka akan dapat membantu individu yang terlibat dalam penternakan memandangkan outletnya menjual pelbagai jenis produk seperti daging kambing, lembu, rusa, arnab, burung unta, burung puyuh, ayam kampung dan sebagainya.

Kursus berkenaan mengambil masa tujuh hari menggunakan tenaga pengajar profesional bagi memantapkan lagi kefahaman peserta.

“Mereka juga digalakkan menjalankan trial and error sendiri sehingga mereka benar-benar boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri,” katanya.

Peserta juga akan diajar melayan pelanggan dengan memberikan seberapa banyak banyak maklumat mengenai potongan daging, kesesuaian dan juga resipi.

Pelanggan juga diberikan tip memilih serta penjagaan daging serta masakan yang sesuai.

Cara ini bukan saja dapat menambahkan pengetahuan pelanggan tetapi juga memberikan pilihan kepada pelanggan untuk datang lagi ke kedai berkenaan.

Apa kata peserta

Bertugas sebagai kontraktor selama 22 tahun, Hasnul Badaruddin, 42, melihat industri makanan mempunyai potensi yang besar semasa ambang kemelesetan ekonomi.

“Saya telah menjalankan tinjauan di Taman Permata, Hulu Kelang dan Bandar Sri Damansara dan mendapati permintaan terhadap produk makanan adalah tinggi.

“Selain ini industri berkenaan juga mengeluarkan produk berasaskan daging yang suci, sihat dan halal,” katanya yang bercadang untuk membuka kedai daging di Taman Permata menjelang Mac ini.

Beliau yang datang menjalani kursus berkenaan dengan anak perempuannya, Siti Norsalsabila, 18, berkata, kursus yang diikuti akan menjadi galakan untuk anaknya memulakan perniagaan.

Sementara suri rumah, Norainon Aiman, 39, mendapat dorongan suami bagi menghadiri kursus berkenaan.

“Pada mulanya saya tidak berminat untuk membuka kedai daging tetapi selepas diberikan pendedahan barulah hati saya terbuka,” katanya.

Beliau menambah, latihan yang disertai memberikan banyak ilmu yang bermanfaat mengenai keratan daging.

“Buat masa ini saya amat yakin dan merancang untuk membuka kedai di Shah Alam selewat-lewatnya Mac ini,” katanya yang tinggal di Beranang, Selangor.